Memetik Kosmo! Mimi atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham berkata dia sudah menjalin hubungan dengan jejaka itu sejak dua tahun lalu dan kekasihnya itu merupakan seorang doktor.
“Kami mula berkenalan ketika bertemu di satu destinasi percutian dan sejak itu, kami semakin rapat walaupun hubungan terpaksa diteruskan secara jarak jauh (LDR) sebab dia sekarang menetap di Amerika Syarikat.
“Dia merupakan seorang doktor pakar tulang belakang dan sangat memahami diri dan berfikiran terbuka. Dia tak pernah takut dengan bagaimana saya membawa diri di depan khalayak.
“Insya-Allah, kalau ada jodoh, jadilah. Dipendekkan cerita, waktu pertama kali jumpanya, saya macam terus terpaut hati dan energi yang sama turut lahir darinya,” katanya.
Tidak terlalu memperincikan mengenai hubungan tersebut, Mimi berharap agar dipertemukan dengan lelaki yang dapat menerima dirinya seadanya. Ujarnya lagi, dia tidak rasa takut berkawan dengan lelaki kulit hitam.
“Barangkali dia adalah kegembiraan yang saya cari selama ini. Dan sebagai seorang wanita, saya rasa semua orang layak bertemu jodoh yang dapat membawa kita maju ke hadapan dan memperbaiki apa kekurangan diri.
“Kalau boleh, saya nak hubungan kami diteruskan ke peringkat seterusnya kerana dia sendiri banyak memberi dokongan dan sokongan kepada saya untuk jadi manusia yang lebih baik.
“Ada orang tanya tak takut ke berkawan dengan orang kulit hitam dan jawapan saya, tidak langsung sebab saya rasa lelaki Melayu senang rasa intimidated (tercabar atau takut) dengan keterbukaan gaya hidup saya berdasarkan beberapa perhubungan yang telah saya lalui sebelum ini,” ujarnya.
Terdahulu, Mimi pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Firdaus Hajar pada 16 Mei 2015 namun pasangan tersebut bercerai pada November 2017.