Album yang membuatkan empat buah lagu, sebuah syair dan sebuah deklamasi sajak ini telah menemui peminat industri lagu dan perpuisian sejak pertengahan 2019. Dimulakan dengan single pertama yang mengambil judul album ini iaitu Hasrat Sang Enggang, disusuli dengan Rindu Membius Separuh Logikaku dan terbaharu muncul dengan single ketiga dari album yang sama Demi Kesilapan Tenunganku, Maafkanlah.
Masih setia mengekalkan genre puisi-puisi yang dilagukan namun bebeza dengan album sebelum ini, Hasrat Sang Enggang menampilkan lirik-lirik puisi yang bernuansa kehidupan dan beburung terutama tiga dari judul lagu dalam album ini menampilkan tiga jenis burung sebagai judul lagu iaitu Cenderawasih, Syair Burung Punggok selain Hasrat Sang Enggang sendiri.
Uniknya juga menerusi album ini, Uzair tampil dengan muzik yang lebih bertaraf antarabangsa dengan menggunakan orkestra runut bunyi ala filem Hollywood untuk lagu Rindu Membius Separuh Logikaku dan nuansa Nusantara untuk Cenderawasih dan diimbangi dengan nada-nada akustik dan santai menerusi Demi Kesilapan Tenunganku, Maafkanlah serta Hasrat Sang Enggang yang boleh didengari secara terus di semua platform digital.
Pada tahun 2020 juga, Uzair bakal meneruskan Gagasan Puitika yang diusahakan sejak 2017 dalam usaha memperkasakan sastera dan puisi melalui muzik dan persembahan. Uzair bersama Sasterawan Negara, deklamator kebangsaan dan seniman nasional bakal menjelajah ke pelbagai lokasi seluruh negara termasuklah Puitika Putra: Sebuah Muzikalisasi Puisi di Universiti Putra Malaysia pada 15 Februari disusuli dengan Konsert Puitika Johor di Auditorium Jabatan Imigresen Negeri Johor pada 29 Februari dan Dondang Puitika Melaka di Kompleks Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Melaka pada bulan Mac.
Sebuah konsert puisi terbesar turut sedang diusahakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru yang bakal menampilkan Penyair Muda ASEAN 2015 ini bersama seorang diva pop dan sasterawan negara terkemuka pada Oktober 2020 sebagai misi memperkasakan muzik puisi dan seni kesusasteraan dalam negara buat masyarakat Malaysia sempena Tahun Melawat Johor 2020 dan Tahun Melawat Malaysia 2020.