Kekejaman Israel terhadap bumi Palestin terus mendapat perhatian dunia.
Hampir sebulan ‘bermandi darah’ sehingga kini ribuan penduduk Palestin bukan sahaja kehilangan tempat tinggal mana turut kehilangan keluarga akibat peperangan tersebut.
Melihat mangsa-mangsa kini berada dalam keadaan trauma, rakyat Malaysia membuat pelbagai usaha menerusi semangat solidariti masing-masing.
Turut tidak terkecuali menyahut semangat yang sama restoran Me’nate Steak Hub yang kini berusaha mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk di Gaza menerusi ‘Dine And Donate For Palestine’.
Menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Tabung Kemanusian Media Prima, menurut Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali yang juga pemilik Me’nate Steak Hub, pihaknya mensasarkan kutipan sebanyak RM300,000.
“Kami menamakan kempen in sebagai ‘Dine And Donate For Palestine’ atau dalam erti kata lain makan sambil beramal. Ia akan bermula pada 6 hingga 20 November ini.
“Kempen ini akan melibatkan semua pelanggan di restoran kami, di mana Me’nate akan menyumbangkan 10 peratus hasil jualan kepada Palestin,” katanya.
Menyentuh tempoh kempen yang dianggap singkat sesetengah pihak, balas Syed Ashraf ketika ini misi mereka cukup jelas dalam memberikan bantuan sepantas mungkin kepada mangsa peperangan di sana.
“Ini merupakan kali pertama kempen seumpama ini diadakan, fokus kami cukup jelas untuk memberikan bantuan secepat mungkin kepada rakyat Palestin yang kini terjejas teruk. Bukan sahaja dari segi bantuan makanan tetapi juga perubatan.
“Dengan sasaran yang saya nyatakan tadi, harapan kami hanya satu untuk memastikan mangsa-mangsa di sana diberikan keperluan secukupnya dalam mengharungi tempoh-tempoh yang cukup sukar ketika ini,” jelasnya lagi.
Turut bersyukur untuk melihat semangat rakyat Malaysia yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada Palestin, tambahnya sebagai jenama restoran tempatan yang mempunyai kelebihan untuk menganjurkan kempen sumbangan dana untuk Palestine pihaknya turut berharap mendapat sokongan daripada pelanggan Me’nate Steak dalam menjayakan usaha murni ini.
“Pastinya saya dahulukan ucapan terima kasih kepada pelanggan-pelanggan kami yang akan menjadi tulang belakang kepada kempen ini. Bagi saya usaha ini bukan datang dari satu pihak sahaja pastinya kerjasama bersama SEJAGAT dan Tabung Kemanusiaan Media Prima juga menyumbang kepada tujuan kempen ini.
“Semoga dengan usaha ini sedikit banyak mampu membuka laluan yang lebih luas untuk rakyat Palestin mendapat kemerdekaan sekali gus membagunkan semula negara mereka,” katanya bersemangat.
Sementara itu menjalinkan kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat Malaysia (SEJAGAT) dan Tabung Kemanusiaan Media Prima, jelasnya ini juga memberi pengalaman baharu buat Me’nate Steak Hub dalam mengadakan kempen bantuan kemanusian seperti ini.
“Merupakan kali pertama buat kami, pastinya kerjasama yang dijalankan ini membantu Me’nate Steak Hub dalam menguruskan dana ini untuk disalurkan kepada pihak sepatutnya.
“Sejagat dan Tabung Kemanusiaan Media Prima mempunyai hubungan yang cukup baik dalam memastikan dana ini kelak dapat membantu rakyat Palestin yang kini sangat-sangat memerlukan bantuan,” katanya.