Memberi tumpuan kepada projek-projek pembinaan mega sama ada yang terbesar, paling tinggi, paling lama atau paling dalam di dunia dan mesin yang digunakan untuk menghasilkan struktur yang luar biasa, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dokumentari Inggeris bertajuk “Megastructures” mulai 29 November ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 petang menerusi TV1.
26 episod program ini juga bakal menemubual individu berjaya yang bertanggungjawab untuk reka bentuk dan kejuruteraan canggih setiap binaan, berkongsi tentang bagaimana konsep berubah menjadi realiti, dan proses mengendalikan keajaiban moden untuk dilindungi.
Projek Struktur Mega Dalam Dokumentari Megastructures di TV1
Permulaannya saksikan tentang pembinaan sebuah muzium kesenian dan ketamadunan dikenali sebagai ‘Louvre Abu Dhabi’ di Emiriah Arab Bersatu yang siap sepenuhnya tahun 2017. Keunikan monumen ini dibina di atas dasar lautan hasil dari cetusan arkitek Perancis, Jean Nouvel. Cabaran terbesar membina muzium ini adalah mendirikannya di atas permukaan lautan.
Istimewa dikongsikan tentang pembinaan sebuah masjid dikenali ‘Masjid Sheikh Zayed Al-Nahyan’, monumen yang mesti dikunjungi kerana reka bentuk yang tersergam indah. Antara keunikan masjid ini adalah antaranya karpet yang dibentang dan menghiasi ruang lantai adalah yang terbesar di dunia iaitu 60,570 kaki persegi. Selain itu, lampu gantung (chandelier) pula dilaporkan ketiga terbesar di dunia manakala panorama pada waktu malam menerusi pencahayaan lampu menjadikan pemandangan masjid ini sangat menakjubkan.
Seterusnya tentang pembinaan sebuah terowong ‘Sparvo’ di Itali yang menghubungkan Florence dan Bologna. Projek bersejarah ini dikenali sebagai ‘Variente De Valico’ dengan terbina bersamanya lebih 41 terowong dan jambatan. Diteruskan episod ‘Mountain Highway’ tentang pembinaan ‘Sparvo Tunnel’. Cabaran yang dihadapi dalam menggali gunung ‘Appenine’, berdepan dengan situasi sukar seperti tanah runtuh dan gempa bumi serta membina jambatan di atas permukaan bukit-bukau hingga merentasi puncak tinggi untuk menghubungkan Florence dan Bologna.
Turut menarik tumpuan pembinaan bangunan tertinggi di dunia, Burj Al-Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Menara ini menerapkan seni bina keislaman dan menyamai reka bentuk ‘Great Mosque of Samarra’. Menara ini muncul sebagai bangunan tertinggi dan terindah khususnya panorama malam tatkala hiasan lampu menerangi kegelapan malam.
Pernahkah anda mendengar tentang Eco School di daerah Ming Chuan, selatan Taiwan? Binaan ini mampu berhadapan dengan bencana alam. Sekolah ini dibangunkan untuk menghadapi bencana alam dan perubahan cuaca yang kerap berlaku. Sebelum sekolah ini dibina, penduduk daerah ‘Ming Chuan’ menghadapi musibah taufan terbesar dengan kerosakan.
Kisah tentang lebuhraya ‘Geoje Bridge’ yang menghubungkan bandaraya Busan dengan pusat peranginan Geoje juga dipaparkan dalam program ini. Cabaran utama adalah gelora ribut taufan dan ombak besar untuk menempatkan terowong konkrit di dasar lautan iaitu pada kedalaman 48 meter. Terowong ini adalah terowong bawah laut yang paling dalam di dunia.
Dokumentari tentang pelabuhan di Singapura yang pernah dikenali paling sibuk dalam rekod dunia khususnya dalam menguruskan kemasukan dan pengeluaran kontena kapal perdagangan, kisah pembinaan sebuah empangan yang tertinggi di Amerika Syarikat dibina bertujuan mengawal banjir, pembekalan air serta menjana hidroelektrik, pembinaan sebuah menara sfera yang menakjubkan, bangunan pencakar langit paling unik di Abu Dhabi diberi nama Aldar HQ di persisiran pantai Al-Raha. Bangunan setinggi 25 tingkat ini mula dibina pada 2007 setelah dua tahun dihabiskan untuk kerja-kerja lakaran, perlaburan dan kewangan serta perancangan bandar.
Ada juga perkongsian tentang menara condong yang tertinggi di dunia iaitu pembinaan ‘Capital Gate’ iaitu sebuah lagi menara condong di Abu Dhabi, jambatan kaca iaitu Grand Canyon Skywalk pada ketinggian 1,200 meter di Grand Canyon, Arizona, bukan sekadar melihat pemandangan menarik namun kedudukannya tepat berhadapan dengan cerun batuan menyerupai seekor helang gergasi.
Ikuti tentang pelayaran dan percutian di atas kapal ‘Freedom Of The Sea’ yang sebenarnya berdepan dengan angin ribut taufan, tsunami dan juga penyebaran virus. Ada juga cerita tentang mesin pemusnah barangan dan besi yang terbesar di dunia, pembinaan sebuah pusat digital dan teknologi hijau untuk sukan Olimpik di Beijing dan pembinaan dan operasi sebuah pelantar menggali minyak.
Usah ketinggalan juga menyaksikan tentang pusat pelancaran roket NASA di tengah lautan, pembinaan 2 buah sistem untuk menghalang banjir dan ombak besar, penyelenggaraan jambatan ‘Golden Gate’ di San Fransisco, Amerika Syarikat, terminal keretapi terbesar di Eropah iaitu ‘Berlin Train Terminal’, dan pembinaan ‘roller coster Kingda Ka’ di sebuah taman tema ‘Six Flags Great Adventure’ di New Jersey yang bukan sahaja megah dengan rekod tertinggi di dunia bahkan ia juga menyimpan rekod kedua terlaju di dunia.
Turut dikongsikan juga proses menghasilkan pesawat komersil ‘Airbus A380’, ciptaan terbaik selepas Boeing 747 dan juga Concorde, proses perlombongan emas di Tau Tana, Afrika Selatan dan direkodkan paling dalam di dunia, sebuah bangunan Chicago yang pernah direkodkan tertinggi di dunia, lebuhraya ‘Autobahn’ yang dikatakan paling selamat di dunia. Lebuhraya ini terkenal dengan sistem di mana dua pertiga dari lebuhraya ini dibenarkan kelajuan tanpa had. Ia diakhiri tentang lapangan terbang antarabangsa ‘Kansai’ yang didirikan di atas perairan lautan luas Osaka, Jepun.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.