in , ,

Media Prima & JHEV ATM Lancar Kempen Tabung Pahlawan 2020

Penghormatan atas pengorbanan… Di usia muda, segala jerih perih dicurahkan oleh para perajurit demi mempertahankan tanah air tercinta. Ada yang terkorban, ada yang hilang keupayaan dan ada juga ahli keluarga mereka yang hilang tempat bergantung. Pengorbanan mereka wajar diberi penghormatan tinggi dan mereka tidak harus dilupai oleh masyarakat ketika dimamah usia selepas bersara. 

Media Prima Berhad telah berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) untuk melancarkan Kempen Tabung Pahlawan 2020 hari ini menerusi siaran langsung di program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, Bandar Utama. Kempen ini dilancarkan oleh YABhg. Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan dan YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan. 

Media Prima & JHEV ATM Lancar Kempen Tabung Pahlawan 2020

Sesi pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 tersebut dimeriahkan dengan persembahan menarik daripada Angkatan Tentera Malaysia iaitu ‘Tempur Tanpa Senjata’ dari Tentera Darat Malaysia (TDM), kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ‘drumline’ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta diakhiri dengan persembahan lagu, ‘Perwira’ oleh Ning Baizura. Lebih istimewa, buat pertama kali dalam sejarah kerana Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dapat hadir bersama di Sri Pentas bersempena dengan pelancaran kempen tersebut. 

Kolaborasi antara Media Prima Berhad dan JHEV ATM dalam Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan meningkatkan kesedaran setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia untuk memberi penghormatan dan penghargaan atas pengorbanan para perajurit kita selama ini dalam menjamin keselamatan serta kedaulatan tanah air kita. Sebagai rakan kolaborasi, Media Prima Berhad turut menyediakan pelbagai pengisian program dan aktiviti menarik dalam menyemarakkan lagi kempen tersebut. 

Media Prima & JHEV ATM Lancar Kempen Tabung Pahlawan 2020

Menurut YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, “Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan para perwira negara. Sehubungan itu semua lapisan masyarakat, pihak swasta dan korporat diseru untuk sama-sama menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan sebagai tanda penghormatan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Pahlawan Negara dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara. Ia juga bagi menyemai dan meningkatkan semangat patriotisme dan sifat kecintaan terhadap negara dalam diri setiap warganegara Malaysia khususnya generasi muda.’’

Dato’ Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad berkata “Kolaborasi Media Prima Berhad dengan JHEV ATM dapat menyemarakkan lagi promosi Kempen Tabung Pahlawan 2020 dengan lebih meluas menerusi kepelbagaian rangkaian platform media yang merangkumi TV, radio, digital, cetak dan pengiklanan luar. Selain menghebahkan maklumat untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kempen ini, kami juga mahu menerap semangat patriotik dan nilai cinta kepada tanah air melalui naratif penceritaan dan kupasan yang menyentuh jiwa para penonton menerusi program-program yang disediakan.”  

Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan menggalakkan orang ramai memberi sumbangan secara ikhlas untuk membantu Veteran ATM yang telah banyak berkorban kepada negara. Tahun ini, Kempen Tabung Pahlawan 2020 mensasarkan jumlah kutipan melebihi RM 10 juta. Anda boleh menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan (Affin Bank 1059 5000 3201). Hasil kutipan tabung akan digunakan untuk membantu Veteran ATM yang kurang upaya, balu veteran OKU, kos perubatan, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan juga bantuan kebajikan yang lain. Setiap sumbangan layak menikmati pengurangan cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, 20 selebriti popular tanah air akan turut menyumbangkan barangan peribadi untuk dijual dan hasil jualan tersebut akan disalurkan ke Tabung Pahlawan. Aktiviti jualan tersebut akan dihebahkan menerusi laman media sosial rasmi TV3 dan program Wanita Hari Ini dan Melodi, bermula 24 Ogos – 4 September 2020. 

Tidak ketinggalan, Media Prima Berhad juga telah menghasilkan lagu dan video muzik bertajuk ‘Perwira’, segmen khas dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini, episod khas menerusi program Majalah 3 dan Nona, telefilem khas iaitu Kelab Gentleman dan kapsul Apa Kata Orang Muda untuk menyemarakkan lagi kempen ini. 

Perwira, Lagu & Video Muzik Kempen Tabung Pahlawan 2020  

Media Prima Berhad menerusi Primeworks Studios Sdn Bhd telah menyumbangkan sebuah lagu istimewa untuk semua perwira di negara kita. ‘Perwira’ hasil ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar, dinyanyikan oleh penyanyi bersuara soprano Ning Baizura. Proses rakaman lagu ini telah dilakukan pada penghujung bulan Jun di studio Cranky Music milik Aubrey Suwito dan mengambil masa kurang dari empat jam. 

‘Perwira’ boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020 manakala video muzik pula bakal disiarkan bermula 24 Ogos 2020.

Video muzik ‘Perwira’ diinspirasikan oleh kisah benar kejadian pertempuran di Somalia yang lebih dikenali sebagai insiden ‘Black Hawk Down’ pada tahun 1993. Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang dari Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Mekanis mengendalikan kereta perisai RPZ Condor dalam misi menyelamat 70 anggota US Rangers dan lima anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung militia Somalia di Pasar Bakara.

Dalam tragedi itu, kereta perisai dipandu Allahyarham telah ditembak. Tujuh anggota lain turut cedera. Allahyarham dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.). Anak perempuan Allahyarham, Staf Sarjan Noor Azlinda Mat Aznan turut menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kini beliau bertugas sebagai Jurulatih Pendidikan Kanan di pasukan Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Mekanis, Kem Lapangan Terbang Sg. Petani, Kedah.

Malaysia Hari Ini: Perwiraku, JHEV, Berkongsi Cerita Berkongsi Rasa, 20, 21 & 24 Ogos 2020, 8.00 – 9.30 pagi, TV3

Program bual bicara TV3, Malaysia Hari Ini akan menyiarkan 3 segmen khas, ‘JHEV’,  ‘Berkongsi Cerita, Berkongsi Rasa’ dan ‘Perwiraku’ pada 20 hingga 24 Ogos 2020. Di dalam segmen ‘JHEV’ akan menemubual pengerusi JHEV tentang fungsi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan memberi penjelasan lanjut tentang kempen Tabung Pahlawan 2020. ‘Berkongsi Cerita Berkongsi Rasa’ pula fokus kepada pengorbanan pesara anggota Tentera Malaysia. Segmen ‘Perwiraku’ menemubual pihak Majlis Keselamatan Negara tentang peranan penting Angkatan Tentera Malaysia ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19. MHI akan berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam menggalas tugas berat untuk mempertahankan kedaulatan negara kita. 

Majalah 3: Penghormatan Atas Pengorbanan, 31 Ogos 2020, 9.00 malam di TV3

Kejadian pertempuran di Pasar Bakara, Somalia atau lebih dikenali sebagai insiden ‘Black Hawk Down’ yang berlaku pada tahun 1993 menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya membuka mata dunia tentang kewibaaan ATM dalam mempertahankan tanah air. Ikuti temuramah secara dekat dengan bekas perajurit kita yang akan berkongsi pengalaman mereka.  

Wanita Hari Ini: Susulan Kejayaan (26 Ogos 2020, 12.00 tengah hari di TV3)

Segmen khas ‘Susulan Kejayaan’ memaparkan usaha pesara tentera yang menceburi diri ke bidang lain. Terdapat golongan yang sudah berjaya memiliki syarikat sendiri dan menjalani perniagaan di bandar. Tidak ketinggalan juga terdapat golongan yang mengusahakan pertanian di desa. 

Nona: Rentas Kemahiran Reformasi (30 Ogos 2020, 2.00 petang di TV3)

Ikuti hidup para perajurit selepas mereka bersara dari tanggungjawab menjaga keamanan negara. Bagaimana mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan belajar kemahiran baharu seperti menjahit, berkebun, perniagaan atas talian, memasak dan sebagainya. 

Apa Kata Orang Muda #AKOM, (2 minit)

Berkongsi tentang prospek kerjaya sebagai seorang anggota tentera di Malaysia dengan golongan muda yang berumur antara 16 hingga 25 tahun. Apakah kelayakan yang diperlukan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia dan kelebihan yang diberikan kepada mereka? AKOM juga akan berkongsi pandangan orang muda tentang peranan Angkatan Tentera Malaysia dan tentang Tabung Pahlawan. Kapsul berdurasi 2 minit ini disiarkan menerusi program Melodi dan MBuzz di TV3. 

Telefilem: Kelab Gentlemen (12 September 2020, 9.00 malam di TV3)

Telefilem khas yang diarahkan oleh Gavin Yap membariskan pelakon hebat tanah air seperti Rahim Razali, Sabri Yunus, Azman Hassan, Vanidah Imran, Siti Farah Abdullah dan Aiman Hakim Ridza mengisahkan tiga pesara perajurit negara yang kini tinggal di sebuah rumah jagaan warga tua. Mereka berpakat untuk menyelinap keluar dari rumah jagaan itu kerana ingin menyaksikan Perbarisan Hari Pahlawan. Masing-masing menyimpan sebuah rahsia yang tidak diketahui oleh rakan-rakannya.

Ikuti perkembangan terkini Kempen Tabung Pahlawan 2020 di portal rasmi  http://tabungpahlawan.jhev.gov.my dan Facebook Tabung Pahlawan Veteran ATM., Twitter@TabungPahlawanVeteranATMOfficial & Instagram @tabungpahlawanofficial

#haripahlawan #kempentabungpahlawan #jhevatm #veteranatm #terimakasihpahlawan

Media Prima & JHEV ATM Lancar Kempen Tabung Pahlawan 2020

Mengenai Media Prima Berhad

Disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, Media Prima Berhad (“Media Prima” atau Kumpulan”) adalah syarikat peneraju media bersepadu sepenuhnya di Malaysia yang lengkap dengan perniagaan berkaitan media dalam televisyen, percetakan, radio, pengiklanan-luar-rumah (out-of-home), selain kandungan dan media digital.

Perkhidmatan terkini Kumpulan, Media Prima Omnia, adalah penyedia penyelesaian bersepadu yang menawarkan perkhidmatan kreatif dan penyelesaian pemasaran bersepadu di seluruh platform Media Prima, berkemahiran dalam kempen jenama, acara dan kandungan kreatif. Perkhidmatan Omnia kini menjangkau 98% isi rumah Malaysia dan 24 juta penonton merangkumi semua peringkat umur serta pelbagai lapisan masyarakat setiap hari.

Bahagian Televisyen, Kumpulan mengekalkan kedudukan nombor satu dalam tontonan menerusi empat salurannya iaitu TV3, 8TV, ntv7 dan TV9. Media Prima juga adalah pemilik kepada rangkaian beli-belah rumah yang berkembang pantas, CJ WOW SHOP, dan perintis portal tonton, portal penstriminan video popular Malaysia.

Media Prima adalah pemilik kepada The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, penerbit terbesar di Malaysia dengan tiga jenama berita nasional – New Straits Times, BH (“Berita Harian”) dan Harian Metro. Pada tahun 2020, Print Towers Sdn Bhd, yang terbentuk dari unit Pengeluaran dan Pengedaran NSTP, mula beroperasi sebagai entiti komersial yang berdiri sendiri.

RIPPLE, juga dikenali sebagai Media Prima Radio Networks, beroperasi sebagai syarikat media digital, penyiaran dan perdagangan yang memberi fokus kepada audiens menerusi kandungan, bakat, pengalaman dan platform. Ia merangkumi enam jenama digital – Donna, Lunaria, Thelaki, Likely, Chapters dan Ais Kacang, empat jenama penyiaran – Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM serta jenama e-dagang – SuperDeals.

Media Prima juga adalah peneraju pasaran bagi Pengiklanan-Luar-Rumah diwakili oleh Big Tree, The Right Channel, Kurnia Outdoor, Gotcha, UPD, dan Big Tree Seni Jaya. Kumpulan juga memiliki Primeworks Studios, syarikat penghasilan kandungan terbesar di Malaysia.

REV Media Group adalah penerbit digital terkemuka di Malaysia, mewakili lebih daripada 30 jenama utama dengan rangkaian pengedaran yang luas menjangkau lebih dari 15 juta orang setiap bulan, sekitar 75% daripada populasi internet di Malaysia. REV Media Group memanfaatkan kekuatan data dan teknologi untuk menyampaikan kandungan yang menarik kepada audiens kami dalam pelbagai bahasa dan platform merangkumi Berita, Hiburan, Gaya Hidup, Teknologi dan banyak lagi. 

Kumpulan ketika ini menduduki tempat ketiga bagi pencapaian digital di Malaysia. Pada 2018, Media Prima muncul nombor satu pilihan kandungan mudah alih di dalam negara.

Layari www.mediaprima.com.my atau Twitter @mpbtalk | Facebook @mediaprimabhd | Instagram @mediaprimabhd

Mengenai Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM)

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) telah ditubuhkan pada 1 Januari 2001 di bawah Kementerian Pertahanan. Penubuhan JHEV ini adalah dengan objektif sebagai pusat sehenti untuk menjaga kebajikan dan membantu Veteran ATM menjalani kehidupan yang selesa sebagai pengiktirafan di atas pengorbanan mereka semasa  dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping menguruskan faedah-faedah persaraan dan membayar pencen kepada pesara tentera, JHEV ATM turut merancang dan menyediakan Skim Bantuan Kebajikan dan Pendidikan serta beberapa kemudahan lain yang berkaitan Veteran ATM. 

Sejarah Kempen Tabung Pahlawan bermula pada tahun 1950 yang dipertanggungjawabkan kepada Persatuan Bekas Tentera Malaya (Ex Service Association of Malaya) di bawah pimpinan Bekas Tentera British yang berkhidmat di Malaya selepas Perang Dunia Kedua. Dikenali sebagai ‘Poppy Day’ yang sinonim dengan kempen yang dianjurkan di Britain. Selepas kemerdekaan ‘Poppy Day’ telah ditukar kepada Tabung Pahlawan dan lambang bunga poppy ditukar kepada lambang bunga raya. 

Kempen  Tabung Pahlawan telah diwujudkan bagi mengiktiraf pengorbanan para pahlawan negara serta mendapatkan sumbangan untuk dimanfaatkan kepada Veteran ATM, balu dan keluarga veteran yang kurang bernasib baik.

Layari www.jhev.gov.my  |    Portal KTP : http://tabungpahlawan.jhev.gov.my   |   Facebook@TabungPahlawanVeteranATM  |  Twitter@TabungPahlawanVeteranATMOfficial  | Instagram@tabungpahlawanofficial

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aman RA Kembali Dengan Single & Muzik Video Bertajuk SEMANGAT IMPIAN

Mata Jadi Kabur Gelap, Radhi OAG Disahkan Hidap Katarak