Program Mikrofon Impian adalah satu program nyanyian realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada program game show nyanyian nombor 1 di Thailand yang dimiliki oleh Workpoint Entertainment Public Company Limited.
Jika di negara asal program ini iaitu Thailand, program ini dikenali sebagai Mic On Debt Off. Program ini turut ditayangkan dalam versi Indonesia di stesen televisyen Indosiar yang berjudul Mikrifon Pelunas Hutang.
Air Mata Pak Nil Tumpah Lagi dalam MIKROFON IMPIAN
Budiey kira, program ini cukup istimewa dan lain dari yang lain kerana ia tidak meletakkan bakat nyanyian sebagai matlamat utama. Ia mementingkan tentang kisah individu tersebut serta kesusahan yang mereka alami di mana terpaksa menanggung hutang yang sangat banyak.
MIKROFON IMPIAN ini mengekalkan format asal program tersebut yang dirangka untuk membantu para peserta yang mempunyai masalah kewangan untuk melunaskan bebanan hutang. Namun begitu, terdapat pengisian elemen baharu yang turut disuntik untuk menambah baik format asal agar bersesuaian dengan budaya serta relevan untuk tontonan masyarakat tempatan.
Manakala jenis bebanan hutang pula dibahagikan mengikut kategori masing-masing termasuklah hutang ibu bapa dan penjaga, hutang dengan pihak badan berkanun, hutang dengan pihak bank serta hutang dengan pihak individu.
Dari segi hadiah pula, hadiah wang tunai yang ditawarkan pula adalah mengikut jumlah keperluan bantuan kewangan yang diminta berdasarkan situasi masing-masing. Hadiah wang tunai mingguan kepada para pemenang ini juga merupakan tajaan Astro dan Chatime Malaysia.
Dua peserta akan berentap dalam pusingan kalah mati untuk setiap episod. Mereka akan diminta untuk menjelaskan situasi kewangan yang dihadapi sebelum menyanyikan lagu pilihan masing-masing di hadapan juri. Peserta yang berjaya memikat hati juri akan mara ke pusingan akhir untuk menentukan jumlah wang tunai yang bakal dimenangi.
Dalam pusingan akhir, peserta akan diajukan soalan lazim berkenaan industri hiburan. Untuk menjawab soalan tersebut, peserta harus memilih salah satu mikrofon yang telah ditanda dengan nombor di hadapan dan menyanyi mengikut pilihan jawapan yang telah dipilih. Jika mikrofon yang dipilih berbunyi menandakan jawapan yang dipilih adalah tepat. Jika gagal, peserta hanya berjaya membawa pulang separuh daripada jumlah bantuan kewangan yang diminta.
Mikrofon Impian akan bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 17 Februari menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).