Eksplorasi pelbagai destinasi indah dan aktiviti menyeronokkan bersama ‘Mat Saleh’ yang fasih loghat Terengganu dalam program bercorak diari kembara
Menarik bulan November ini, pihak Astro Prima dengan berbesar hati membawakan program Mat Dan Kaki Jalan yang berkonsepkan diari kembara ke pelbagai destinasi indah di seluruh Malaysia sambil menyelami adat dan budaya tempatan menerusi aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan. Program ini bakal ditayangkan pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135) bermula 24 November 2016.
Program 13 episod ini juga turut menampilkan Mat Dan atau nama sebenarnya Daniel Tyler atau Kareef Daniel Abdullah sebagai pengacara. Selama 30 minit, Mat Dan yang pernah menjadi sebutan netizen di laman sosial kerana fasih bertutur dalam loghat Terengganu akan membawa penonton mengembara ke 13 buah destinasi menarik di negeri-negeri seluruh Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Pahang, Kelantan, Sarawak, Sabah, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, “Terletak di Garisan Khatulistiwa, Malaysia bertuah kerana kaya dengan anugerah alam yang mempunyai panorama indah untuk diteroka. Tarikan-tarikan ini memberikan kelebihan kepada industri pelancongan tempatan yang mampu berkembang maju sekaligus memberi pulangan yang baik kepada negara jika mendapat promosi yang sewajarnya.
Sebagai sebuah saluran keluarga yang menghiburkan, Astro Prima turut berasa terpanggil untuk mempromosikan destinasi-destinasi indah yang menonjolkan keindahan alam semula jadi serta aktiviti-aktiviti menyeronokkan yang boleh dinikmati di negara ini dalam bentuk program televisyen,†ujar Raqim.
Raqim turut menambah, â€Sehubungan dengan itu, kami dengan berbesar hati membawakan program Mat Dan Kaki Jalan khas untuk tontonan semua penonton sasaran kami. 13 destinasi indah seluruh Malaysia telah kami terokai untuk dikongsi bersama para penonton. Saksikan keunikan setiap destinasi yang mana setiap satunya mempunyai keindahan berbeza yang mempersonakan.
Kami berharap dengan adanya program-program berkonsepkan diari kembara seumpama ini dapat membuka mata dan mendedahkan orang ramai tentang keindahan destinasi pelancongan tempatan yang mungkin tidak diketahui sebelum ini.
Pemilihan Mat Dan sebagai pengacara juga dilihat amat bersesuaian berdasarkan kepada karektornya yang lincah dan bersahaja menepati konsep program ini. Mungkin ada yang sudah mengenali jejaka ini kerana videonya pernah menjadi viral di internet satu ketika dahulu. Mengambil kira kesemua ini sebagai pakej lengkap, kami percaya beliau mampu mengemudikan program ini dengan sentuhan dan gayanya yang tersendiri sekaligus memikat hati para penonton untuk terus melekat di kaca televisyen,†ujar Raqim ringkas.
Program Mat Dan Kaki Jalan ini merakamkan kisah kembara dan pengalaman seorang lelaki Inggeris bernama Mat Dan yang berasal dari Cheltenham England ke seluruh Malaysia untuk mengenali dengan lebih mendalam keunikkan adat resam dan budaya masyarakat tempatan. Selain mengunjungi tempat-tempat menarik, Mat Dan juga akan mengajak para penonton untuk mempelajari pelbagai kemahiran unik yang menjadi kebanggaan tradisi warisan tempatan di samping mencuba juadah-juadah enak yang melazatkan menerusi program ini.
Antara tempat-tempat menarik yang bakal dikunjungi adalah seperti Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah & Tasik Kenyir (Terengganu), Taman Negara (Pahang), Semporna, Pulau Bohey Dulang & Pulau Maiga (Sabah), Kuala Kangsar, Slim River, Ipoh & Taiping (Perak), Langkawi (Kedah) serta banyak lagi.
Manakala aktiviti-aktiviti yang bakal ditampilkan termasuklah mengunjungi perkampungan nelayan untuk mempelajari teknik ’Jong Selam’ iaitu sebuah kemahiran mendengar bisikan ikan, melawat kawasan peninggalan sejarah, mendekati masyarakat suku kaum bidayuh di rumah panjang, mempelajari teknik memburu haiwan di dalam hutan dan ikan di laut serta teknik tuaian rumpai laut, menjelajah alam semula jadi, melihat hasil kerja tangan dalam pembuatan alat muzik tradisional serta kesenian wayang kulit serta banyak lagi.
Untuk mengetahui aktiviti selanjutnya di kesemua destinasi kembara, jangan lupa saksikan program terbaru Mat Dan Kaki Jalan pada setiap hari Khamis, jam 9.30 malam hanya di saluran Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135). Semoga terhibur!