Bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dari pukul 9.00 malam hingga 11.30 malam di TV3, ASK 2019 juga boleh strim secara langsung dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . Anugerah Skrin, anugerah berprestij anjuran TV3 bertujuan mengangkat karya terbaik dalam terbitan TV dan filem.
Masih kekal dengan objektif penganjurannya sejak tahun 1994, ASK 2019 meneruskan usaha untuk memartabatkan industri seni dengan memberi pengiktirafan kepada para karyawan dan penggiat seni tanah air. Selain TV3, ntv7, TV9 dan 8TV yang bernaung di bawah rangkaian televisyen Media Prima Berhad, TV3 selaku penganjur turut mengundang dan membuka ruang kepada rakan penyiar lain seperti RTM dan BERNAMA untuk menyertai ASK 2019 ini.
Anugerah Skrin 2019 diserikan dengan Nivea sebagai penaja bersama, mekarkan keyakinan dengan wangian floral bersama Mandian Creme Oil Pearls dan Deodoran Nivea Hokkaido Rose. Turut disokong oleh Hot FM & Kool FM sebagai radio rasmi, manakala tonton, xtra, Oh Bulan! dan Drama Sangat sebagai rakan digital.
“Bagi pihak penganjur, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan penyiar, para penggiat seni dan rakan penaja yang mengambil bahagian dan hadir ke malam anugerah pada hari ini.
Kehadiran anda semua bukan saja telah memeriahkan majlis ASK 2019 tetapi ia juga merupakan tanda sokongan kuat kepada industri hiburan kami untuk kekal aktif dan relevan kepada penonton kami.”
“Untuk makluman, rancangan Anugerah Skrin 2018 telah meraih kemenangan Anugerah Rekabentuk Set Terbaik dan bertanding dalam kategori Rancangan Anugerah Terbaik dalam edisi penganjuran ini.
Pihak produksi selalu mengambil kira semua aspek dengan teliti supaya kelangsungan majlis berjalan dengan lancar dan tidak hambar.
Sudah semestinya, kami menyediakan pelbagai selingan program untuk menghiburkan para hadirin dan penonton yang mengikut siaran langsung ASK 2019.
– Encik Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad
Nantikan persembahan nyanyian mantap oleh pasangan duo seperti Dato’ Jamal Abdillah & Sissy Imann, Syamel & Ernie Zakri, Hael Husaini & Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat & Santesh, pertunjukan silap mata yang memukau oleh The MADgicians, tarian yang energetik oleh 2Twenty2 Squad, sketsa komedi oleh Ebby Yus, Issey & Zizi Kirana, persembahan hebat daripada Andi Bernadee & Psycusix dan juga 10 protege Mentor Milenia 2019,” tambah Encik Johan lagi.
ASK 2019 mempertaruhkan 30 kategori yang merangkumi 14 kategori drama, 7 kategori filem, 9 kategori bukan drama dan teknikal.
Malam ini, ASK 2019 meraikan barisan pemenang baharu untuk 23 kategori yang dipertandingkan.
Terdahulu, ASK 2019 telah mengumumkan 7 pemenang dari kategori bukan drama dan teknikal iaitu Rekabentuk Set Terbaik, Montaj Terbaik, Rancangan Dokumentari Terbaik, Rancangan Bual Bicara Terbaik, Laporan Khas Berita Terbaik, Rancangan Hiburan Terbaik dan Rancangan Anugerah Terbaik. Kelangsungan majlis ini telah dirakam dan disiarkan dalam program Melodi TV3 pada 27 Oktober 2019.
Susulan dengan maklum balas positif yang diterima pada tahun lepas, ASK 2019 mengekalkan konsep untuk tidak menampilkan hos utama. 6 pasangan selebriti popular dan sensasi iaitu Zizan Razak & Nabila Huda, Rozita Che Wan & Zain Saidin, Siti Sarah & Shuib, Shaheizy Sam & Syatila Melvin, Eira Syazira & Azad Jasmin, dan Elly Mazlein & Shuk Sahar akan berperanan sebagai penyampai anugerah untuk mengacarakan majlis anugerah penuh gilang-gemilang ini.
Karpet Merah ASK 2019 yang dikemudikan oleh Sean LJE dan Nina Nadira bersiaran secara langsung menerusi TV9 dari pukul 8.30 malam hingga 9.00 malam dan laman sesawang www.tonton.com.my
Kru penerbitan ASK 2019 diketuai oleh Tengku Shahilawati selaku penerbit eksekutif dan Shahrizan Razali sebagai penerbit.
Rancakkan perbualan ASK 2019 di laman sosial anda dengan hashtag #ask2019!. Dapatkan berita lanjut, kisah di sebalik tabir dan perkembangan ASK 2019 di www.xtra.com.my