TikTok, Snapchat, Binumi dan pakar kandungan terkemuka tampil dalam acara maya selama dua hari,untuk mempercepatkan penyertaan belia dan menggalakkan pengewangan inovasi kreatif
KUALA LUMPUR, 24 OGOS 2020: Acara maya #YoungCreators yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bakal menyaksikan pelancaran platform baharu untuk memupuk kemahiran digital kreatif dalam kalangan belia di negara ini. Sebagai sebahagian daripada Gerakan #SayaDigital anjuran MDEC yang sedang berlangsung, #YoungCreators akan memberi peluang kepada para pencipta kandungan yang baharu mengenai kaedah untuk meningkatkan kemahiran, memperkasakan kreativiti dan menjana pendapatan. Para peserta program akan dapat mengukuhkan keupayaan dan kehadiran mereka di peringkat serantau dan antarabangsa. Acara selama dua hari mulai 28 hingga 29 Ogos 2020 akan menampilkan para pempengaruh, bakat dan bintang industri dalam bidang kreatif.
Buat kali pertama, MDEC akan bekerjasama dengan TikTok, Snapchat dan Binumi untuk memanfaatkan kumpulan teras pempengaruh yang kukuh untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan nasihat mereka. Bertindak sebagai “platform” untuk para peserta meningkatkan usaha mencipta kandungan dan mencapai matlamat pengewangan, sesi interaktif akan turut membincangkan cara memanfaatkan platform digital dan media sosial serta teknologi termaju seperti realiti terimbuh (Augmented Reality (AR).
Kemuncak acara ialah Cabaran Kandungan Kreatif yang menawarkan hadiah wang tunai serta sijil yang diberikan oleh TikTok kepada para pemenang #YoungCreators. Seterusnya, 10 orang pencipta muda akan dipilih untuk dimasukkan ke dalam Program Rangkaian Pencipta selama 12 bulan yang dijalankan oleh CastingAsia. Untuk menyertai cabaran ini, semua pengguna TikTok Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas digalakkan memuat naik video bermaklumat dan pendidikan asli menggunakan tanda pagar #YoungCreators dan #TikTokGuru mulai 22 hingga 31 Ogos. Panjang setiap video hendaklah sekurang-kurangnya 10 saat dan temanya merangkumi pengetahuan umum, teknologi, kesihatan dan kecergasan, kecantikan, budaya dan jalan pintas kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pihaknya percaya walaupun dengan wabak global yang sedang berlaku, pencipta kandungan digital Malaysia telah bergerak jauh ke depan dalam bidang penggunaan digital.
“ Perjalanan baru bermula. Dengan pandemik global yang sedang mengancam peluang pekerjaan dan ekonomi secara keseluruhan, kita berpeluang mengatasi masalah dengan memperkasakan generasi muda untuk menggunakan teknologi digital bagi meningkatkan kreativiti mereka dan memperoleh pendapatan daripada ciptaan mereka sebagai satu bentuk kehidupan yang lestari. Usaha ini memenuhi aspirasi negara untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan kesejahteraan bersama untuk semua. Hari ini, kita hidup dalam normal baharu dan kita percaya bahawa kerjasama dengan pemain industri yang termaju seperti TikTok, Snapchat dan Binumi, inisiatif #YoungCreators akan berfungsi sebagai platform untuk mendorong anak muda mempercayai kreatif mereka dan mencipta nama untuk diri sendiri, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global,” katanya.
Ini juga sejajar dengan agenda MDEC untuk mempercepat penyertaan generasi muda dan untuk membolehkan rakyat Malaysia mahir secara digital pada masa di mana transformasi digital bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan.
Pengurus Operasi, Pengguna dan Kandungan TikTok Malaysia , Cheah Sheau Mei berkata, pihaknya gembira dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif #YoungCreators bersama MDEC dan teruja untuk melihat sejauh mana daya kreatif belia Malaysia dalam menghasilkan kandungan yang bermaklumat, mendidik dan menghiburkan agar dapat dinikmati oleh rakan sebaya dan rakyat Malaysia yang lain.
“Bagi kami, proses pembelajaran tidak berakhir di sekolah. Pembelajaran merupakan usaha sepanjang hayat dan menjadi lebih menyeronokkan dengan teknologi inovatif yang selamat, positif dan inklusif,”katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Binumi, Anthony Copping berkata, syarikatnya sangat teruja untuk bekerjasama dengan MDEC dalam inisiatif #YoungCreators. Generasi baharu penyampai cerita dalam ekonomi digital yang baharu untuk memanfaatkan kuasa video.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Internasional Markets, Snap Inc, Nana Murugeson berkata, kerjasama dengan MDEC akan memanfaatkan Snapchatters di Malaysia untuk meneroka dunia bidang AR dan seterusnya menikmati peluang berkomunikasi secara visual dengan rakan dan keluarga terdekat.
“Oleh kerana transformasi digital menjadi fokus utama, kami mahu para belia Malaysia diperkasakan untuk mencipta pengalaman AR mereka sendiri melalui aplikasi desktop Lens Studio Snap,” katanya.
Sempena dengan Hari Belia Antarabangsa baru-baru ini, MDEC telah bekerjasama dengan SnapChat dan Celcom untuk menyediakan akses yang lebih baik untuk belia Malaysia meneroka dunia digital dan menikmati gaya hidup digital yang menyeronokkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi pula berkata, kerjasama berterusan antara Celcom dan MDEC melalui pelbagai inisiatif membolehkan Celcom menghubungkan inovasi digital dan memacu penggunaan digital yang pantas meliputi seluruh lapisan masyarakat di Malaysia dan seterusnya meningkatkan ekosistem digital negara.
#YoungCreators diharapkan dapat mencapai khalayak seramai 1,200,000 orang sepanjang program selama seminggu dengan pelbagai peraduan menarik untuk belia.
Gerakan #SayaDigital adalah program nasional selama sebulan yang dianjurkan oleh MDEC untuk memupuk kesedaran, penerapan dan sokongan pendigitalan. Matlamat program adalah untuk terus menggalakkan rakyat Malaysia yang mahir dan menguasai perniagaan yang digerakkan oleh digital di Malaysia.
Malaysia merupakan pusat bagi industri kreatif digital yang sedang
pesat berkembang meliputi bidang animasi, filem, dan permainan
video. Industri ini telah terbukti menjadi pemacu pertumbuhan yang penting dalam ekonomi negara dan berpotensi untuk membentuk ekonomi digital negara yang sedang berkembang.
Pada 2018, industri ini mewujudkan 11,590 pekerjaan, menjana pendapatan sebanyak RM7.9 billion dan eksport sebanyak RM1.42 billion. Permainan animasi dan video yang dihasilkan di Malaysia seperti Upin dan Ipin, Re: Legend, King’s League II, BoBoiBoy dan Ejen Ali terkenal di peringkat antarabangsa dan membina kepercayaan global terhadap industri kandungan kreatif digital tempatan.
Jadual lengkap acara, senarai penceramah dan butiran tambahan acara #YoungCreators boleh didapati di www.mdec.my/youngcreators
###
Tentang TikTok
TikTok merupakan destinasi terkemuka bagi video mudah alih dalam bentuk pendek. Misi kami adalah untuk menggalakkan kreativiti dan membawa kegembiraan. Lokasi Pejabat Antarabangsa TikTok termasuklah di Los Angeles, New York, London, Paris, Berlin, Dubai, Mumbai, Singapura, Jakarta, Seoul, dan Tokyo. www.tiktok.com
Tentang Binumi
Binumi ialah platform perintis penghasilan dan pengurusan video yang memperkasakan individu dan organisasi yang paling berwawasan di dunia. Dibina untuk membolehkan sesiapa sahaja membuat dan berkongsi video dengan tujuan, Binumi adalah tempat paling mudah dan paling berkesan untuk memulakan dan berjaya dalam penceritaan video. Dengan 1,000 templat profesional, perpustakaan kandungan multimedia yang telah diluluskan hak dan alat penyuntingan yang mudah digunakan, Binumi mengubah cara dunia membuat, mengurus dan berkongsi video.
Tentang Snap Inc.
Snap Inc. ialah sebuah syarikat kamera. Kami percaya bahawa mencipta semula kamera merupakan peluang terbaik kami untuk meningkatkan cara individu menjalani kehidupan dan berkomunikasi. Kami menyumbang kepada kemajuan manusia dengan memperkasakan insan untuk mengekspresikan diri, menikmati kehidupan, belajar tentang dunia dan bergembira bersama-sama. Untuk maklumat lanjut, layari snap.com
Tentang Celcom Axiata Berhad
Celcom merupakan pengendali rangkaian mudah alih swasta yang pertama dan terbesar di Malaysia dengan hampir 13 juta pengguna menerusi rangkaian 2G, 3G dan 4G LTE+ yang meliputi lebih 98% kawasan berpenduduk. Ditubuhkan pada 1988, Celcom kini bergerak ke arah perkhidmatan multimedia berintegrasi berbilang akses dan penyelesaian Internet Benda (Internet of Things) sejajar dengan teknologi dan tingkah laku pengguna yang sentiasa berubah di Malaysia. Budaya yang mengutamakan pelanggan dapat dilihat pada khidmat pelanggan pemenang anugerah, produk dan pengiktirafan korporat lain di peringkat serantau. Celcom merupakan sebahagian daripada Syarikat Kumpulan Axiata, salah sebuah syarikat telekomunikasi
terbesar di dunia, merentasi 10 pasaran di Asia. Untuk maklumat lanjut tentang Celcom, sila layari www.celcom.com.my
Mengenai Malaysia Digital Economy Corporation
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) merupakan agensi di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang diamanahkan untuk menerajui pembangunan ekonomi digital negara. Ditubuhkan pada 1996, mandat MDEC termasuk memacu penerapan mengguna pakai teknologi digital di kalangan rakyat, pembangunan bakat yang mampu memenuhi kehendak industri, merangka dasar-dasar ekonomi digital serta mewujudkan juara dalam bidang ekonomi digital di peringkat global.
Untuk memastikan masa depan Malaysia menghadapi era digital terjamin, MDEC akan bersandarkan rekod prestasinya yang kukuh, kredibiliti di kalangan industri dan kepimpinan yang berpengalaman untuk mengaitkan, memangkinkan dan mengkomersialkan inisiatif- inisiatif digital yang bertujuan untuk menggiatkan kemajuan ekonomi digital yang sedang berkembang dengan pesat dan mampan serta menjadikan kepelbagaian dan keterangkuman sebagai terasnya.
MDEC juga akan terus memacu pertumbuhan ekonomi digital berimpak tinggi selaras dengan Wawasan Kemakmuran Negara 2030 dan mengukuhkan reputasi negara sebagai Nadi Digital ASEAN.
#LetsBuildTogether #DigitalMalaysiaForward