in ,

Media Prima Lancar Impian Emas Negara di Sukan Olimpik

MEDIA PRIMA BERHAD MENYEMARAKKAN SEMANGAT OLIMPIK
Bersama, kita gapai “Impian Emas Negara”

Media Prima Berhad (MPB) hari ini melancarkan sebuah inisiatif baru yang dinamakan “Impian Emas Negara” sempena temasya sukan utama dunia yang bakal berlangsung lebih kurang 80 hari lagi. Inisiatif ini bakal membawa harapan tertinggi negara dalam menggapai pingat emas pertama Malaysia di samping memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk meneruskan sokongan mereka kepada kontinjen Malaysia di sukan Olimpik London 2012 yang bakal berlangsung pada 27 Julai sehingga 12 Ogos nanti.

Merasmikan pelancaran inisiatif murni itu hari ini di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama adalah Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang berlintas secara langsung melalui Buletin Utama TV3.

Sebagai syarikat konglomerat media terbesar, Media Prima memainkan peranan dan tanggungjawab sosialnya dalam menggalakkan rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan penuh terhadap atlet-atlet sukan negara yang bakal berjuang di temasya sukan terbesar dunia itu pada tahun ini.

“Inisiatif ini adalah bertujuan untuk membawa sokongan orang ramai dan juga untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam acara terpenting buat negara seperti ini,” kata Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Studio Primeworks.

“Impian Emas Negara akan mengadakan pelbagai jenis aktiviti di mana ia akan menjadi jambatan kepada jurang di antara orang ramai dan para atlet serta memberi peluang kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada sukan Olimpik London 2012,” tambah Izham.

Sementara itu, variasi rancangan televisyen, dokumentari dan berita terkini akan disiarkan melalui ntv7, 8TV, TV3, dan TV9 secara serentak bermula bulan Mei ini bagi membuka laluan kepada temasya sukan Olimpik itu.

Informasi dan laporan terkini mengenai para atlet dan jumlah kutipan pingat acara sukan itu pastinya bakal menjadi bahan bicara hangat buat peminat sukan Malaysia ketika musim Olimpik nanti. Oleh itu, Media Prima akan memastikan rakyat Malaysia tidak ketinggalan untuk mendapatkan sebarang laporan atau isu menarik dengan membawakan mereka pelbagai edisi berita melalui kesemua rangkaiannya termasuklah 7 edition, Edisi 7, Mandarin 7, 8TV Mandarin News, 8TV Midday Mandarin News, Buletin Utama dan Berita TV9.

Jika itu masih tidak mencukupi, ntv7 bakal menyiarkan edisi berita padat untuk memenuhi keinginan para peminat sukan. “Golden Dream” merupakan pakej berita padat dan komprehensif yang disiarkan selama 5 minit akan dibawakan kepada anda oleh pasukan berita ntv7 setiap hari Isnin hingga Ahad pada jam 9.25 malam hingga 9.30 malam bermula 27 Julai. “Gold Rush” pula merupakan slot pengisi selama 1 minit yang juga bersiaran melalui ntv7 setiap Isnin hingga Ahad dua kali sehari pada pukul 10.00 pagi dan 7.30 malam bermula 8 Julai nanti. Menerusi rancangan ini, penonton bakal melihat segala persediaan yang dijalankan, lokasi stadium, kota penganjur, mereka yang terlibat dan tentu sekali sukan yang dipertandingkan dan para atlet sehingga acara sebenar Olimpik London 2012 berlangsung.

Bagi mereka yang ingin mendalami dan mengetahui lebih lanjut mengenai temasya sukan itu, mereka bolehlah menonton beberapa rancangan dokumentari menarik yang telah disediakan. “Spirit of London” yang bersiaran di ntv7 setiap hari Ahad jam 8.30 malam – 9.30 malam bermula 8 Julai merupakan dokumentari yang bakal mencakupi soal pembangunan dan persediaan acara sukan itu pada setiap minggu. Siri dokumentari 10 episod itu akan memaparkan kisah pelbagai jenis sukan yang bakal dipertandingkan di London termasuklah sejarah penganjuran, peraturan permainan dan maklumat mengenai atlet-atlet terbabit. Sementara itu, “Host City London” merupakan dokumentari mengenai kajian yang melibatkan tuan rumah temasya sukan itu di samping meraikan kehidupan kota di London dan memaparkan aktiviti kebudayaan mereka. Siri sepanjang 10 episod ini akan ke udara di ntv7 bermula 12 Julai setiap hari Khamis pada jam 7.30 malam – 8.00 malam.

Media Prima juga bakal menyemarakkan lagi semangat kesukanan anda melalui rancangan temubualnya termasuklah The Breakfast Show, Bella, dan All About Sports; 8TV Quickie, 8TV Nite Live, 8 e-news dan Celebrity Chat; Malaysia Hari Ini (MHI), Scoreboard dan Nasi Lemak Kopi O. Rancangan Variasi dan Hiburan di 8TV juga tidak ketinggalan dalam memeriahkan lagi musim sukan ini melalui rancangan 8 Style, Ho Chak! Move It and A Date with Lu Yu bakal mempunyai kandungan istimewa untuk para penonton.

Antara lain yang menarik adalah beberapa judul berkaitan sukan akan menemui para penonton untuk meraikan lagi musim Olimpik dengan penyiaran Inazuma Eleven Musim 2 (Setiap hari Sabtu jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi) di slot kids@fgw ntv7. 8TV pula bakal hadir dengan “Let’s Go! Dream Team” (setiap hari Sabtu jam 1 petang – 2 petang), sebuah rancangan hiburan yang unik melibatkan penyertaan selebriti yang pasti menceriakan lagi hari anda dengan cabaran sukan dan aktiviti menarik. Saluran itu juga akan menayangkan filem Cina popular, “Kung Fu Dunk” (4 Ogos, 8.30 malam -10.30 malam) lakonan hebat Jay Chou, Eric Tsang, Charlene Choi, dan Bolin Chen. Selain pelbagai rancangan menarik yang disajikan, penonton juga akan dihidangkan dengan fakta dan trivia menarik mengenai Olimpik.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan acara Olimpik itu secara langsung dengan mata kepala mereka sendiri juga boleh menyertai peraduan Media Prima “Chief Olympic Correspondent” di mana tiga pemenang bertuah akan mendapat penerbangan ke London dengan segala perbelanjaan mereka akan ditanggung . Mereka yang berminat menyertainya boleh melayari laman sesawang rasmi di www.impianemasnegara.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut. Selain mengandungi maklumat peraduan, laman itu juga mengandungi perisian dan aktiviti interaktif dan siaran ulangan buat berita terkini mengenai temasya sukan itu. Bukan itu sahaja, pelawat laman itu juga boleh mendapatkan informasi mengenai jumlah kutipan pingat yang telah dimenangi oleh kontinjen Malaysia.

Sementara itu jangan lupa menumpukan perhatian anda kepada beberapa atlet harapan untuk membawa impian emas negara antaranya pemain no.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk sukan Badminton, Pandalela Rinong untuk Acara Terjun, dan Azizulhasni Awang untuk acara Basikal. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Chef de Mission kontinjen Malaysia yang pernah ditemubual sebelum ini juga tidak menafikan bahawa acara lain juga mungkin mampu memberi kejutan untuk membawa pulang pingat.

Inisiatif ini juga bakal menganjurkan roadshows di seluruh negara dalam misi mereka untuk mendapatkan sejumlah satu juta tandatangan di tembok tandatangan khas yang akan di bawa ke beberapa lokasi untuk orang ramai tandatangani. Kesemua tandatangan sokongan ini kemudiannya akan dipamerkan di lapangan terbang sebelum para atlet berangkat ke London.

Turut hadir di dalam acara yang dihoskan oleh pengacara ntv7 dan 8TV, Nazrudin Rahman dan Megan Tan adalah tetamu kehormat daripada Majlis Olimpik Malaysia, Dato’ Sieh Kok Chi, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia serta atlet kontinjen Malaysia dan atlet yang pernah menyertai sukan Olimpik. Antaranya adalah Razif Sidek, Cheah Soon Kit, Dato’ Santokh Singh, Dato’ Yogeswaran, Wong Choon Hin, Datuk Poon Fook Loke, R. Pathmarajah dan Yu Peng Kean.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Win Limited Edition Touch ‘n Go Cards With #GalleryNote

Filem Inggeris & Drama Hebat Raikan Golongan Ibu