Kadang-kadang, mencintai seseorang itu boleh menyakitkan hati kita sendiri. Perasaan sedih pasti akan melanda jiwa tetapi mungkin itulah pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi kebahagiaan insan kita sayangi. Namun, sejauh manakah anda rela bersabar dan bertahan dengan segala ujian yang menimpa hidup, semata-mata ingin melihat pasangan anda bahagia?
Begitulah nasib Mira Filzah sebagai orang isteri dalam Meh Sandar Lagi, sebuah drama terbaharu kesinambungan drama adaptasi novel popular iaitu Meh, Sandar Pada Aku. Drama sekuel 8 episod ini merupakan terbitan Zeel Production dan diarahkan oleh saudara Kyoll Hamzah.
Menurut Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan, TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri,
“Berikutan dengan sambutan hangat daripada peminat setia drama ‘Meh, Sandar Padaku!’ yang telah bersiaran pada tahun lepas, kami ingin menghadiahkan kesinambungan kepada drama ini khas buat mereka yang masih ingin menyaksikan gandingan hebat Mira Filzah dan Aliff Aziz. Dengan itu, kami berharap para penonton akan menikmati dan terus memberi sokongan kepada drama sekuel ini.”
Menemui penonton setia drama slot Akasia di TV3 bermula 28 Ogos 2017 ini pada pukul 7.00 malam, setiap hari Isnin hingga Khamis, drama Meh Sandar Lagi diperkuat lagi dengan gandingan pelakon-pelakon popular seperti Aliff Aziz, Mira Filzah, Aishah Ilias, Asyraf Aley, Haliza Misbun, Alicia Amin dan juga Daler Yusof.
Meh Sandar Lagi mengisahkan Afnan Tasneem (Mira Filzah) dan Dr. Syed Nadzhan (Aliff Aziz) yang baru sahaja bergelar pasangan suami isteri. Walaupun demikian, kebahagiaan mereka hanyalah buat sementara waktu sahaja. Rumahtangga pasangan ini mula diuji apabila Nadzhan terpaksa bekerjasama dengan seorang doktor wanita yang menawan bernama Dr. Sandra (Alicia Amin) untuk sebuah penyelidikan di makmal mereka.
Sementara itu, situasi bertambah keruh apabila Tasneem menerima seutus surat daripada wanita yang paling dibenci oleh Nadzhan, iaitu ibu kandungnya (Haliza Misbun) sendiri. Setelah kian lama menghilangkan diri, ibu Nadzhan ingin bertemu semula dengan anak lelakinya itu.
Atas rasa tanggungjawab seorang isteri, Tasneem nekad untuk menyatukan kembali kedua-dua ibu dan anak yang sudah lama terpisah ini walaupun Nadzhan enggan berbuat demikian. Tasneem sedar bahawa perancangannya itu langsung tidak disukai suaminya. Oleh kerana ingin melihat Nadzhan bahagia, Tasneem terpaksa bertahan dengan keperitan dalam hatinya dan melayan karenah suaminya yang semakin tertarik dengan kehadiran Dr. Sandra itu.
Mampukah Tasneem menyelamatkan hubungan antara seorang ibu dan anaknya, serta perkahwinan mereka pada masa yang sama? Jangan ketinggalan untuk menonton lakonan hebat Mira Filzah dan Aliff Aziz dalam drama bersiri Meh Sandar Lagi, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 7.00 malam menerusi slot Akasia, hanya di TV3!
Drama bersiri ini juga dapat disaksikan di portal video www.tonton.com.my melalui langganan pakej tonton VIP. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube, Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan tidak ketinggalan juga Instagram rasmi @dramasangat.