Selepas menerima banyak permintaan daripada peminat, pelakon popular Mira Filzah membuat keputusan berkongsi video bersama suami Wan Emir Astar menerusi saluran YouTube #EmirAmirah. Pada penerangan di saluran itu, pasangan ini berkata, video itu dilakukan secara suka-suka dan hanya dikongsi untuk peminat-peminatnya sekali-sekala sahaja.
Menerusi video berdurasi hampir 10 minit itu, Mira dan Emir melakukan cabaran saling mengenal atau knowing each other challenge.
Aktiviti pengenalan untuk video tersebut adalah ‘Knowing Each Other Challenge’ yang mana agak biasa kita lihat dilakukan oleh pasangan suami isteri.
Berdasarkan video tu, banyak komen yang perasan bahawa Emir ni adalah seorang yang suka bercakap, sehingga menyebabkan Mira secara tidak sengaja tertinggi suara kepada suaminya.
Menyedari perkara itu, Mira dengan cepat menggunakan suara manja kepada suami, manakala Emir pula menyakat tindakan isterinya itu. Comel betul pasangan ini!
Nampaknya masih banyak juga perkara yang perlu mereka tahu antara satu sama lain.
Lagipun perkenalan mereka sebelum kahwin tidaklah terlalu lama.
Di penghujung video tersebut, Mira dan Emir memohon sokongan peminat dengan memberi komen yang baik-baik buat mereka.
“Assalamualaikum dan hai semua… video pertama kami bersama. Kami buat keputusan membuat video ini kerana banyak permintaan untuk kami ada saluran YouTube bersama.
“Tapi untuk makluman bahawa video seperti ini tidak selalu kerana kami masih baru dalam hal ini.
“Tunjukkan kasih sayang dan sokongan kepada kami dengan melanggan dan memberi tanda suka pada video ini.
“Kami juga mengalu-alukan cadangan anda untuk video seterusnya,” ujarnya.
– Mira Filzah
Apa yang menarik pasangan ini berkongsi masakan pertama Mira kepada Emir iaitu nasi paprik dan warna baju yang dipakai pengacara Nona itu ketika kali pertama mereka berjumpa.
“Pertama kali kita jumpa I pakai baju warna apa, apa warna yang ada dekat I tak kisah tudung ke baju ke skirt ke. You punya senang kalau tak biru, hitam atau kelabu, jadi you kena teka I,” soal Mira.
“Putih” jawab Emir.
Kebanyakan soalan berkaitan hubungan mereka berjaya dijawab oleh pasangan ini.
Selain itu, beberapa soalan lain turut diajukan seperti nama sekolah menengah, warna kegemaran, subjek kegemaran Emir dan waktu mereka dilahirkan.
Rata-rata peminat pasangan ini teruja dengan perkongsian tersebut dan menganggap video berkenaan mendedahkan sisi lain Emir yang dilihat pendiam sebenarnya banyak bercakap di hadapan kamera.
Malah, mereka turut mencadangkan Mira untuk berkongsi perkara-perkara lain seperti meninjau rumah atau bilik, cabaran masak bersama dan cabaran makeup suami isteri.
Mira dan Emir mendirikan rumah tangga pada 3 September lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Kuala Lumpur.