Pihak pengurusan AirAsia bersama Gabenor Jawa Timur, Badan SAR Nasional Republik Indonesia (BASARNAS), Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Indonesia, Pengendali Lapangan Terbang (Angkasa Pura I) telah bertemu dengan para ahli keluarga untuk memberi perkembangan terbaru dan menyatakan komitmen untuk memberikan bantuan yang sebaik mungkin, awal tadi di Surabaya.
Sunu Widyatmoko, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia berkata:
“Kami berasa amat terkejut dan sedih berikutan insiden ini. Kami memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi mengetahui punca insiden tersebut. Pada masa yang sama, keutamaan kami ialah memastikan para ahli keluarga penumpang dan kakitangan kami sentiasa disediakan dengan perkembangan terkini.”
“Kami akan dengan sedaya-upaya akan memberikan sokongan yang terbaik kepada mereka semasa perjalanan siasatan dan telah menghantar tim sokongan bagi menyediakan segala keperluan, termasuk penginapan dan persiapan perjalanan. Pusat penerangan juga telah disediakan di Surabaya untuk para ahli keluarga.”
Bagi para ahli keluarga di Singapura, juga disediakan bilik penerangan kecemasan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, di mana AirAsia Indonesia akan memberikan perkembangan terbaru dari masa ke semasa.
Kami juga menubuhkan sebuah Pusat Panggilan Kecemasan bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat tentang keluarga atau rakan yang berada dalam penerbangan tersebut. Nombor yang boleh dihubungi ialah +622129270811.
Pada ketika ini, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, di bawah pimpinan Badan SAR Nasional Republik Indonesia (BASARNAS). AirAsia Indonesia memberikan kerjasama penuh dan membantu penyiasatan dengan sebaik mungkin.
Pesawat merupakan Airbus A320-200 bernombor pendaftaran PK-AXC. Sejumlah 155 penumpang berada dalam penerbangan, dengan 137 dewasa, 17 kanak-kanak dan 1 bayi. Turut berada dalam penerbangan ialah 2 juruterbang, 4 anak kapal dan 1 jurutera.
Kapten yang mengemudi pesawat mempunyai pengalaman dengan jumlah 20,537 jam penerbangan, di mana 6,100 daripadanya bersama AirAsia Indonesia dalam pesawat Airbus A320. Penolong juruterbang mempunyai pengalaman sejumlah 2,275 jam penerbangan bersama AirAsia Indonesia.
Kami akan memberikan maklumat tambahan sebaik sahaja ia diperolehi dan kami mendoakan keselamatan semua krew dan penumpang penerbangan QZ8501.