Meerqeen yang pernah berdepan masalah kemurungan ketika bersekolah asrama dulu kembali berdepan masalah itu ketika berlakon dalam drama bersiri terbaru, Nenek Bongkok Tiga.
Watak lakonannya, Adi, seorang ‘badboy’ yang tidak mempunyai arah tujuan hidup, sedikit sebanyak karakter mendorongnya kembali berdepan kemurungan.
Meerqeen berkata, detik hitam itu kembali menghantui dirinya ketika menjayakan watak Adi dalam drama itu.
“Sejujurnya, disebabkan bawa watak Adi, masalah depresi datang balik. Saya terbawa-bawa karakter sampai ke rumah.
“Dah habis mainkan watak Adi, saya terus bela dan blonde (warnakan) rambut sebab tak boleh tengok ‘Adi’ di cermin.
“Selama tempoh empat bulan, saya dibelenggu perasaan murung atau depresi sehingga terbawa-bawa ke luar lokasi. Kalau ada yang perasan saya pernah mewarnakan rambut bagi menghilangkan watak Adi itu.
“Kalau diikutkan, saya melihat watak Adi sebagai diri saya yang dulu. Malah, ibu saya turut menangis kerana perasan apa yang saya alami.
“Mujur saya tahu untuk mengawalnya dan bagaimana untuk mengatasi masalah. Dulu, bermain ragbi menjadi antara penyelamat yang membantu saya untuk menangani kemurungan ketika di sekolah,” katanya.
Meerqeen berkata, dia terbuka untuk bercerita mengenai masalah kemurungan yang dihadapi sebagai kesedaran buat mereka di luar sana.
Menurutnya, walaupun kisah hitam itu pernah menghantuinya, namun dia enggan menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuk menerima watak pada waktu hadapan.
“Ini adalah harga yang perlu saya bayar apabila memilih bidang lakonan sebagai sumber pendapatan. Walaupun memberi kesan terhadap kesihatan mental saya, namun ia tidak menghalang saya untuk menerima watak sebegini pada masa hadapan.
Saya harap dengan terjemahan watak Adi dalam Nenek Bongkok Tiga dalam beri kesedaran kepada orang ramai tentang masalah mental seperti kemurungan atau depresi. Sebab ramai yang sedang laluinya sekarang tapi mungkin mereka tak tahu,”
“Saya juga tidak teragak-agak untuk memotong rambut bagi menjayakan apa saja watak,” katanya.
Tambah bintang Melur Untuk Firdaus itu, pengalaman berdepan masalah kemurungan ketika dahulu bagaimanapun sedikit sebanyak membantunya menjadi lebih rasional.
Ceritanya, sisi gelap hidupnya tersebut dihadapinya ketika bergelar seorang pelajar di sebuah institusi pendidikan swasta.
“Saya pernah jadi seorang yang ada depresi. Seorang yang tak gembira dalam hidup.
“Saya dah okey sekarang. Semua itu dah berlalu. Depresi berlaku waktu di kolej di asrama dahulu,” katanya.
Jelas Meerqeen, 22, lagi, satu pendekatan yang dilalui bagi mengatasi masalah depresi adalah dengan menyibukkan diri termasuk aktif bermain sukan iaitu rabgi ketika di kolej swasta berkenaan.
“Saya tak tahulah saya diagnos masalah depresi ke apa tetapi, I feel that way (saya rasa begitu). Sebab mungkin saya tak pernah jumpa doktor.
“Faktor sekeliling, kawan-kawan di asrama dahulu dan kepenatan menjadi sebab saya murung. Yang buat saya bebas daripada masalah depresi adalah sukan rabgi,” katanya.
Siri terbaharu Viu arahan Datuk Abdul Halim tersebut turut dibintangi pelakon handalan lain seperti Hun Haqeem, Syafie Naswip, Fimie Don, Syazwan Zulkifly, Ashraf Muslim, Rykal Iskandar, Sherie Merlis, Sofia Jane, Sara Ali dan Sara Mack Lubis.