Kempen Syukur Selalu yang diangkat sebagai kempen Ramadan dan Raya oleh Media Prima Berhad memeriahkan suasana di Taman Awam Kubang Gajah, Temerloh Pahang menerusi penganjuran istimewa Bazar Syukur Selalu. Seramai lebih 10,000 orang pengunjung mengambil peluang untuk menyaksikan sendiri bazar yang menjual pelbagai juadah berbuka puasa dan menemui barisan artis terkenal yang dibawakan khas untuk beramah mesra dengan warga Temerloh.
Manakala sebanyak hampir RM9,000 berjaya dikutip hasil daripada jualan amal itu dan kemudiannya diserahkan kepada Pusat Jagaan Rumah Curahan Kasih Sayang Ikhwan. Pada hari yang sama, anak-anak yatim dari pusat ini turut diraikan di dalam majlis berbuka puasa istimewa. Malah YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar bin Haji Shamsudin, EXCO Perlancongan & Kebudayaan Negeri Pahang sempat berkunjung diiringi pengurusan kanan Media Prima Berhad, Encik Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Puan Siti Nurlisia, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9 serta duta Syukur Selalu, para selebriti, dan pihak media.
Bazar Syukur Selalu bertujuan menyebarkan mesej positif kempen tersebut yang mengajak rakyat Malaysia untuk melahirkan rasa keinsafan, bersyukur dan menghargai segala nikmat yang masih dikecapi serta menzahirkan kebahagiaan mereka dengan cara tersendiri.
Antara aktiviti-aktiviti menarik yang berlangsung di sekitar bazar itu adalah sesi gotong-royong untuk menyediakan juadah berbuka puasa oleh para personaliti TV3 dan TV9. Para personaliti yang bakal berada di gerai gotong-royong ini adalah Zaim Helmi Zaini (MHI), Hazrena Mohamed Kassim (WHI), Ally Iskandar (MHI), Nurul Fariha Onn (MHI), serta Ikhwan (Hot FM). Antara juadah yang bakal disediakan adalah Gulai Ikan Patin Tempoyak dan Gulai Ikan Sungai Masak Lemak Cili Api. Manakala bubur lambuk pula bakal diagihkan secara percuma kepada para pengunjung.
Selain itu, Duta Syukur Selalu tidak ketinggalan turun padang untuk bersama warga negeri Pahang. Antaranya ialah Ahmad Fedtri Yahya, Aeril Zafrel, Zara Zya, Izreen Azminda, Fizo Omar, Elfira Loy, Fadlan Hazim dan Kaka Azraff. Malah dua penyanyi terkenal iaitu Dayang Nurfaizah dan Black juga akan turut serta kerana mereka merupakan pelantun lagu tema Syukur Selalu.
Bazar ini tidak lengkap sekiranya tidak terdapat pelbagai gerai untuk para pengunjung mendapatkan makanan untuk menu berbuka puasa. Oleh kerana itu, 10 buah gerai diperkenalkan diinspirasikan oleh nama rancangan-rancangan Ramadan dan Raya yang bersiaran di TV3 dan TV9. Gerai ini merupakan gerai jualan amal di mana setiap hasil kutipan akan diserahkan sepenuhnya kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih di acara berbuka puasa pada hari yang sama.
Selain gerai jualan amal dan gerai gotong royong, Bazar Syukur Selalu turut dimeriahkan oleh gerai Coca-Cola yang bakal membawakan siri aktiviti menarik. Selain berpeluang mendapatkan set iftar secara percuma di tapak acara, para pengunjung juga boleh membeli barangan berupa kemeja-T dan apron eksklusif Syukur Selalu di gerai Wow Bag Corner.
Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9 berkata
“Kami amat gembira kerana dapat bersama dengan para penonton kami dengan lebih dekat menerusi Bazar Syukur Selalu yang diadakan di dua buah lokasi iaitu Pahang pada 27 Jun dan Johor pada 4 Julai 2015. Lebih menarik ialah kami akan membawakan barisan artis terkenal yang bakal menghiasi rancangan TV3 dan TV9 sempena Ramadan dan Raya ini. Selain bertemu dengan artis kesayangan mereka, para pengunjung juga boleh membeli juadah berbuka puasa sambil beramal kerana semua hasil jualan akan diserahkan kepada rumah anak-anak yatim yang terpilih.
Tahun ini Kempen Syukur Selalu membawakan kelainan dengan memperkenalkan Skuad Syukur Selalu iaitu pasukan vespa yang mengedarkan set iftar eksklusif untuk pengunjung bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang dan menghasilkan aplikasi Syukur Selalu yang boleh dimuat turun secara percuma untuk orang ramai mendapatkan informasi seperti intisari rancangan TV3 dan TV9, resepi, tips berfesyen, waktu imsak dan berbuka, keadaan trafik dan banyak lagi. Dengan aplikasi interaktif ini orang ramai boleh menyertai peraduan ‘Kampung Gua Hebat’ untuk menyumbangkan mata kepada negeri masing-masing dengan cara memuat naik foto untuk memenangi kunjungan rumah terbuka daripada pihak kami,” tambah Sherina.
Lokasi persinggahan Bazar Syukur Selalu yang seterusnya adalah di tempat letak kereta A, Angsana Johor Bahru Mall yang dijadualkan bakal berlangsung pada 4 Julai nanti. Teruskan menonton rancangan Ramadan dan Raya menarik di TV3 dan TV9.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.tv3.com.my dan www.tv9.com.my. Muat turun aplikasi mudah alih #SyukurSelalu hari ini dan ikuti info terkini kempen #SyukurSelalu.
Berikut ialah gerai-gerai dan artis-artis yang terlibat di Bazar Syukur Selalu, Pahang:
NAMA GERAI | SELEBRITI | MENU |
TV3 | ||
1. Pondok Kambing Opah | Zamarul HishamNazrief Nazri | Kambing Opah Tergolek |
2. Jejak Madrasah Sahur | Anwar AfiqJaja Talib & Aween (Peserta Nona Manis) | Jejak Ayam PercikNasi Kerabu Madrasah |
3. Homestay Juara Lagi | Achok ChilokChiwan Chilok | Aneka Minuman Juara |
4. Gerobok Abang Sado | Adibah YunusIdris Khan | Gerobok Nasi TomatoNasi Ayam Kau Hado |
5. Isyarat Cinta Romeo Kota | Sofi JikanFatihin (Peserta Nona Manis) | Nasi Briyani Cinta Romeo |
TV9 | ||
6. Manisnya Bila Bujang Masuk Dapur | Faiz TapawTalha Harith | Sate BujangAneka Kuih Manis |
7. The Sound of Mad Markets | Mira FilzahMuadz HIP TV | Mad Spaghetti BolognaisePuding Karamel |
8. Projek Meja Diva | Fahmie Mentor LegendMaryam (Peserta Nona Manis) | Murtabak DivaRoti Jala
Roti John |
9. Laki Aku Drakula Street | Fizz FairuzSyadanar (Peserta Nona Manis) | Mi/Mihun Sup Laki AkuSup Daging Drakula |
10. Galaksi Buskestra | Radhi OAGAzmil Mentor | Popiah GalaksiRojak Buah Buskestra |