Penerbit dan pengarah, Michael Ang menawarkan RM500 kepada individu yang berjaya melakukan kuarantin kendiri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.Katanya, ganjaran wang tunai berkenaan bukan bertujuan meraih publisiti, sebaliknya sebagai suntikan semangat kepada masyarakat memutuskan rantaian Covid-19.
“Salam semua, ini saya bukan nak buat content, jadi terkenal atau jual barang.
“Cuma saya harap dapat mampu galakkan rakyat Malaysia melakukan kuarantin sendiri.
“Kalau perkongsian ini dapat membuatkan 100 orang melaksanakan pematuhan ini, saya cukup bersyukur.
“Anda semua boleh melakukannya. Sayang semua!,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram, malam tadi.
Semalam, kerajaan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa untuk tempoh empat minggu bermula 12 Mei hingga 7 Jun depan.
Langkah berkenaan diambil berikutan penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baharu yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.
Sementara itu, Michael berkata, penyertaan dibuka bermula hari ini hingga 8 Jun depan dengan mengirimkan perkongsian aktiviti menerusi Instagram.
“Sesiapa yang mahu kreatif dipersilakan untuk menghantarkan bukti mereka melakukan ‘self lockdown’ kepada saya bermula hari ini. Duit akan saya berikan pada 10 Jun,” tambahnya.
Pengarah drama Marry Me Senorita itu turut menjelaskan kuarantin kendiri bukan bermakna wajib duduk di rumah saja.
“Di sini saya nak maklumkan ‘self lockdown’ kalau bekerja tak boleh lakukannya. Pergi dan balik kerja saja. Makan bungkus saja dari rumah dan makan di pejabat,” katanya lagi.