Menariknya, DOLLA yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya cuma merancang untuk lancarkan 500-unit CD pada awalnya. Bagaimanapun, jumlah itu ditambah kepada 500-unit lagi ekoran sambutan luar biasa peminat setia kumpulan terbabit.
Menurut Pengurus Promosi Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar, penambahan itu dilakukan selepas masih ramai peminat terlepas peluang memilikinya dan bersungguh-sungguh untuk membelinya.
“Pada mulanya kami membuka pra-tempah sebanyak 500-unit saja untuk album ini dan dalam tempoh 12 jam sudah habis terjual. Ramai peminat mengadu terlepas peluang dan berdepan kesukaran sewaktu buat tempahan.
“Kami sendiri memang tak sangka ia akan terjual begitu pantas. Disebabkan itulah kami putuskan memberanikan diri buka tempahan untuk tambahan 500-unit lagi dan itu pun terjual habis dengan cepat juga,â€
– Anne Mukhtar,
Menurut anggotanya Sabronzo, percaturan melancarkan CD selepas kejayaan di platform muzik digital sentiasa menjadi impian utama mereka juga. Baginya, album berbentuk fizikal pastinya lebih istimewa untuk dimiliki peminat mereka.
“Kami sentiasa bersyukur dengan kejayaan karya-karya kami di platform digital. Sokongan tidak berbelah-bagi diberikan peminat sangat menyentuh hati kami dan tentunya mahu cari inisiatif lain untuk terus menghargai mereka,â€
– Sabronzo
Tabby pula berkata sambutan luar biasa terhadap mini album itu satu kejayaan cukup manis dan bermakna buat mereka. Dia berharap CD terbabit juga akan memberi kepuasan buat semua peminat yang sudah membelinya.
“CD ini adalah bukti usaha keras kami sejak DOLLA ditubuhkan dan selayaknya dikongsikan kepada peminat. Kami amat terharu atas kesungguhan mereka terus menyokong termasuk sanggup membeli album kami ini,â€
– Tabby
Mini album khas itu diterbitkan sempena pelancaran lagu baharu mereka berjudul BAD serta kejayaan showcase sulung DOLLA pada 19 Februari lalu. Dijual pada harga RM60, CD itu turut mengandungi buku foto serta poskad individu setiap anggotanya.
Meskipun penjualan CD mungkin semakin tidak relevan sekarang, sebaliknya peminat DOLLA masing-masing tidak mahu terlepas memiliki mini album itu. Sekali gus, menjadi bukti betapa kumpulan itu sememangnya mampu berbuat demikian.
DOLLA: Mini Album memuatkan semua karya hit mereka yang sudah dipasarkan setakat ini. Lagu-lagu dimuatkan termasuk BAD (versi melayu), DOLLA Make You Wanna, Impikan (versi melayu), Berani, Berani (akustik), Watch Me Glow, BAD (versi inggeris) dan Raya Raya Raya sebagai lagu bonus.
Mula mencipta nama sekitar dua tahun lalu, DOLLA meraih pencapaian cukup membanggakan dalam tempoh singkat dan mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri muzik tempatan. Bukan sekadar lagunya hit, bahkan kumpulan ini turut menjadi rebutan pelbagai jenama besar.
Pada September tahun lalu, DOLLA menjadi kumpulan penyanyi wanita pertama dari Malaysia tampil di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat. Showcase sulung mereka pada 19 Februari lalu juga cukup membanggakan apabila tiketnya terjual habis.