4 SEGMEN TERBAIK MINNALFM UNTUK HIBURAN DAN INFORMASI MASYARAKAT INDIA
MINNALfm, stesen radio berbahasa tamil RTM telah lama bertapak di dalam dunia penyiaran dan menjadi pilihan hiburan serta maklumat terkini bagi masyarakat India di Malaysia. Tahun 2009 merupakan tahun yang cukup mencabar bagi MINNALfm bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan stesen radio ini sebagi pilihan kaum India.
Justeru, gabungan DJ lama dan baru serta kaedah penyampaian yang lebih ceria dan santai disamping pemilihan lagu-lagu retro dan terkini menjadi resepi utama MINNALfm dalam usaha menjadikan stesen radio ini terus menjadi pilihan dan relevan dengan dunia penyiaran sekarang.
Seawal 6.00 hingga 9.00 pagi, pendengar disajikan dengan segmen Kaalai Kathir (Sinaran Pagi) yang dikendalikan oleh dua orang Ikon MINNALfm, DJ Theyvekgan dan DJ Buvaneswary. Segmen ini menghidangkan lagu-lagu terkini, informasi kerjaya, motivasi, info trafik, berita utama akhbar harian dan pastinya segmen interaktif yang mengajak pendengar berinteraksi secara langsung di udara.
Bermula 10.00 pagi hingga 2.00 petang, segmen Ullasam Urchagam (Hiburan & Irama) meneruskan sensasi MINNALfm. Menurut Pengawal MINNALfm, Encik Pharthasarathee a/l Bangaru, “Ullasam Urchagam yang dikendalikan oleh DJ S.Punitha dan DJ S.Johnson merupakan antara segmen yang mempunyai rating pendengar yang tinggiâ€. Ullasam Urchagam mengajak pendengar melontarkan pandangan dan pendapat mengenai pelbagai isu merangkumi bidang sosial, ekonomi dan kehidupan harian. Segmen interaktif ini dibuka kepada pendengar bermula 12.05 tengah hari hingga 2.00 petang.
Kebiasaan rakyat Malaysia, sebelah petang, sambil memandu pulang dari tempat kerja, pastinya ditemani oleh hiburan daripada stesen radio kegemaran masing-masing. Justeru MINNALfm turut mengambil peluang ini dengan menyediakan program terbaik sebelah petang. Segmen Anantha Thenkatru (Bayu Gembira) yang dikendalikan oleh DJ Saras Bijin dan DJ Gowri Arumugam menemui pendengar bermula 5.00 petang hingga 8.00 malam dengan lagu-lagu yang ceria dan terkini. Anantha Thenkatru seperti segmen petang yang lain turut menyediakan info trafik terkini sebagai panduan kepada anda, pengguna jalanraya. Segmen ini turut menyelitkan petua-petua berguna buat pendengar dalam menjalani kehidupan seharian.
Khusus untuk anda yang bertugas pada lewat malam dan para pelajar yang sedang mengulangkaji pelajaran, MINNALfm menyediakan hiburan malam menerusi segmen Thalathuthe Vanam (Ayunan Irama Langit) bermula 12.00 tengah malam hingga 3.00 pagi. Bertemankan DJ Buvaneswary Narayanan dan DJ Logeswary Ganesan, tengah malam anda pasti tidak kesunyian bertemankan hiburan dan celoteh dua orang DJ ini. Segmen ini juga mengajak pendengar untuk berinteraksi bersama DJ dan pendengar-pendengar lain membincangkan juga meluahkan pandangan mengenai pelbagai isu.
Dengan empat segmen ini, MINNALfm bersedia memberikan hiburan dan informasi yang berkualiti kepada pendengar sasarnya sambil memastikan penyampaian DJ berada pada tahap yang terbaik agar pendengar tidak jemu berhibur bersama MINNALfm.