Ini berita mengejutkan yang Budiey terima. Penyanyi Mya Ruslee yang sebelum ini lebih dikenali dengan nama Maya Matahari, 44 tahun, diberitakan telah meninggal dunia pada petang tadi, iaitu kira-kira jam 4 petang, hari Rabu bersamaan 18 Mac 2020 di salah sebuah hospital di Sungai Buloh.
Berita sedih ini disahkan rakan baiknya iaitu Norzana Malek, penyanyi Syura dan juga Haiza apabila dihubungi oleh media.
“Mya telah meninggal dunia di salah satu hospital di Sungai Buloh, Selangor kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Mya memang ada kanser tahap empat tapi kami tak dapat kongsi info lanjut.
“Sekarang ini tunggu famili berkumpul dan tetapkan di mana jenazah akan dikebumikan,”
– Norzana Malek
Penyanyi dan penyampai radio, Haiza mengesahkan berita mengenai penyanyi, Mya Ruslee atau Maya Matahari yang disahkan meninggal dunia hari ini akibat kanser.
Haiza ketika dihubung berkata, dia masih menunggu maklumat terkini mengenai jenazah arwah.
“Saya dapat panggilan daripada Kak Ieda (Moin) yang memaklumkan mengenai berita ini.
Setakat ini, saya dimaklumkan jenazah arwah berada di Sungai Buloh, namun belum tahu di mana lokasinya secara spesifik,”
– Haiza
Menurut Haiza, dia tahu bahawa rakannya itu menghidapi kanser dan menjalani rawatan di China.
“Dia tak banyak berkongsi mengenai penyakitnya.
Yang saya tahu, dia menghidap kanser sejak dia menyertai Gegar Vaganza musim kelima lagi pada 2018 dan baru saja pulang dari China selepas menjalani rawatan di sana.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah ketika dia dimasukkan ke Hospital Pantai Kuala Lumpur di Bangsar pada penghujung tahun lalu dan sejak itu, selalu berhubung menerusi telefon,”
– Haiza
Sementara itu, penyanyi Syura Badron turut mengesahkan berita pemergian Mya Ruslee atau nama sebenarnya atau nama sebenar Myanaliza Ruslee.
Malah penyanyi Azharina turut menyatakan berita yang sama di laman Facebook. Beberapa orang selebriti telah menyiarkan gambar dan ucapan salam takziah buat Allahyarham.
Mya atau nama sebenarnya Myanaliza Ruslee popular menerusi beberapa lagu antaranya Matahari dan Diari Biru sekitar 1990-an dan kembali membuat kemunculan semula selepas menyertai program Gegar Vaganza.
Mya pernah mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz pada 26 Jun 2009, namun bercerai pada 17 Ogos 2015.
Dia menyertai Gegar Vaganza musim kelima pada tahun 2018.
Pada Februari 2019, Mya mengorak langkah dalam karier seninya apabila bergelar penyampai radio stesen radio Best FM di Johor Bahru.
Penyanyi lagu Matahari yang berasal dari Johor ini menerima tawaran itu kerana ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya selain memang meminati bidang penyiaran.
Difahamkan Mya sering berulang alik ke China untuk mendapatkan rawatan kanser di sebuah hospital di negara itu.
Keadaannya dikatakan agak serius kerana kanser berkenaan dikatakan merebak ke banyak anggota dalaman menyebabkan dia terlantar.
Dia juga mendapatkan rawatan jururawat peribadi yang datang merawatnya di rumah.
Sumber: Harian Metro