Merdeka 118, mercu tanda kebanggaan rakyat Malaysia, mencipta sejarah baharu apabila muncul dalam filem aksi Hollywood terbitan Marvel Studios berjudul Thunderbolts. Bukan sekadar hiasan latar, bangunan ikonik setinggi 678.9 meter ini menjadi lokasi utama adegan mendebarkan yang melibatkan watak Yelena Belova lakonan Florence Pugh, yang membuat lompatan ekstrem dari puncak bangunan tersebut. Ya, ini bukan CGI semata-mata — ini aksi sebenar dengan langit Kuala Lumpur sebagai saksi!
Merdeka 118 Disinari Kilauan Marvel Di Layar Dunia
Filem Thunderbolts, yang bakal menemui penonton bermula 1 Mei 2025, menjadikan Kuala Lumpur bukan sekadar latar belakang, tapi sebahagian daripada nadi naratifnya. Lebih istimewa, penggambaran dijalankan pada Ogos 2024, melibatkan kerjasama erat antara produksi Marvel Studios dan tenaga tempatan termasuk jurutera serta pelakon Malaysia seperti Syaza Atheera.
Pengarah filem, Jake Schreier, berkongsi bagaimana adegan berisiko tinggi ini dijayakan:
“The stunts for this film were an incredible team effort. We consulted with Malaysian engineering firms to ensure the stunt’s safety, especially in how the equipment was designed,”
– Jake Schreier
Menurutnya lagi, Florence Pugh melakukan aksi tersebut secara langsung tanpa suntingan atau potongan:
“Florence had to perform the stunt fully in character, with no cuts in between — she was so committed and pulled it off perfectly.”
– Jake Schreier
Betapa luar biasanya komitmen yang diberikan untuk menjadikan detik itu realistik, menggigit dan beremosi, cukup untuk buat bulu roma meremang!
Pertunjukan Cahaya Spektakular Dari Puncak Malaysia
Sempena tayangan filem ini, Merdeka 118 akan diterangi dengan pencahayaan khas bertemakan Thunderbolts, bermula dari 29 April hingga 1 Mei, dari jam 8:00 malam hingga 12:00 tengah malam. Inilah peluang untuk menyaksikan bagaimana bangunan tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia bercahaya dalam aura Marvel, memperlihatkan gabungan teknologi tempatan dan budaya pop antarabangsa.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton video eksklusif di sebalik tabir penggambaran aksi di Merdeka 118, yang kini sudah boleh ditonton di saluran rasmi Walt Disney Studios Malaysia.
Penuh Antihero, Penuh Misteri: Kenali Thunderbolts*
Filem Thunderbolts menyatukan kumpulan watak antihero yang tidak konvensional seperti Yelena Belova, Bucky Barnes, Red Guardian, Ghost, Taskmaster dan John Walker. Dipaksa untuk bersatu setelah terperangkap dalam misi maut oleh Valentina Allegra de Fontaine, mereka perlu berdepan dengan masa silam masing-masing yang kelam dan menakutkan.
Persoalannya, adakah mereka akan musnah kerana konflik dalaman, atau mampu mencari penyatuan dan penebusan sebelum segalanya terlambat?
Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti: Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer, Wendell Pierce, David Harbour, Hannah John-Kamen, dan Julia Louis-Dreyfus.
Pengarah: Jake Schreier
Penerbit: Kevin Feige
Penulis Skrip: Eric Pearson & Joanna Calo
Cerita Asal Oleh: Eric Pearson
Thunderbolts* akan ditayangkan secara rasmi di pawagam seluruh Malaysia pada 1 Mei 2025.
Untuk maklumat lanjut dan video eksklusif, anda boleh lawati akaun rasmi Walt Disney Studios Malaysia di: Instagram: @WaltDisneyStudiosMY
Facebook: @WaltDisneyStudiosMY
YouTube: @WaltDisneyStudiosMY
Hashtag rasmi: #Thunderbolts*
Apa Kata Budiey?
Ini bukan sekadar filem Marvel biasa. Ini adalah pengiktirafan antarabangsa terhadap lanskap ikonik negara kita, dan bukti bahawa Malaysia bukan lagi hanya pemerhati, tapi kini menjadi watak penting dalam sinema global. Merdeka 118 yang gah kini tersenarai dalam sejarah sinema Hollywood — satu pencapaian yang wajar diraikan.
Budiey sangat menyarankan untuk tonton filem ini di pawagam, terutamanya di layar IMAX bagi menikmati sepenuhnya kehebatan visual dan aksi yang luar biasa. Sekiranya anda pencinta Marvel, pencinta Malaysia, atau pencinta bangunan pencakar langit, Thunderbolts adalah filem wajib tonton tahun ini!*