Peserta Gegar Vaganza yang tersingkir malam tadi, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, membuat kejutan apabila mengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat.
Pengumuman itu dibuat Elyana sebaik namanya diumumkan tersingkir dari program realiti hiburan terbitan Astro Ria, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur, malam tadi.
Budiey ada rakam video dan korang boleh tonton video kat bawah ni. Ramai media terkejut dan menangis sebab sangat sedih.
Antara media yang kelihatan menangis dan keluar air mata, saudara Deegun dari Utusan. Deegun juga telah meluahkan perasaan sedihnya dalam satu posting di Facebook:
Hari ini merupakan antara malam paling emosi sepanjang sedekad bergelar petugas media. Air mata tidak mampu lagi disekang, dibiar mengalir membasahi pipi setelah tidak tertahan menahan sebak di dada.
Tatkala sahabat sekian lama dalam industri mengumumkan bahawa dia adalah pesakit kanser limforma tahap empat, seluruh dewan tergamam seketika, mula kedengaran tangisan sedu-sedan peminatnya.
Di bilik media, episod duka diteruskan, bukan lagi drama, tetapi kebenaran. Suasana sidang akhbar yang selalunya riuh, menjadi medan tumpahnya air mata para wartawan, sahabat taulan berpelukan erat mendengar pengakuan Elyana.
Mempunyai pesona pentas yang lincah, bijak berjenaka, sedikit pun tidak menggambarkan dirinya menyimpan perkhabaran yang tidak menggembirakan.
Malah, apabila menjawab soalan demi soalan yang membuatkan air mata ku semakin laju, dia masih mampu tersenyum sambil melarang rakan-rakan lain menangisi kesengsaraan penyakit yang dihidapinya. Allahuakbar, kuatnya engkau sahabat.
Aku bingkas bangun, beranjak ke hujung bilik sambil ditemani suaminya, Khairul Hussin yang tahu betapa akrabnya hubungan aku dan isterinya, cuba untuk menenangkan jiwa aku yang celaru apabila mendapat tahu berita sedih itu.
“Nana sayang sangat kau Digun. Sebab itu dia tak nak kau tahu dia sakit. Masa kau sakit hari itu, dia ralat sangat sebab tak sempat lawat. Nana tahu kau juga kuat sama sepertinya” bisik sang suami kepada aku.
Dalam kami berpelukan, Khairul sempat memberitahu, Elyana tidak mahu sesiapa risau akan keadaan dirinya. Sebab itu dia diamkan diri selama ini. Bukan sekejap, tetapi tujuh tahun lamanya.
Hari ini, malam ini, dia kembali aktif demi peminat. Jadi tidak adil kiranya Elyana terus menyembunyikan perkara tersebut. Bukan kerana simpati atau meraih sensasi.
Ya Allah ya tuhanku, Engkau sembuhkanlah penyakit sahabatku ini. Kurniakanlah kepadanya keutuhan jiwa raga untuk dia menempuhi ujian-Mu.
Ditemui sebaik acara selesai, Elyana berkata, dia berasakan berhak untuk berkongsi berita itu dengan peminat yang menyayangi dan menyokong kerjaya seninya sepanjang bergelar artis.
“Sudah tujuh tahun saya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan mereka. Saya berasakan cukuplah selama ini saya mendiamkan perkara ini daripada pengetahuan mereka.
“Sepanjang tujuh tahun saya menghidap kanser, saya cuba mencari cara dan waktu terbaik bagaimana saya mahu memberitahu kepada peminat. Dan saya berasakan apabila saya tersingkir dari GV4, ia adalah satu peluang,” katanya.
Kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kalis Rindu itu, dia juga berasakan perlu memberitahu umum memandangkan ramai yang membuat dakwaan dan menuduh dia sombong dan tidak lagi mahu menyanyi.
“Sebaik disahkan doktor saya menghidap kanser selepas melahirkan Cinta Sumayyah tujuh tahun lalu saya menghilangkan diri bagi membolehkan menjalani rawatan.
“Waktu itu memang saya tidak melayani sebarang permintaan peminat dan menolak tawaran yang datang. Disebabkan itu ada pihak sudah beranggapan saya sombong dan sudah berhenti menyanyi. Sedangkan perkara itu tidak berlaku,” katanya.
Jelas Elyana sepanjang tempoh tujuh tahun itu, dia telah berusaha untuk menjalani rawatan di dalam dan luar negara.
“Bagaimanapun buat masa ini saya menghentikan rawatan di hospital buat sementara waktu dan mencuba rawatan alternatif,” katanya.
Kata Elyana apabila ditanya dari mana dia memperoleh kekuatan sepanjang tujuh tahun berhadapan dengan penyakit kanser, jelasnya ia datang daripada Allah SWT.
“Kalau ikutkan saya tidak kuat,” katanya yang turut meluahkan rasa lega apabila dapat berkongsi mengenai penyakit yang dideritai bersama keluarga, teman rapat dan peminat.
Semoga Elyana tabah menghadapi dugaan ini.