Memberi peluang kepada semua umat Islam menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan susunan pilihan program terbaik siarannya, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 tampil dengan program khas mulai 18 hingga 21 Oktober ini.
Dalam menghayati sirah dan sunah baginda, RTM menyiarkan tiga program terbitan JAKIM bermula dengan Siaran Langsung “Citra Cinta Rasul” pada 18 Oktober ini, pukul 9.00 malam. Bicarawara yang menampilkan Ustaz Nabil Ahmad dan Terrence Dass sebagai moderator juga hos bersama, Heliza Helmi ini turut mengundang artis terkenal Faizal Tahir, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan UNIC.
Panel terlibat iaitu Datuk Dr Norhafizah Musa (Pensyarah Kanan UTM KL) dan Dr. Ann Wan Seng (Pendakwah) akan membawakan perkongsian kedudukan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan menjadi punca kuasa kepada pelaksanaan dan penubuhan berbagai agensi berkaitan bagi memelihara kepentingan dan kebajikan orang Islam selain memastikan kesinambungan peradaban Islam di negara ini.
Ini dizahirkan melalui sifat Rasulullah SAW yang menjadi contoh dan rahmat bagi sekalian alam. Perjuangan Nabi Muhammad S.A.W dalam menyebar luas dan menpertahankan agama Islam dan membentuk Negara Islam Madinah menjadi acuan kepada pembentukan Malaysia yang berbilang agama dan kaum. Mengguna pakai konsep Keluarga Malaysia, dalam situasi sukar negara masih bergelut dengan impak penularan pandemik Covid-19.
Menyusul esoknya, 19 Oktober dokumentari khas dengan tajuk “Inspirasi Peribadi Muhammad”, pukul 11.00 pagi yang membawakan perkongsian kisah petugas media dan pendakwah juga adalah petugas barisan hadapan yang menunaikan amanah dalam usaha menyampaikan informasi berkaitan bahaya virus Covid-19. Mereka mempunyai tugas masing-masing untuk menjelaskan kepada masyarakat perlunya pematuhan SOP dan pentingnya suntikan vaksin.
Paparan seorang pengamal media (Bahagian Penyiaran Jakim) yang melaksanakan tugas dan disahkan positif Covid-19 begitu juga salah seorang pendakwah Jakim yang menghadapi situasi sama juga kisah jurukamera RTM yang meninggal dunia dalam melaksanakan tugasan menyampaikan informasi kepada orang ramai turut dipaparkan bagi menerangkan risiko petugas barisan hadapan ini.
Sambutan hari memperingati Maulidur Rasul ini turut diimarahkan dengan tayangan Forum Perdana Ehwal Islam Khas pada 21 Oktober ini, pukul 9.00 hingga 10.30 malam dengan perkongsian tajuk “Satukan Cinta” yang mengupas tentang kepentingan dalam menanam rasa kasih dan cinta kepada Nabi Muhammad SAW.
Bersama-sama moderator Ustaz Zakaria Haji Othman dan hos bersama Ustaz Rizal bin Ramli, penonton dapat menghayati perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menyebar luas sekaligus mempertahankan agama Islam yang dikongsikan oleh panel Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Ahmad Idris bin Haji Ahmad dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Prof. Datuk Dr. Syamrahayu Ab. Aziz.
Panggung khas RTM dengan tajuk “Lafaz Terindah”, pada 19 Oktober ini, pukul 11.30 pagi pula istimewanyamenyiarkan kisah tentang watak utama Angie yang beragama Kristian mula mempelajari agama Islam. Hatinya terbuka untuk mengetahui lebih lanjut tentang Islam bermula setelah melihat Ustaz Razif mengajar murid-murid di kelas.
Perkara tersebut disedari oleh Azman, rakan sekerjanya. Azman terdetik hati untuk memberi bantuan tunjuk ajar mengenai agama Islam hingga Angie akhirnya diberi hidayah memeluk agama Islam atas bantuan lelaki itu. Akhirnya Angie berkahwin dengan Azman setelah isteri Azman Suzanna mengizinkannya. Drama ini gabungan mantap tiga pelakon utama Zahiril Adzim, Nadiya Nisaa dan Daniella Sya.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.