Dalam semangat menyemarakkan Ramadan, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), sekali lagi meneruskan tradisi tahunan Bubur Lambuk Bersama Komuniti Merdeka 118. Namun, tahun ini menjadi lebih istimewa kerana buat pertama kalinya, program ini diadakan di Stadium Merdeka, lokasi yang penuh dengan nilai sejarah dan nostalgia bagi rakyat Malaysia.
Sejak awal pagi, suasana di Stadium Merdeka bertukar meriah dengan kehadiran sukarelawan daripada PNB dan PMVSB yang berganding bahu dalam penyediaan bubur lambuk – satu juadah yang menjadi sinonim dengan bulan Ramadan. Bermula seawal 7:30 pagi, para sukarelawan bekerjasama dalam menyediakan bubur lambuk, sebelum diagihkan kepada komuniti setempat selepas solat Jumaat di Masjid Al-Sultan Abdullah pada jam 2:00 petang. Sebanyak 500 bungkus bubur lambuk diedarkan kepada penduduk sekitar, menjadikan program ini satu usaha yang berjaya dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Komuniti Terharu Dengan Keprihatinan PMVSB
Kehangatan program ini turut dirasai oleh penduduk setempat, yang menganggap inisiatif ini sebagai tanda keprihatinan PMVSB terhadap kebajikan komuniti. Mohd Azmi Bin Zakaria, Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam (PA) Seri Sarawak, menyatakan penghargaan beliau terhadap usaha berterusan PMVSB dalam memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat.
“Kami amat menghargai keprihatinan PMVSB yang tidak hanya menganjurkan program ini, tetapi juga turut menyokong pelbagai inisiatif lain seperti projek madu lebah kelulut, Dapur Komuniti, dan baik pulih taman kami. Ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebuah hubungan jangka panjang yang amat bermakna buat kami,” katanya.
Tahun lalu, program ini bermula dengan pengagihan 450 pek bubur lambuk kepada penduduk di PA Seri Sarawak, PA Jalan Hang Tuah, PA Loke Yew, dan PA Seri Selangor. Tahun ini, skala yang lebih besar membolehkan lebih ramai anggota komuniti mendapat manfaat daripadanya.
Mengukuhkan Jalinan Bersama Komuniti Merdeka 118
Dato’ Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, menekankan kepentingan program ini dalam membina hubungan erat antara Merdeka 118 dan komuniti sekitarnya.
“Inisiatif ‘Bubur Lambuk Bersama Komuniti Merdeka 118’ bukan sekadar aktiviti pengagihan makanan, tetapi satu simbol keterlibatan dan keprihatinan kami terhadap masyarakat sekitar. Kami mahu terus menjadi sebahagian daripada komuniti ini, dan tidak hanya hadir sebagai entiti berasingan. Pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi tahun ini memberikan peluang kepada kami untuk mendekati lebih ramai orang dan mengukuhkan hubungan yang telah terjalin,” ujar beliau.
Komitmen PMVSB untuk terus menganjurkan program yang mendukung nilai kebersamaan dan kesejahteraan sosial di kawasan Merdeka 118 jelas melalui pelbagai inisiatif lain yang telah dilaksanakan. Selain program ini, Stadium Merdeka kini semakin aktif menjadi platform bagi pelbagai acara, termasuk sukan, kesenian, warisan, serta program hiburan yang menarik perhatian masyarakat dari pelbagai lapisan umur.
Apa Kata Budiey?
Langkah PMVSB dalam menganjurkan Bubur Lambuk Bersama Komuniti Merdeka 118 di Stadium Merdeka bukan sahaja satu usaha murni dalam menyemarakkan Ramadan, tetapi juga menunjukkan komitmen mereka dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat. Program sebegini bukan sahaja membawa manfaat dalam bentuk agihan makanan, tetapi lebih penting lagi, ia memperkukuh ikatan silaturahim serta semangat kejiranan yang semakin pudar dalam kehidupan moden hari ini.
Dengan program yang semakin berkembang dari tahun ke tahun, Budiey berharap agar lebih banyak organisasi dan syarikat mengambil inspirasi daripada inisiatif ini. Usaha seperti ini bukan sahaja mampu menceriakan Ramadan, tetapi juga menjadi simbol keprihatinan dan tanggungjawab sosial yang patut dicontohi. Semoga Merdeka 118 terus menjadi pusat komuniti yang aktif dan memberi impak positif kepada semua!