Menepati ramalan, pempengaruh Khairul Aming dinobatkan sebagai pemenang kategori Creator Of The Year pada TikTok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (Mitec), Kuala Lumpur.
Kemenangan Khairul Aming sekaligus menewaskan lima pencabar lain seperti Boss James yang mengendalikan akaun TikTok @bossjames_eo; Lawyer Gandhi (@lawyerghandi); Auntie Purple (@auntiepurple248); Ceddy (@ceddyornot) dan Sally (@sallywhoo).
Khairul atau nama lengkapnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 31, dalam ucapannya berasa sebak memenangi anugerah besar tersebut dan berharap momen manis itu dapat disaksikan Allahyarham bapanya.
Dalam masa sama, Khairul yang sangat terkenal dengan kandungan memasak sepanjang bulan Ramadan sempat menitipkan nasihat kepada anak muda untuk tidak mengabaikan pelajaran.
“Kepada anak muda yang menceburi bidang ini, kalau masih bersekolah, habiskan belajar dahulu supaya keluar nanti boleh jadi pencipta kandungan berkualiti.
“Pencipta kandungan ini bukan sekadar tular sahaja, tapi perlu ada adab dan kebolehan menyelesaikan masalah,” ujarnya usai menerima trofi daripada Datuk Yusof Haslam dan Ziana Zain.