Penyanyi muda berbakat dari Sabah, Rudy Zil, sekali lagi mencipta fenomena dengan pelancaran single terbarunya, “Mencintaimu”. Kali ini, dia berkolaborasi bersama David Totorial, seorang influencer TikTok yang semakin dikenali, dan juga penyanyi muda berbakat, Ester Lazani. Lagu ini bukan sahaja mencerminkan realiti cinta yang penuh cabaran, malah turut menjadi platform untuk menggabungkan pelbagai elemen kreatif daripada tiga personaliti berbakat ini.
Kisah Cinta Dalam Dilema – Inti Lagu “Mencintaimu”
“Mencintaimu” mengisahkan seorang lelaki yang berdepan dilema besar dalam hubungannya. Walaupun mengetahui pasangan hidupnya berlaku curang, dia tetap memilih untuk bertahan demi cinta. Lagu ini bukan sekadar tentang penderitaan, tetapi juga kekuatan hati yang setia. Liriknya yang penuh emosi dan menyentuh hati menjadikan lagu ini sangat relatable bagi mereka yang pernah mengalami situasi serupa.
Menurut Rudy, proses penciptaan lagu ini sangat istimewa. “Lagu ini sebenarnya tercipta secara spontan semasa saya dan David berbincang tentang projek duet kami. Namun, kami merasakan ada ruang untuk menambah elemen baharu, jadi David mencadangkan Ester untuk menyumbangkan vokalnya. Hasilnya, lagu ini menjadi lebih dinamik dengan gabungan suara kami bertiga,” jelas Rudy.
David Totorial: Dari TikTok ke Pentas Muzik
David Totorial, nama yang tidak asing di platform TikTok, mula dikenali sejak awal 2023. Selain menjadi influencer, David menggunakan TikTok sebagai medium utama untuk mempromosikan perniagaannya. “TikTok adalah cara terbaik untuk saya memperkenalkan perniagaan kepada masyarakat. Ia membantu memperluaskan capaian saya dengan mudah,” kata David.
Baru-baru ini, David mencatatkan kejayaan besar apabila memenangi Anugerah KNKV Viral Award 2024 dalam kategori Best National Original Comedy. Malah, dia berjaya mendahului nama-nama besar seperti Ryan Bakery, Dato’ Aliff Syukri, dan Pak Mat Western. Kemenangan ini jelas menunjukkan pengaruhnya yang semakin kukuh dalam industri hiburan.
Rudy Zil: Kreativiti Tanpa Batas
Rudy, yang sememangnya dikenali di Sabah sebagai penyanyi dan pencipta lagu, telah menghasilkan beberapa single sebelum ini, termasuk lagu-lagu berunsur tradisional seperti lagu Kaamatan. Dia turut berkongsi bagaimana hubungan kerjasamanya dengan David bermula.
“Saya memang peminat konten David di TikTok. Saya pernah melamar dia untuk projek lagu Kaamatan melalui TikTok, dan dia bersetuju. Dari situ, kami mula bekerjasama dan menghasilkan lagu-lagu lain, termasuk ‘Mencintaimu’,” ujar Rudy dengan penuh semangat.
Ester Lazani: Suara Wanita Sabah yang Menyentuh Hati
Ester Lazani pula membawa elemen berbeza dalam kolaborasi ini dengan vokalnya yang unik. Penyanyi muda ini sebelum ini telah melancarkan beberapa single berbahasa Dusun seperti “Rasam Id Ginawo” dan “Tupusku”, yang mendapat sambutan hangat di Sabah. Ester juga meluahkan rasa syukurnya dapat menjadi sebahagian daripada projek ini. “Lagu ini sangat indah, terutama bagi mereka yang masih mempertahankan cinta. Saya bersyukur diberi peluang untuk menyertai Rudy dan David dalam projek ini,” kata Ester.
Harapan untuk “Mencintaimu”
David berharap lagu ini dapat diterima oleh pendengar dari pelbagai latar belakang. “Semoga lagu ini dapat menembusi pasaran yang lebih luas dan menyentuh hati masyarakat. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek ini,” tambahnya.
Muzik Video & Edaran Digital
Sebuah muzik video untuk “Mencintaimu” telah dilancarkan di saluran YouTube rasmi Luncai Emas, yang juga bertindak sebagai pengedar single ini melalui platform digital seperti Spotify dan iTunes. Dengan visual yang indah dan penuh emosi, muzik video ini melengkapkan kisah yang disampaikan dalam lirik lagu.
Apa Kata Budiey?
“Mencintaimu” bukan sekadar lagu biasa. Ia adalah satu karya seni yang membawa naratif cinta yang penuh makna dan pengajaran. Gabungan bakat Rudy, David, dan Ester mencipta sebuah lagu yang mampu menyentuh jiwa pendengar. Dengan melodi yang indah dan lirik yang mendalam, lagu ini pasti akan mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.
Bagi mereka yang sedang mencari lagu tentang pengorbanan dan kekuatan cinta, “Mencintaimu” adalah pilihan yang tepat. Jangan lupa untuk menonton muzik videonya dan dengarkan lagu ini di platform kegemaran anda!