Bagi menyaksikan kisah disebalik keunikan Maiko dan Geiko ini, saksikan episod “Menjejak Misteri Maiko dan Geiko†dalam program Panorama yang diterbitkan oleh Rosli Mohd Nordin dan pengacaranya, Tun Julia Mohd Tahir pada 26 November 2014 (Rabu), 10:05 malam di TV1.
“Geisha tidak menjual tubuh, tapi menjual kemahiran menghibur tetamu yang datang berkunjung ke premis kami,†demikian tegas Norika Nakanishisan, penjaga Maiko dan Geiko di kota Kyoto, Jepun. Inilah kenyataan tegas wanita yang berusia sekitar 60-an ini setelah diutarakan soalan mengenai perbezaan antara Geisha dengan Maiko dan Geiko.
Boleh diibaratkan menggunakan pepatah Melayu “kerana nila setitik rosak susu sebelanga†mungkin inilah yang boleh dikaitkan dengan konotasi sisi negatif kehidupan golongan Geisha; oleh kerana itu fragmen kehidupan Maiko dan Geiko juga terpalit cerita yang kurang manis. Namun ia adalah sebaliknya apabila krU produksi Panorama meninjau dan menyaksikan sendiri kehidupan sebenar Maiko dan Gaiko di daerah Gion, Kyoto.
Kyoto sebuah bandar yang terkenal sebagai kawasan latihan seni di peringkat tertinggi para geisha. Novel dan filem terkenal Hollywood ‘Memoirs of A Geisha’ juga menjadikan Kyoto sebagai lokasi penggambaran filem itu. Selama ini perkataan ‘Geisha’ memberikan persepsi negatif. Mereka disalahertikan sebagai pekerja seks komersial, namun persepsi itu kurang tepat sebenarnya. Dalam masyarakat Jepun, Geisha adalah salah satu profesion yang cukup terhormat, profesional dan menuntut kemahiran yang tinggi.
Perkataan Geisha berasal dari akar kata “Gei†yang bererti Seni dan “Sha†yang bererti orang yang melakukan sesuatu perbuatan (seni). Dalam bahasa Jepun, Geisha adalah ‘seniman’ atau kata lain bermaksud pekerja seni atau artis persembahan yang memiliki kemahiran seni Jepun peringkat tinggi yang mempunyai taraf yang sama seperti seni kaligrafi, ikebana (seni hias bunga) dan penyediaan upacara minum teh. Namun Geisha lebih terkenal dengan kemampuannya menari, menyanyi dan memainkan alat muzik tradisional Jepun seperti harpa koto, shamisen banjo dan drum taiko.
Sejarah Geisha bermula sejak tahun 1603, di awal pemerintahan Tokugawa. Ketika itu Jepun memasuki era “perdamaian†dan tidak terlalu memberi penekanan dengan masalah peperangan. Ia bagi membolehkan negara Jepun mencapai kemakmuran dalam bidang perdagangan dan budaya. Ketika itulah munculnya pusat pendidikan para Geisha di kota Kyoto. Para Geisha muda digelar sebagai Maiko, mereka memulakan latihan bagi bergelar seorang Maiko pada usia seawal 12 tahun hingga 20 tahun. Maiko harus menjalani pendidikan dan latihan yang ketat sebelum layak menjadi seorang Geisha atau Geiko (panggilan bagi Geisha di daerah Kyoto).
Sepanjang menjalani latihan tersebut, Maiko dikehendaki menguasai seni penampilan dan pemakaian kimono yang amat rumit. Ia dimulai dari aspek pemilihan cucuk sanggul/rambut (hana kanzashi), seni sanggul, jenis kimono dan cara berjalan, seorang Maiko wajib menguasai semua kemahiran tersebut. Oleh kerana silibus pembelajaran dan latihan ini terlalu ketat, hanya sekitar 20 peratus dari Maiko yang berjaya lulus menjadi Geiko atau Geisha.
Sehingga ke hari ini, pertunjukan seni Geisha masih mendapat sambutan hangat daripada tidak sahaja penduduk tempatan malah pelancong asing. Namun persembahan tradisi ini mencapai kemuncaknya pada setiap bulan April, sempena menyambut musim bunga di kota Kyoto. Penampilan seni tersebut dinamakan Miyako Odori atau tarian bunga sakura (cherry blossom dance). Miyako Odori dijadikan sebagai tempat para Maiko dan Geiko untuk menampilkan hasil latihan, disiplin dan usaha keras mereka belajar selama bertahun-tahun.
Mendapat peluang untuk menyaksikan pertunjukkan Maiko dan Geiko agak sukar kerana popularitinya yang tinggi serta harga tiket yang agak mahal. Namun kesempatan yang diberikan oleh pihak Yakult Malaysia yang sanggup menerbangkan pasukan produksi Panorama memberikan pengalaman amat berharga buat kami.
Kami terpegun dengan penampilan tari serta kostum Maiko dan Geiko yang begitu unik. Selain penampilan tarian dan nyanyian, kostum yang dikenakan juga sungguh mempesonakan. Kononnya setiap tahun, kostum ini dibuat khusus untuk seorang Maiko dan Geik, ia dijahit dengan menggunakan tangandan memerlukan lebih dari enam bulan untuk satu kimono disiapkan.
Penampilan para Maiko dan Geiko menunjukkan penguasaan dan kemahiran seni tari yang baik. Gerak tari yang elegan, alunan muzik dan lagu tradisional Jepun kelihatan begitu sempurna dipersembahkan oleh Maiko dan Geiko seolah-olah membawa kami di awal zaman Edo di tahun 1600.
Ternyata Kyoto dengan sejarah panjangnya selama 1,200 tahun, memang sinonim dengan keindahan seni dan kecantikan para Maiko dan Geikonya. Kota ini menyimpan roh budaya dan leluhur bangsa Jepun yang amat berkait rapat dengan seni Geisha (Maiko dan Geiko). Di kota ini juga terdapat terdapat tarikan yang begitu mempesonakan dari sudut kesenian, budaya, sejarah mahupun setiap setiap kali pertukaran musimnya.
Fakta Menarik:
• Geisha muda digelarkan sebagai Maiko, manakala Maiko senior yang telah mencapai tahap profesion tertinggi dikenali sebagai Geiko.
• Maiko yang dilatih perlu tinggal bersama penjaga atau ibu angkat mereka sepanjang proses pembelajaran dengan disiplin yang ketat
• Persembahan Geisha merupakan persembahan yang sangat eksklusif di Jepun. Selain dikenakan harga tiket yang mahal, penonton yang datang juga perlu diperkenalkan kepada ibu/penjaga pusat Geisha sebelum dibenarkan masuk ke premis berkenaan.
• Jika tiada individu yang kenal dan mempunyai reputasi baik dengan penjaga Maiko dan Geiko, anda tidak dibenarkan masuk menyaksikan persembahan mereka walaupun anda sanggup membuat bayaran yang mahal serta mempunyai pengaruh atau jawatan tinggi seperti pengarah syarikat, pemilik perniagaan mahupun menteri.