Drama menarik kisah cinta ke hujung nyawa bertajuk “Menunggu Hujan Teduh†arahan Izma Aizal Yusoof yang diangkat sebagai Telefilem Terbaik Anugerah Tribute P Ramlee 2014 bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersempena meraikan sambutan Hari RTM Ke-70 tahun yang disambut 1 April 2016.
Membariskan pelakon Zaidi Omar, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani, Zarynn Min dan seniwati Mariani, drama ini bakal menemui penonton pada 5 April ini, pukul 10.00 malam mengisi slot Citra di TV2.
Ia mengisahkan Rahman berusia lewat 50-an tidak pernah melalui detik-detik cinta bersama isterinya, Habibah. Rahman sibuk bekerja untuk menyara anak-anak. Manakala Habibah pula sibuk melakukan kerja-kerja rumah untuk membantu Rahman serta menguruskan anak-anak.
Sehinggalah anak-anak semua telah berkahwin dan masing-masing mendapat pekerjaan, barulah Rahman dan Habibah dapat menikmati saat-saat manis berdua. Rahman membetulkan semula motorsikal vespa kesayangan yang dimiliki sejak dia belum berkahwin dengan Habibah. Dengan vespa tersebut, Rahman dan Habibah sering ke mana-mana, lagak seperti pasangan yang sedang bercinta, waima ke masjid sekalipun serta menghadiri kuliah-kuliah agama. Malah Rahman sentiasa mencari kesempatan untuk berpegang tangan dengan Habibah.
Malangnya tindakan Rahman dan Habibah menjadi buah mulut penduduk kampung serta menimbulkan rasa kurang senang anak lelaki keduanya, Hisyam dan perempuan bongsunya, Maizura. Hisyam yang berpendidikan sekolah agama dan menjadi kaunselor rasa malu dengan perubahan sikap Rahman dan Habibah yang dianggap keterlaluan terutama ke masjid dengan menunggang vespa sedangkan Rahman mempunyai kereta yang dihadiahkan oleh anak-anaknya.
Maizura pula yang sedang menjalin hubungan cinta dengan Shahrol rasa terpukul apabila Shahrol bertunang dengan orang lain atas pilihan keluarga dan akur. Shahrol secara sinis memberitahu yang dia terserempak dengan Rahman dan Habibah yang sedang menunggang vespa lagak pasangan hangat bercinta.
Hisyam dan Maizura mendesak agar Rahman tidak lagi mengulangi perbuatan yang dianggap memalukan itu. Rahman terkilan dan cuba mempertahankan yang tindakannya tidak melanggar batas hukum dan agama. Pertelingkahan tersebut menyebabkan Hisyam, nekad tidak pulang menjengah kedua ibu bapanya dengan harapan mereka berubah. Malangnya tindakan Hisyam makin mengecewakan Rahman.
Jiran mereka pula, Rokiah cuba menegur Habibah supaya tidak terlalu mengikut apa saja kehendak Rahman. Bagaimanapun Habibah mempertahankan Rahman. Sudah lama mereka melupakan hasrat dan keinginan masing-masing kerana sibuk membesarkan anak-anak, salahkah sekarang setelah tanggungjawab mereka selesai mereka memberi perhatian kepada diri mereka sendiri.
Habibah sedar, banyak keinginan Rahman ketika muda dulu terpaksa diabaikan demi tanggungjawabnya pada keluarga. Sekarang Rahman mampu melakukan apa yang diinginkan ketika muda dulu. Biarlah Rahman menikmati saat ituasalkan ia tidak melanggar hukum agama. Jauh di sudut hati, Habibah sedar apa yang dilakukan oleh Rahman bukan saja untuk melepaskan hasrat hatinya tetapi untuk menyedarkan anak-anak yang makin jauh dengan mereka setelah masing-masing berumah tangga. Bagi Habibah, manusia akan mengata jika melihat sesuatu di luar kebiasaan.
Rahman terharu dengan sokongan Habibah. Hanya Habibah memahami perasaannya merindui saat-saat berebut makan bersama anak-anak. Justeru Rahman sering meluahkan kata-kata, biarlah dia mati dahulu dari Habibah kerana jika Habibah yang mati dahulu pasti Rahman akan lebih terasa kehilangan. Hubungan Maizura dengan Shahrol mula dingin. Maizura berasa malu untuk keluar bersama-sama Shahrol. Maizura merasakan Shahrol tidak serius dengan hubungan mereka.
Maizura menghubungi Rahman dan Habibah untuk menegur tingkah laku seperti yang diperkatakan oleh orang kampung, Habibah terkilan lalu menyindir, dia berpegang tangan dengan Rahman bukanlah sesuatu yang haram tetapi haram jika Maizura dan Shahrol berpegang tangan. Maizura rasa terpukul, lalu pulang dalam rajuk. Lalu apakah kesudahannya?
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.