Nama Siti Nordiana kembali menyerlah selepas kemenangannya sebagai juara Gegar Vaganza musim kedua. Jemputan untuk membuat persembahan tidak putus-putus. Malah ada yang melabelkan Nana sudah mula demand. Tetapi Nana menafikan perkara tersebut dan bertegas dia masih seperti dulu. Namun pembayaran bagi sesuatu persembahan pentas sebolehnya berpatutan dengan apa yang dipersembahkan.
Pada 27 April ini, bertempat di Atmosphere 360, Menara KL, Nana akan membuat persembahan Minggu Setiausaha bersama Dee Jangan Ketawa.
Ini adalah penghargaan paling besar bagi Nana sendiri kerana ini adalah pertama kali dia membuat persembahan Minggu Setiausaha.
“Persembahan di Minggu Setiausaha memang impian saya. Saya melihat penyanyi-penyanyi yang mempunyai nama besar sahaja yang membuat persembahan. Terdetik juga, bila tibanya masa saya. Akhirnya impian itu tercapai. Sebenarnya saya gementar dan seperti tidak percaya saya akan membuat persembahan Minggu Setiausaha ini.
Ya, saya tahu bukan mudah untuk menghiburkan mereka yang hadir nanti. Apa yang boleh saya katakan, saya akan buat yang terbaik dan memberi kelainan. Saya bawa pemuzik sendiri dan akan menyampaikan lapan buah lagu. Tetapi jika ada tambahan, akan difikirkan”, ujar Nana.
Nana turut mengakui, impak dari Gegar Vaganza memang kuat. “Dahulu saya juga dikenali, tetapi sekarang impaknya sangat berbeza berbanding dulu. Ketika memasuki bidang nyanyian, saya baru berusia 16 tahun. Perasaan malu itu memang ketara. Jadi saya belajar daripada kesilapan dulu yang mana saya kurang mesra dengan peminat. Sekarang saya telah buang perasaan malu itu. Alhamdullilah dengan penerimaan peminat, saya gembira dengan keadaan sekarang”, tuturnya.
Kredit: Sinar FM