Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencuri perhatian selepas ada peminat berkongsi gelagatnya yang sedang berjalan tergesa-gesa kerana menghadiri sebuah acara yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di TikTok, individu yang dikenali sebagai @bahiuddinhussin berkongsi momen bersama Siti apabila dia sempat memanggil penyanyi itu untuk singgah sebentar di gerainya sambil merasa kuih yang dijual.
Tidak kekok dan sentiasa ramah melayan karenah peminat, Siti bagaimanapun sempat berhenti dan merasa sendiri makanan tersebut sebelum melayan peminatnya itu untuk mengambil foto bersama-sama.
Bahkan, dalam hantaran yang sama, peminat tersebut memberikan kuih yang dijualnya itu kepada Siti secara percuma, namun pelantun lagu Aku Cinta Padamu itu bertegas untuk membayar kuih terbabit.
Melihat sikap Siti yang sentiasa merendah diri membuatkan rata-rata netizen terharu dan menghormati penyanyi itu kerana sikapnya yang sentiasa berbudi bahasa melayan peminat.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian video tersebut telahpun meraih lebih 600,000 tontonan dan lebih 20,000 tanda suka sejak ia dimuat naik.