Selangor sebagai Destinasi Pilihan Malaysia: Pavilion Selangor di Pameran MATTA Mendapat Sambutan Hangat
Tourism Selangor sekali lagi berjaya menyertai Pameran MATTA 2023 sejurus pengumuman Selangor sebagai Destinasi Pilihan Malaysia. Dengan 5 Pavilion tersedia dan 21 pengendali produk pelancongan di Selangor telah mengambil bahagian, Pavilion Selangor telah berjaya mencapai kutipan jualan melebihi RM 1.03 Juta dengan lebih 80,000 pengunjung mengunjungi Pavilion Selangor.
Dilancarkan oleh Y.Bhg. Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, penyertaan Tourism Selangor dalam Pameran MATTA pada tahun ini telah mengumpulkan pengunjung dari agensi pelancongan, Persatuan Hotel Malaysia, Syarikat Penerbangan, dan orang ramai di Pavilion Selangor dengan menekankan Selangor sebagai destinasi pelancongan yang ideal bagi sektor domestik melalui kempen “Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu!”.
Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, dalam satu kenyataan berkata Tourism Selangor telah membawa impak yang besar di Pameran MATTA 2023 kali ini dengan GL Play sebagai rakan strategik kami. Penyertaan kami pada kali ini telah mencatatkan jumlah jualan tertinggi sepanjang penyertaan kami dalam Pameran MATTA selama 12 tahun berturut.
Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Profesor Amran Hamzah, Pengarah Perancangan Pelancongan dari Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif (CIPD) Universiti Teknologi Malaysia, pakej pelancongan dan Pavilion Selangor dilaporkan cemerlang sepanjang 3 hari.
Ini disumbangkan lagi dengan penganjuran Fiesta Pusing Selangor Dulu, yang diadakan selama 2 hari berturut-turut dari 2 hingga 3 September 2023 semasa Pameran MATTA. Fiesta Dulu Pusing Selangor telah mengumpulkan pemain industri pelancongan di Selangor, selebriti dan individu berpengaruh melalui pemberian baucar pelancongan dan Sesi Ramah Mesra bersama Che Puan Juliana Evans, Duta Kempen Pusing Selangor Dulu dan Bonda Rozita Ibrahim Pengasas Jamu Ratu Malaya dan Rumah Hutan Terapi Alam, salah satu tarikan terbaru di Batang Kali, Selangor.
Menurut Nigel Wong, Presiden MATTA, tahun ini Pameran MATTA telah memperkenalkan inisiatif segmentasi yang baru di dewan domestik. Dengan penglibatan negeri, pengusaha hotel dan beberapa kategori zon bebas, Pameran ini telah mempamerkan beberapa strategi bagi merangsang pertumbuhan pelancongan domestik tempatan. Ini bukan sahaja menyerlahkan kepelbagaian tarikan pelancongan domestik tetapi juga menekankan komitmen kami dalam memupuk dan mempromosikan lagi pelancongan tempatan.