in

Misi 12 Bantu 12 Remaja Ubah Kehidupan

Misi bantu 12 remaja ubah kehidupan dalam program realiti terbaru di Astro Ria!

Bagi terus menyemarakkan lagi penawaran program-program berkualiti pelbagai genre menerusi platform yang disediakan, pihak Astro Ria selaku sebuah Saluran Hiburan Melayu Utama dengan berbesar hati memperkenalkan sebuah lagi program realiti yang diterbitkan khusus untuk membantu dan merubah masa depan 12 orang remaja terpilih berjudul Misi 12 yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Selasa, jam 9.00 malam bermula 7 Februari 2012 menerusi saluran 104.

Misi 12

Program tujuh episod yang dihoskan oleh pengacara Fahrin Ahmad ini bakal melihat penyertaan 12 orang remaja terpilih yang terdiri daripada tujuh orang peserta lelaki iaitu; Mohamad Shafwan Bin Abdul Saleem (19), Muhammad Subky Bin Halib (23), Nur Syukree Arrif Bin Sazali (19), Muhammad Indera Mulia Bin Muhammad (24), Mohammad Anaz Bin Mat Lasim (22), Mohd. Hazmin Bin Zamri (19), Raja Mohd Azlan Bin Raja Jafar (23) serta lima orang peserta perempuan iaitu; Nor Ain Binti Amin Nudin (19), Fatin Azira Binti Rohaizad (21), Nur Atiqah Binti Sarimbi (23), Syahirah Binti Saad (22) dan Nadia Binti Rahmat (23).

Misi 12

Menurut Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro; Encik Nizam Sani berkata, ”Penerbitan program seumpama ini adalah antara inisiatif Astro untuk memberikan peluang kepada remaja di luar sana dengan menyediakan sebuah platform bagi menjana daya kreativiti dan kemahiran sekaligus menyerlahkan bakat terpendam serta potensi yang mereka miliki di bawah pengawasan dan tunjuk ajar oleh barisan mentor dan penasihat.

12 orang peserta yang telah kami pilih ini adalah di kalangan remaja yang menganggur, mempunyai latar belakang pendidikan yang rendah, kurang keyakinan diri serta mempunyai masalah sosial. Tujuan utama program Misi 12 adalah untuk mengukuhkan emosi mereka supaya dapat memperoleh kemahiran hidup secara praktikal, menjalani kehidupan lebih sihat, melaksanakan matlamat pendidikan mereka dan membentuk asas kekuatan jatidiri yang diperlukan untuk mencapai objektif berdikari dalam fasa peralihan hidup mereka sendiri untuk menjadi insan yang mampu berbakti kepada masyarakat.

Kami percaya segala ilmu, bimbingan, nasihat dan motivati yang dikongsi melalui program ini jika dipraktikkan bukan sahaja oleh para peserta tetapi juga para penonton di rumah akan mampu memberi inspirasi, kesedaran dan pendedahan sekaligus dapat membantu untuk membendung masalah sosial yang menular di kalangan masyarakat kini,” ujar Nizam.

Dalam program Misi 12, para peserta akan berada di bawah pengawasan tiga orang ikon untuk bertindak sebagai mentor yang dilantik berdasarkan kredibiliti, pencapaian dan pengalaman dalam bidang masing-masing. Tiga orang ikon tersebut ialah Pengurus Besar Mercedes Benz Malaysia; Datuk Soke Clement Soo, Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn. Bhd.; Gayatri Su-Lin Pillai dan Pengarah Coffee Scene Sdn. Bhd. (Bangi Kopitiam); Ooi Kim Chong.

Kehadiran ikon-ikon ini bukan sekadar untuk memantau perkembangan setiap peserta, berkongsi nasihat, memberikan galakan motivasi serta tunjuk ajar tetapi juga sebagai sumber inspirasi kepada mereka.

Manakala enam orang personaliti telah diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai tenaga penasihat yang akan memberikan bimbingan mengikut pengkhususan masing-masing kepada para peserta Misi 12. Enam orang personaliti tersebut ialah Nazril Idrus yang akan membimbing mereka sewaktu Kelas Ekonomi, Dr. Deleila Hatun (Kelas Tatarias), Dr. Haji Tengku Ismadi (Kelas Motivasi), Nur Syuhada’ Ridzuan (Kelas Inggeris), Muhammad Faisal Ahmad (Kelas Pengucapan Awam) dan Imam Muda Aran (Kelas Agama).

Dalam Misi 12, kesemua peserta harus mengikuti setiap kelas yang telah disusun khas untuk mendapat tunjuk ajar dan bimbingan oleh barisan penasihat dalam bidang-bidang yang berlainan. Mereka juga akan diberi peluang untuk memilih bidang yang ingin mereka ceburi berdasarkan minat dan kemampuan masing-masing. Kemudian, setiap peserta akan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang mana setiap kumpulan akan diberikan tugasan yang bakal menguji pengetahuan dan kemahiran yang telah mereka pelajari sewaktu di kelas.

Markah akan diberikan secara individu dan mengikut kumpulan berdasarkan kemampuan mereka menyelesaikan tugasan dan cabaran yang diberikan. Markah-markah ini akan dikumpulkan hingga minggu ketujuh untuk menentukan peserta dan kumpulan yang berjaya mengumpul markah yang tertinggi. Walau bagaimanapun, tiada sebarang penyingkiran akan dibuat sepanjang program ini berlangsung.

Jangan lupa saksikan program realiti Misi 12 yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Selasa, jam 9.00 malam bermula 7 Februari 2012 menerusi saluran 104. Selamat menonton!

Misi 12

Fahrin Ahmad

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Nahi Mungkar Lakonan Zamarul Hisham Watie Sadali

Erra Fazira di Pameran Best of Bridal Lifestyle Singapura