in , ,

Meiska Curah Rasa Dalam Single Hilang Tanpa Bilang Selepas Ditinggal Kekasih

Ditinggalkan Kekasih Tanpa Penjelasan, Meiska Curahkan Rasa Hati Dalam ‘Hilang Tanpa Bilang’

Meiska Adinda, atau lebih dikenali sebagai Meiska bukanlah satu nama asing dalam kalangan pencinta muzik Indonesia. Hal demikian kerana Meiska merupakan finalis pertandingan nyanyian popular, The Voice Kids Season 3. Empat tahun selepas program itu, Meiska memutuskan untuk terus membina nama dalam industri hiburan di mana kini, dia melancarkan single pertama daripada Sony Music Entertainment Indonesia, Hilang Tanpa Bilang. 

“Pihak label rakaman telah memberikan saya beberapa lagu untuk dipilih, namun sebaik saja saya dengar Hilang Tanpa Bilang, saya menyukainya kerana saya sendiri merasai kisah seperti yang ditampilkan dalam lagu ini. Oleh itu, agak senang untuk saya menjiwai lagu ini dengan sebaik mungkin. Pada pendapat saya, adalah sangat penting untuk mengaitkan penceritaan lagu dengan diri sendiri agar kita dapat menyampaikannya dengan ikhlas dan jujur,” jelasnya. 

Menurut gadis yang dilahirkan di Denpasar pada 20 Mei 2003 itu, Hilang Tanpa Bilang mempunyai kisah yang sering dilalui oleh pasangan bercinta masa kini di mana sang kekasih tiba-tiba meghilangkan diri secara mengejut. 

“Ia adalah hubungan di mana lelaki dan wanita itu telahpun rapat, mereka banyak berbual dan keluar bersama. Namun tiba-tiba lelaki itu bertindak untuk menghilangkan diri walhal dialah yang mula berusaha untuk memenangi hati teman wanitanya. Bayangkan perasaan wanita tersebut, tentunya sakit apabila ditinggalkan begitu saja tanpa sebarang penjelasan. Itulah kisah utama dalam lagu pertama saya ini,” katanya. 

Tambah Meiska, proses menyiapkan lagu Hilang Tanpa Bilang mengambil masa sebulan setengah tanpa sebarang kesulitan. Terdapat sesetengah bahagian yang diubah suai mengikut kesesuaian vokalnya agar kedengaran lebih baik. 

“Selepas menerima draf pertama, saya berbincang bersama komposer tentang beberapa bahagian yang saya rasa perlu diubah agar lebih sesuai dengan karakter vokal saya. Saya bernasib baik kerana mereka bersetuju, saya terus ke studio untuk rakaman dan selepas itu, mereka segera mulakan proses ‘mixing’. Saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang yang banyak membantu sepanjang perjalanan menghasilkan lagu ini. Keke Kananta telah membantu untuk mendapatkan lagu yang sempurna untuk vokal saya, Yafi, Seto dan Anastasya pula menggubah Hilang Tanpa Bilang, Irvan Nat selaku pengarah vokal, juga tidak dilupakan para pekerja Sony Music yang sentiasa menyokong saya sejak hari pertama saya menyertai label berkenaan. Selain itu, tentunya saya tidak pernah melupakan keluarga yang sentiasa memberi sokongan, terutamanya ibu saya yang sentiasa menemani kemana saja saya pergi,” katanya lagi. 

Meiska Curah Rasa Hati Dalam Single Hilang Tanpa Bilang Selepas Ditinggal Kekasih

Meskipun pada mulanya Meiska berasa ragu-ragu tentang kelayakan dirinya untuk menyertai label rakaman, namun dia yakin itu adalah jalan yang betul untuk terus belajar tentang muzik. 

“Pada peringkat awal, saya kurang yakin dengan diri sendiri, saya rasa belum layak untuk menyertai syarikat rakaman. Pada masa sama, saya juga sedar inilah peluang saya untuk berjumpa ramai orang yang berpengalaman, bolehlah saya menimba ilmu daripada mereka. Akhirnya, saya buat keputusan untuk menyertai Sony Music demi untuk menajamkan lagi kemahiran, cara mencipta lagu yang disukai orang ramai, dan bagaimana untuk terus konsisten dan produktif,” katanya. 

Gadis yang menyukai Ariana Grande dan Brian McKnight itu akui terdapat beberapa perubahan pada cara nyanyiannya. Meiska sebelum ini sering menyanyikan lagu-lagu festival, kini dia mula belajar cara menyanyi yang lebih komersial. Antara aktiviti yang sering dilakukan Meiska adalah menyanyikan lagu cover di media sosial, membuat persembahan di sebuah cafe di Bali, dan menyanyi di majlis perkahwinan. 

Tambahan lagi, Meiska yang juga pelajar dalam jurusan Sistem Informasi di ITB STIKOM Bali dan Help University sering menumpukan perhatian terhadap tren muzik dan teknik nyanyian di Indonesia. Tanpa mengubah karakter vokalnya, dia akan melakukan pelbagai cara untuk meluaskan pengetahuan dalam muzik agar dapat mengembangkan lagi sayap kerjayanya pada masa akan datang. 

Penyanyi muda yang mengimpikan kolaborasi bersama Raisa, Afghan dan Rossa itu berharap agar lagunya dihargai oleh pencinta muzik dan mereka yang merasai kisah percintaan sama seperti dirinya. 

“Marilah kita sama-sama merasai kisah ditinggalkan seperti dalam lagu Hilang Tanpa Bilang. Bagaimanapun, jangan biarkan emosi menyakiti diri kita. Saya juga berharap pada masa akan datang, saya boleh menghasilkan lebih karya yang berkait dengan kisah orang ramai, kerana saya akan sentiasa mencurahkan rasa hati saya untuk para peminat. 

Lagu pertama Meiska, Hilang Tanpa Bilang kinin tersedia di platform muzik digital kegemaran anda. 

Meiska Curah Rasa Hati Dalam Single Hilang Tanpa Bilang Selepas Ditinggal Kekasih

MENGENAI MEISKA 

Meiska Adinda atau dikenali sebagai Meiska adalah penyanyi muda yang dilahirkan di Denpasar, Bali pada 20 Mei 2003. Meiska mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik sejak zaman kecilnya lagi. Meniti perjalanan dalam bidang hiburan, Meiska semakin dikenali selepas beberapa pencapaiannya dalam pertandingan seperti The Voice Kids musim ketiga, The Beauty of Bali yang berkolaborasi bersama Alffy Rev, serta Festival Pertandingan Pelajar Seni Kebangsaan (National Student Art Competition Festival). Meiska menyukai genre pob balada, RnB dan jazz dan sering tampil dengan lagu-lagu cover di platform media sosial miliknya. 

Meiska menyertai Sony Music Entertainment Indonesia pada tahun 2022, karakter vokal yang kuat dan unik menjadi tarikan dan kekuatan utama dirinya. Pada Oktober 2022, Meiska yang boleh bermain gitar dan keyboard melancarkan single pertama di bawah naungan Sony Music Entertainment Indonesia berjudul Hilang Tanpa Bilang, sebuah lagu tentang rasa ditinggalkan tanpa sebarang penjelasan. 

Selepas single sulungnya itu, Meiska berazam untuk terus mekar dalam industri hiburan menerusi lagu-lagunya pada masa akan datang, dia juga mahu berkolaborasi dengan lebih ramai pemuzik untuk terus menggilap bakat dan kemahirannya. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ALICIA AMIN

Dua Tahun Berkahwin, Alicia Amin Sah Bercerai Talak Satu Dengan Farzan

Fasha Sandha Patah Tulang Sebelah Mata Kiri Sebab Terhentak di Bucu Katil