Majlis ini mendapat sokongan penuh daripada stesen radio terkenal di Selatan Tanah Air, BEST FM, yang telah menjalankan kempen untuk menyokong usaha sama syarikat Universal Music Malaysia dan Def Jam Asia.
Sesi bertemu peminat dan acara sidang media eksklusif ini diadakan sebagai persediaan untuk konsert Joe Flizzow yang bakal berlangsung tidak lama lagi di Singapura. Sebanyak 20 orang pemenang telah dipilih melalui kempen yang dijalankan oleh BEST FM, dan mereka diberi peluang eksklusif untuk bertemu dengan Joe Flizzow dan SonaOne dalam satu majlis tertutup di Johor Bahru.
Dalam sesi bertemu peminat yang berlangsung selama 20 minit, Joe Flizzow mempersembahkan sebuah lagu khas untuk peminat-peminat yang bertuah tersebut.
Kempen ini merupakan inisiatif bersama pihak penganjur, Filloz International dan LR Asia, dengan kerjasama BEST FM dan penaja lokasi, The Founders Cafe Johor Bahru, bagi mempromosikan konsert di Singapura yang bakal diadakan pada bulan hadapan.
Konsert THIS IS JOHAN, LIVE IN SINGAPORE akan diadakan di The Star Theatre, Singapura pada 5 Julai 2024, jam 8 malam. Konsert ini akan menampilkan enam artis jemputan, termasuk Alyph, SonaOne, Gard, Ila Damiaa, MK K-Clique, dan Adeep Nahar, untuk memeriahkan acara yang dijangka berlangsung selama 2 jam. Seperti konsert-konsert sebelum ini di Kuala Lumpur, konsert ini akan menampilkan DJ Cza dan Joe Flizzow yang akan mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu khas buat peminat muzik hip-hop di Kota Singa.
Konsert ini merupakan konsert solo pertama Joe Flizzow di Singapura, dan beliau menyatakan keterujaannya untuk membuat persembahan bersama rakan artis dari Singapura dan Malaysia. Dalam konsert ini, Joe Flizzow akan mempersembahkan beberapa lagu baru dari album terkini yang belum pernah didengarkan di mana-mana. Beliau menyatakan bahawa Singapura merupakan satu destinasi yang penting dalam Tour This Is Johan dan beliau gembira tour ini akan bermula di Singapura.
Harga tiket konsert This Is Johan Live in Singapore bermula dari SGD88 hingga SGD208, termasuk sesi “Meet n Greet” bersama Joe Flizzow. Penaja utama bagi konsert ini adalah POP Motif Interior, manakala radio rasmi di Singapura adalah RIA 89.7, dan konsert ini juga mendapat sokongan daripada Mangobossku Singapura.
Johan Ishak, atau lebih dikenali sebagai Joe Flizzow, adalah perintis hip-hop Malaysia dan Pengarah Urusan Def Jam South East Asia. Beliau telah membawa impak yang besar dalam industri muzik sebagai penyanyi rap yang memenangi pelbagai anugerah dan artis hip-hop terkemuka Malaysia. Joe Flizzow mula dikenali pada akhir tahun 90-an sebagai anggota duo hip-hop lagenda ‘Too Phat’ bersama Malique. Lagu terkenal duo ini termasuk ‘Li’l Fingaz’ dan ‘Too Phat Baby’, dan mereka menghasilkan empat album rakaman sebelum memulakan kerjaya solo masing-masing.
Kerjaya solo Joe Flizzow bermula dengan penghasilan album ‘Presiden’ pada tahun 2008 dan ‘Havoc’ pada tahun 2013. Selepas menyepi selama tujuh tahun, beliau kembali dengan album ketiganya berjudul ‘Johan’.
Pada tahun 2005, Joe Flizzow menubuhkan labelnya sendiri, ‘Kartel Records’, yang tidak hanya menampilkan muziknya sendiri tetapi juga menjadi pemangkin kepada kemunculan artis hip-hop baru yang terinspirasi olehnya. Joe Flizzow juga telah membimbing banyak bakat hip-hop yang sedang meningkat naik, termasuk menjadi penerbit bersama dan penganjur rancangan rap tersohor ‘16 Baris’. Rancangan ini menjadi platform bagi penyanyi-penyanyi rap Asia Tenggara untuk berkarya dan mempamerkan bakat mereka.