in

Media Prima Lancar Kempen Tahun Baru Cina 2015

Kedatangan tahun baharu iaitu Tahun Kambing sudah pastinya disambut meriah oleh masyarakat Cina. one FM, ntv7 dan 8TV bergabung untuk memperkenalkan sebuah kempen sempena Tahun Baru Cina yang merangkumi pelbagai aktiviti menarik. Tema kempen kali ini ialah ‘样样都好 VERY GOAT!” atau “Yang Yang Dou Hao” dalam bahasa Mandarin yang bermaksud “semua perkara baik”.

Menurut Seelan Paul, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV Media Prima & Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Radio, Media Prima Berhad, suasana sambutan Tahun Baru Cina akan lebih gamat dengan kempen ini yang pastinya akan membawa keseronokan dan kemeriahan yang cukup hebat!

MPB 2015 CNY Campaign & Album Launch - one FM, ntv7 & 8TV Artistes (c)

“Ini merupakan julung-julung kalinya ketiga-tiga stesen ini bergabung dalam satu kempen khas Tahun Baru Cina Media Prima supaya dapat mendekati lebih ramai lagi penonton Cina. Kami berharap sambutan ini akan lebih bermakna dengan barisan program TV dan juga aktiviti-aktiviti yang menarik sempena perayaan ini,” kata Seelan.

Kempen ini juga buat pertama kalinya memperkenalkan sebuah aplikasi telefon mudah alih iaitu aplikasi “178” untuk menghangatkan lagi sambutan Tahun Baru Cina kali ini. Orang ramai boleh mendapatkan resipi masakan Cina yang popular, ramalan horoskop harian, jadual program Tahun Baru Cina rangkaian TV Media Prima. Orang ramai juga boleh menghantar ucapan melalui e-kad dengan menggunakan ini aplikasi ini.

Kempen ini juga turut memperkenalkan patung mainan Tahun Baru Cina yang diberi nama “VERY GOAT” sempena dengan Tahun Kambing. Sebanyak 178 kambing seramik akan dipamerkan di lokasi-lokasi “VERY GOAT TOUR” (sila rujuk jadual di bawah untuk senarai lokasi). Sebuah pertandingan khas turut dilancarkan di mana orang ramai boleh mengambil gambar bersama kambing seramik dan memuat naik gambar-gambar di Instagram dengan hashtag #178verygoat. Pemenang akan dipilih berdasarkan gambar paling kreatif.

Sementara itu, sebuah album khas Tahun Baru Cina turut dihasilkan di bawah kempen ini yang akan menampilkan 26 artis dan hos one FM, ntv7 dan 8TV. Album ini diterbitkan berdasarkan tema Tahun Kambing dan mengandungi sebanyak 8 buah lagu. Lagu pertama iaitu “Yang Yang Dou Hao” merupakan lagu tema yang bermaksud “semua perkara baik”, yang dihasilkan oleh kumpulan hip-hop dan rap tempatan iaitu ManHanD. Tiga daripada lagu-lagu itu merupakan lagu Tahun Baru Cina klasik yang telah diberi nafas baru. Empat buah lagu lagi pula merupakan lagu yang digubah oleh Media Prima sendiri dari tahun-tahun sebelumnya.

Barisan artis yang terlibat dalam album khas ini ialah Nicholas Ong, William San, Wayne Thong, Kyan Lim, Angeline Ooi, Angel Ang dari one FM, Adrian Tan, Jan Chin, Frederick Lee, Jojo Goh, Karena Teo, Kyo Chen, Ong Ai Leng, Lawrence Wong, Jeffrey Cheng dan Fabian Loo dari ntv7, Gary Yap, Natalie Ng, Rickman Chia, Orange Tan, Winson Voon, Mei Sim, Chrystina Ng, Wind Lee, Dennis Gan dan Bernard dari 8TV.

Di samping itu, kempen ini juga memberi peluang kepada khalayak untuk bertemu dengan artis kegemaran masing-masing menerusi siri jelajah Tahun Baru Cina ini. Orang ramai juga turut berpeluang memenangi hadiah lumayan dan jika bernasib baik, berpeluang mendapat paket merah ‘angpow’ khas sepanjang siri jelajah berlangsung.

Sementara itu, penonton boleh memuat turun aplikasi “178” dan menggunakan aplikasi ini untuk Kod QR yang tertera pada skrin TV apabila rancangan-rancangan Tahun Baru Cina disiarkan beberapa hari sebelum festival ini. Jika nombor Kod QR sepadan dengan nombor pada ‘angpow’ mereka (yang diberikan semasa roadshow), mereka akan berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM25,000.

Orang ramai juga boleh mendapatkan album serta T-shirt edisi terhad dan patung mainan “VERY GOAT” yang dijual secara eksklusif di semua kedai-kedai CD-RAMA POPULAR. Album ini yang terdiri daripada CD dan DVD ini dijual pada harga RM19.90 manakala T-shirt dijual pada harga RM20.00 setiap satu dan boleh didapati di pasaran mulai 19 Disember 2014. Patung mainan yang dijual pada harga RM29.90 setiap satu akan berada di pasaran mulai 9 Januari 2015.

MPB 2015 CNY Campaign & Album Launch - one FM, ntv7 & 8TV Artistes (b)

Nantikan tahun baru ini yang penuh dengan keseronokan dan kemeriahan bersama kempen Tahun Baru Cina Media Prima!

BUTIRAN-BUTIRAN SIRI JELAJAH “VERY GOAT”:

NO TARIKH MASA (MULA) MASA (AKHIR) LOKASI
1. 16 Disember 2014 10.00am 2.00pm Tunku Abdul Rahman University College, KL
2. 20 & 21 Disember 2014 3.00pm 11.00pm Auto City, Penang (Yuan Carnival)
3. 28 Disember 2014 4.00pm 7.00pm Menara Condong, Teluk Intan
4. 3 Januari 2015 10.00am 3.00pm  Johor Bahru Old Chinese Temple
5. 4 Januari 2015 10.00am 4.00pm Padang Dataran Pahlawan, Melaka
6. 9 – 11 Januari 2015 10.00am 10.00pm CD-RAMA POPULAR (Sunway Pyramid)
7. 29 Januari – 23 Februari 2015 10.00am 10.00pm Mid Valley

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Malam RATIB KALBU Garapan U-Wei Saari Hargai Sutung Umar

Chef Wan Masuk Wad Gara-Gara Jangkitan Kuman Dalam Paru-Paru