in ,

MAYA KARIN AKHIRNYA DISATUKAN

SEDERHANA ITU PESONA

Sederhana, santai, sempoi, meriah, penuh pesona… mahu kata apa lagi? Itulah stail Maya Karin. Kena benar dengan konsep yang mahu diterapkan oleh aktres jelita Maya Karin dalam majlis persandingannya dengan suami tercinta, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Mohammad Ali yang berlangsung pada 29 Ogos 2008 lalu. Ungkapan ‘less is more’ jadi moto utama yang relevan, katanya.

Ceria di wajah pelakon bermata galak ini tidak pernah surut setelah selamat diijabkabulkan di Villa Corte de Lago, Bellagio, Itali pada 14 Ogos lalu dengan disaksikan oleh 60 orang sanak saudara terdekat. Beberapa hari selepas bernikah, pasangan romantis ini sempat berbulan madu selama dua hari di Venice.

Memilih lelaki biasa dan guru matematik, pelakon filem yang baru dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi karakternya dalam filem Anak Halal ini tampak secocok. Memang sama cantik, sama padan. Majlis tampak elegan dengan suntikan warna tema hitam dan putih. Oh itukah satu simbolik cinta dua benua?

Kalau dilihat dari segi kesederhanaan… dari persalinan hinggalah ke lokasi majlis berkonsepkan alam sekitar dalam taman itu, tidak keterlaluan ramai yang kata, sesuailah dengan status yang diusungnya ke sana ke mari sebagai pencinta alam sekitar. Bayangkan, hanya sepasang baju kebaya berwarna putih rekaan Radzuan Radzwill menjadi pilihan. Kata Maya, “Bukankah sederhana itu satu elemen yang mempesonakan?”

Berlangsung jauh dari hirup piruk kota Kuala Lumpur, nun di padang bola Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong. Sekali kaki melangkah masuk ke khemah sepanjang 200 meter itu, penulis merasakan ada keseronokan dibuai angin malam. Dengan lambaian pepohon menghijau digabung dengan alunan muzik kontemporari berlegar disekitarnya, malam itu menyaksikan perkahwinan artis paling sempoi pernah diadakan.

Untuk menjejak kaki di khemah, tetamu perlu melalui karpet hitam sejauh 100 meter yang disuluh oleh cahaya pelita di kiri kanan jalan.

Jam 9 malam, debaran tetamu yang terdiri daripada sanak saudara dan teman rapat kedua-dua mempelai berhenti setelah kedua mempelai tiba. Majlis yang disaksikan oleh 600 tetamu termasuklah famili Maya dari Indonesia itu berlangsung dengan makan beradab dan memotong kek sahaja.

Kata lagi Maya, “Tidak perlu majlis besar, asalkan tetamu semua selesa, itu dah cukup buat Maya.”

KRONOLOGI CINTA MAYA
Cinta pertama Maya? Oh! Pelakon Wanita Terbaik Festival Asia Pasifik ke-49 di Fukuoka, Jepun ini sebenarnya pernah bercinta dengan rakan seperjuangannya ketika di kolej. Namun, hanya separuh jalan. Akibat tidak serasi, masing-masing mahu membawa haluan sendiri.

Bukan senang jadi pelakon popular yang jelita seperti Maya Karin, kerana dia pernah digossipkan kononnya ada hubungan sulit dengan VIP. Bukan itu sahaja, paling melucukan Maya pernah dikatakan berkahwin secara rahsia dengan seorang ahli politik ternama di Pulau Pinang dan Singapura. Namun, perkahwinan ini telah menepis segala gossip nakal dan celaan orang.

Antara gossip hangat termasuklah gossip Maya dikatakan bercinta dengan penyanyi utama kumpulan Sheila On 7, Duta. Namun, ramai yang tidak mengetahui, sebenarnya pada masa gossip itu hangat diperkatakan, Maya Karin sudah akrab dengan Mohammad Ali.

Steven yang kini berusia 38 tahun sanggup menunggu jawaban cinta dari Maya selama 7 tahun. Ternyata, penantian itu cukup berbaloi.

MAYA SELEPAS BERGELAR ISTERI

Merancang atau mahu anak sedozen?

Ujar Maya, cukuplah hanya dua orang anak. Itu pun kalau ada rezeki. Biarpun dua orang, itu kan satu sumbangan kepada populasi negara?

Berbulan madu? Maya senyum puas tatkala soalan diajukan. Katanya, cukuplah dengan majlis pernikahan di Itali tempohari. Tak perlu honeymoon kali kedua. Itu pun dah jadi momen yang paling indah dalam hidup. Yang penting, kami ‘happy’ dan bahagia.

Fasa baru dalam episod hidup Maya yang menjadi isteri di usia 29 tahun akan dilalui dengan tenang. Doakan kebahagian Maya agar hubungan ini berkekalan hingga ke anak cucu. Yang penting, laluan ini ditempuhi dengan keserasian. Terutama dari segi masa. Faham memahami dan bertolak ansur, Insyallah semuanya selamat.

Cukup memahami karier Maya sebagai pelakon, Muhammad Ali tidak akan menghalangnya untuk terus bergiat dalam dunia seni kerana itu kerjayanya.

MANJA tak lupa menghulurkan salam… Selamat pengantin baru, Maya!

6 FAKTA MENARIK DI MAJLIS RESEPSI MAYA KARIN
1. Setiap tetamu dihadiahkan sebuah mentol yang ditaja syarikat Osram sebagai doorgift. Ia merupakan mentol penjimat tenaga dan ini sinonim dengan Maya Karin yang merupakan pencinta alam sekitar dan giat menjalankan aktiviti-aktiviti memulihara alam sekitar.
2. Maya mengenakan sepasang kebaya moden berona putih bertatah manik-manik rekaan Radzwan Radziwill. Mohammad Ali pula segak dengan baju melayu hitam, siap bersongkok dan kerongsang.
3. Maaf! Majlis ini tidak diserikan dengan acara merenjis tetapi mereka hanya makan beradab dan memotong kek sahaja.
4. Apa-apa pun, tetamu yang hadir disajikan dengan juadah tradisional. Maya tanggung sendiri ya. Bukan sponsor!
5. Tiada paluan kompang atau lagu Selamat Pengantin Baru yang kedengaran, tetapi pasangan tersebut tampil berjalan dalam suasana romantis sambil diiringi dengan muzik iringan yang dimainkan oleh pemuzik jemputan.
6. Tidak ramai rakan artis yang datang. Cuma kelihatan Jeslina, Kavita Kaur, Shuhaimi Baba dan Farid Kamil.

MAYA JATUH CINTA DENGAN MOHAMMAD ALI KERANA…
1. Cool
2. Pandai menyesuaikan diri
3. Memahami diri Maya

MOHAMMAD ALI JATUH CINTA DENGAN MAYA KERANA…
1. Sopan
2. Senang didekati
3. Ceria

– Majalah Manja

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Anita Baharom di Anugerah Skrin 2008

Siapa Kata IZ OIAM Sombong dan Berlagak?