MENGHAYATI ERTI ‘KORBAN’ & PENGORBANAN
TV3 Saji Pelbagai Program Menarik & Hebat Sempena Hari Raya Haji
Ketika berjuta umat Islam seluruh dunia berkumpul di Mekkah Al Mukarramah sedang mengerjakan ibadah haji demi menunaikan rukun kelima, Hari Raya Haji ataupun Hari Raya Korban juga disambut penuh makna bagi memperingati kisah pengorbanan besar Nabi Ibrahim A.S. dan kesabaran anaknya Nabi Ismail A.S. dalam menunaikan perintah Allah SWT.
Sempena sambutan Aidiladha yang bakal tiba, istimewa buat semua penonton setianya, TV3 bakal menyajikan pelbagai program dan rancangan menarik dan hebat mulai 17 November (Rabu) sehingga 21 November, 2010 (Ahad).
Menurut Pn. Nurul Aini Abu Bakar selaku Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, “10 Zulhijjah merupakan tarikh yang cukup istimewa bagi semua umat Islam di dunia, justeru ini merupakan platform terbaik bagi kami dan juga kesempatan yang sempurna bagi para penonton untuk sama-sama belajar dan menghayati erti dan perbezaan korban dan pengorbanan melalui pengisian kanduangan yang cuba disampaikan.
Tidak kira samada menerusi rancangan bual bicara seperti MHI & WHI, mahupun magazine & documentary yang menampilkan Al Hidayah UK, Al Kuliyah, Syahadah Cinta termasuklah telemovie terpilih seperti Sebening Keringat dan Karma Salina yang diterbitkan khas sebagai kesinambungan telemovie Airmata Nur Salina yang mendapat sambutan hebat ketika disiarkan sewaktu minggu Raya, kesemua program yang bakal dipertontonkan di TV3 sempena Aidiladha ini sememangnya sarat dengan nilai murni dan dapat memberikan inspirasi kepada penonton dengan mesej positif yang disampaikan dan sesuai untuk hiburan seisi keluarga.â€
Berikut ialah program-program istimewa di TV3 sempena minggu sambutan Aidiladha/Hari Raya Haji kali ini:-
TELEMOVIE TERBARU RAYA HAJI
Gosok, Rabu, 17 November, 3.00ptg
Mengisahkan persahabatan akrab di antara Tam, Iman dan Bob yang membesar dalam suasana ceria kampung mengumpul labah-labah, bermain sungai, menikmati buah rambutan sambil memikat hati gadis comel bernama Eton. Namun mereka sentiasa mengimpikan kehidupan yang berbeza di mana tam ingin menjadi seorang penghibur, Iman seorang pelakon manakala Bob ingin mengusahakan perniagaan telur. Meningkat dewasa, impian masing-masing masih belum tercapai kerana Tam masih bekerja di kedai kopi ibubapanya manakala Iman dan Bob juga tidak berganjak ke mana. Nekad untuk mengubah nasib, ketiga mereka bertindak meninggalkan kampung dan berhijrah ke Bandar demi mengejar cita-cita masing-masing. Berjayakah mereka menempa nama di kota?
Pelakon: Tam Spider, Nurul Iman Boy, Yusof Jaafar, Hamid Ghurka
Sebening Keringat, Rabu, 17 November, 10.00mlm
Keinginan untuk menunaikan fardhu Haji ke Mekah membuatkan warga emas, Mak Putih bekerja keras mencukupi tabungannya. Mak Putih membesarkan cucu-cucunya yang kematian ibu bapa dengan penuh kepayahan dan meredah kesengsaraan. Selama 15 tahun, Mak Putih melakukan kerja sebagai pengumpul sampah dari rumah ke rumah. Dengan menggunakan kereta tolak yang dibuat sendiri, Mak Putih mengutip sampah dari rumah yang memberinya upah, lalu mengumpulkan ke tong sampah Majlis Perbandaran. Hasil kerja keras dan usahanya dia dapat membeli pangsapuri kos rendah. Akhirnya tabungan Mak Putih mencukupi dan dikhabarkan berita gembira itu kepada semua pelanggannya apabila dia berjaya terpilih mengikuti kursus Tabung Haji. Kepada cucu sulungnya, Aman dia berpesan agar menjaga adik-adiknya. Pangsapurinya juga ditukar nama kepada Aman kerana khuatir jika apa-apa terjadi kepadanya di Mekah. Namun pemergian Mak Putih mengubah pendirian Aman sehingga dia sanggup mengkhianati kepercayaan neneknya sendiri. Apakah yang terjadi seterusnya?
Pelakon: Norlia Ghani, Ryzal Jaafar, Fezrol Khan, Nabila Huda
Karma Salina, Sabtu, 20 November, 10.00mlm (Cerekarama)
Rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan kepada Salina termasuklah Nora Asyikin, peguam yang menerajui Biro Tata Syariah. Nora Asyikin tekad untuk memperjuangkan nasib wanita mengikut hukuman Allah. Ketika Nora mengunjungi keluarga Salina, Intan datang dan menyerahkan surat yang diberikan Salina sebelum dia dijatuhkan hukuman. Barulah mereka mengetahui Salina sebenarnya redha dengan hukuman itu lantaran rasa berdosanya terhadap ibu bapanya, cintanya yang mendalam terhadap Afkar hingga mengizinkan dirinya dianiya oleh suaminya dan menjadi pembunuh. Nora Asyikin tetap membela kematian Salina dan akhirnya masyarakat mula memahami mengapa Salina mati di tali gantung dan betapa mulianya pengorbanan Salina.
Pelakon: Adi Putra, Sofea Jane, Norish Karman, Sharifah Amani, Aaron Aziz
TELEMOVIE ULANGAN RAYA HAJI
SABAR, Rabu, 17 November, 10.00 pagi
Sabariah atau nama panggilannya Saba mempunyai sebuah kedai jahit. Kedainya, Sabariah Fashion tidak begitu besar dan sederhana tetapi kedai jahitnya itu popular. Pelanggan-pelanggannya terdiri daripada artis, mak datin, orang kebanyakan dan korporat. Saba mengendalikan kedai jahitnya bersama suaminya Iman dan pekerjanya Manja dan Wati. Dia banyak mendapat tempahan ketika waktu raya mahupun bukan waktu raya. Saba mempunyai kelebihan di mana dia boleh menyiapkan baju dalam masa satu hari. Namun ada juga kelemahannya apabila baju-baju yang dihantar adakalanya tidak sempurna ataupun tidak siap seperti yang dijanjikan.Tahun ini Saba dan suaminya, mahu mengumpul wang yang melebihi apa yang mereka dapat pada raya tahun lalu. Mereka bercadang mahu membesarkan kedai. Mereka mula mengambil tempahan sebelum Ramadan lagi sehinggalah pada bulan Ramadan sehinggakan tempahan sudah melebihi kemampuan. Saba dan Iman mula panik dan mereka mahu menambah pekerja seorang lagi. Berjayakah Saba dan Iman mengupah pekerja yang dapat membantu mereka menyiapkan semua tempahan sebelum Hari Raya?
Pelakon : Abby Abadi, Norman Hakim, Remy Ishak, Juliana Evans
Sandaran Kasih, Jumaat, 19 November, 10.00 pagi
Anna telah berpisah dengan suaminya dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Faiz berumur 6 tahun. Anna menguruskan sebuah syarikat hiasan dalaman bersama Sam, kawannya yang sangat prihatin akan masalah kesihatan Anna. Malangnya, doktor mengesahkan yang penyakit barah tulang yang dihadapinya kini semakin serius dan tiada pilihan lain, Anna terpaksa memulakan misi untuk mencari Pak Mat, bapanya yang telah lama terpisah supaya dia dapat menjaga Faiz setelah pemergian Anna nanti. Banyak perkara yang telah berlaku di antara kedua beranak yang menyebabkan masing-masing terguris hati dan tidak bertegur-sapa sehingga sekarang. Walaupun bimbang tentang penerimaan bapanya mengenai situasi dirinya dan Faiz, Anna sedar bahawa dia perlu berusaha keras untuk merapatkan kembali jurang di antara dirinya dan bapanya yang sudah renggang bertahun lamanya demi kebahgiaan dan keselesaan Faiz yang masih kecil dan mengharapkan kasih sayang. Berjayakah Anna menemui bapanya dan apakah yang akan terjadi seterusnya?
Pelakon: Ida Nerina, Yalal Chin, Haikal JohariI Azmi, Maizurah Hamzah, Hj Baharuddin Hj Omar
Korban Kasih Marlisa, Jumaat, 19 November, 1.30petang
Marlisa adalah ribuan wanita moden yang telah berjaya mencipta kejayaan tersendiri di dalam kerjayanya. Atas kredibiliti yang dimilikinya itulah ayahnya Datuk Ibrahim tidak teragak-agak menyerahkan tanggungjawab sebagai Pengurus Besar di Excellent Holdings Sdn Bhd yang menguruskan syarikat pembinaan. Atas kesibukan itulah Marlisa masih belum berkahwin. Antara strategi syarikatnya adalah melatih eksekutif muda yag dinamik dan mempunyai potensi untuk berjaya. Antara eksekutif muda itu adalah Adam Rais yang mempunyai potensi untuk membantu kejayaan Matrix Holdings. Adam adalah seorang anak kampung yang mengkagumi kegigihan Marlisa dan berani mendekati Marlisa untuk belajar sesuatu yang boleh meningkatkan prestasinya. Semakin hari hubungan mereka semakin rapat. Marlisa begitu terkejut apabila pemuda itu berani meluahkan rasa cintanya dan Marlisa keras mengingatkan jarak usia mereka yang terlalu ketara. Namun, Adam tetap mahu meneruskan perhubungan dan Marlisa tiday berupaya lagi menidakkan perasaannya terhadap Adam. Malangnya, perhubungan tidak mendapat sokongan dan kurang disenangi oleh keluarga Adam, terutama, ibunya yang bercadang untuk menjodohkan Adam dengan gadis pilihannya. Dapatkah Marlisa mengecapi kebahagiaan bersama Adam, akhirnya?
Pelakon : Umie Aida , Awal Ashaari, Tiz Zaqyah , Fadilah Mansur, Datuk Rahim Razali, Aida Khaleda
ISTIMEWA AIDIL ADHA
Malaysia Hari Ini (MHI), Rabu, 17 November, 6.30pagi
Mulakan sambutan hari yang penuh makna kali ini bersama barisan pengacara, Ally Iskandar dan Fedtri Yahya yang akan bersiaran secara langsung dari Studio A, Sri Pentas. Ikuti bingkisan menarik sekitar sambutan Aidiladha di Malaysia dan kenali dengan lebih dekat hukum hakam dan kepentingan upacara menyembelih lembu sebagai ibadah korban seperti yang dijalankan secara langsung di Masjid Al-Ghuffran, Sungai Penchala.
Pengacara: Ally Iskandar & Ahmad Fedtri Yahya
Wanita Hari Ini (WHI), Rabu, 17 November, 12.00tengahari
Wanita Hari Ini akan bersiaran istimewa Hari Raya Aidiladha daripada restoren Duchess Place, Jalan Ampang yang cukup terkenal dengan pelbagai majlis perkahwinan, rumah terbuka, hari jadi dan sebagainya. Berkonsepkan ‘pengorbanan’ WHI merayakan Hari Raya Korban dengan tetamu istimewa iaitu penerima dan juga penderma organ buah pinggang dan jantung bersama keluarga mereka serta Ustaz Zawawi Yusoh sebagai panel motivasi yang menjelaskan signifikan pengorbanan. WHI turut berlintas langsung daripada Masjid Kampung Baru berkaitan ibadah korban yang dijalankan di masjid tersebut. Selain itu, WHI juga akan berlintas langsung dari Kedah untuk majlis korban yang dilaksanakan oleh Kumpulan Media Prima Berhad kepada mangsa banjir.
Pengacara: Azizah Ariffin, Irin Putri Azmi dan Hasfizza Sabjahan
Setulus Sinar Aidiladha, Rabu, 17 November, 5.30ptg
Dokumentari ini memaparkan kisah Muhammad Abdullah, 34 tahun, seorang pengamal undang-undang syariah, ahli perniagaan dan pendakwah yang membawa sumbangan derma rakyat Malaysia kepada penduduk miskin berketurunan Islam Champa di Kampung Pees, Kemboja. Muhammad berpeluang mendekati kehidupan masyarakat di sana dan menyelami kesempitan hidup seperti menziarahi kematian warga emas, berkongsi pengalaman tukang gunting yang cacat anggota badan dan meninjau keunikan hidup seorang bilal buta dan pasangan keluarga miskin yang mendiami pondok usang dengan sembilan anggota keluarga.
Syahadah Cinta, Khamis, 18 November, 5.30ptg
Memaparkan kisah seorang pemuda Bidayuh bernama Saifullah yang memeluk Islam setelah mengalami beberapa peristiwa penting dalam hidupnya. Sejak kecil, dia gemar membaca kisah-kisah pahlawan dan perubatan Islam. Namun, ini semua belum lagi menggerakkan hatinya untuk memeluk Islam. Terjadi peristiwa bilamana dirinya disantau oleh seseorang. Lantas dia menanam azam, sekiranya sakitnya pulih, dia mahu memeluk Islam. Dengan takdir Allah, dia pulih seperti yang diharapkan berkat perubatan Islam yang diamalkan. Saifullah berhijrah ke Semenanjung dan beliau terus diuji Allah apabila dibuang keluarga dan terpaksa menempuh kehidupan yang sebatang kara sebaik mungkin. Walaupun buta huruf dalam jawi, beliau nekad belajar demi menghayati kitab Al-Quran. Akhirnya dia bertemu cinta dengan seorang wanita yang lebih berusia darinya tetapi sanggupkah Saifullah menerima wanita itu yang kini sedang berperang dengan barah ovari peringkat ketiga?
Al-Hidayah UK, Jumaat, 19 November, 1.00ptg
Ikuti pengembaraan kru produksi menziarah saudara Islam kita di United Kingdom seperti ke Bicester, Oxford berkongsi pengalaman bersama Shamsinar Abd. Karim, anak kelahiran Johor yang telah lebih 30 tahun menetap di perantauan. Beliau menjadi tunggak utama mendidik 9 orang anak dalam mengekalkan cara hidup dan budaya Melayu Muslimdi bumi Eropah. Di Durham, mereka berkenalan dengan seorang “mat saleh†yang memeluk agama Islam pada tahun 1985, Ibrahim Brian Thomson. Walaupun dipulau masyarakat sekeliling, namun kehadiran pelajar-pelajar Islam di Universiti Durham memberi ruang kepada keluarga Ibrahim untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Krew Al-Hidayah juga sempat singgah beraya di rumah personaliti Agama Ustazah Nik Salida Suhaila Nik Salleh di Stoke yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PHD. Beliau berkongsi tips tentang pengorbanan dalam menuntut Ilmu.