Pengacara, pelawak, pelakon, penyampai radio, penerbit serta pemenang Pengacara Hiburan terbaik di Asian Academy Creative Awards, Nabil Ahmad terus melangkah ke hadapan dengan mempertaruhkan bakatnya menerusi skrin yang lebih besar dengan menghasilkan konten segar dan mengarah filem pertamanya, Mat Bond Malaya.
Tambah menarik, idea asal dan skrip juga merupakan hasil garapan oleh Nabil Ahmad sendiri. Jadi, unsur jenaka dan jalan cerita yang dipersembahkan pasti tidak mengecewakan penonton. Bukan itu sahaja, selain mengangkat elemen komedi sebagai nadi utama, filem ini turut menyelitkan genre kegemaran masyarakat Malaysia iaitu aksi. Filem ini bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula pada Hari Raya Aidiladha ini iaitu 20 Julai 2021.
Selain itu, antara daya tarikan utama filem terbitan KMN Production ini adalah para pelakon yang membintanginya. Mat Bond Malaya menyaksikan lakonan oleh juara Gegar Vaganza (GV6) Naqiu dan bergandingan bersama penyanyi dan juga pelakon berbakat besar, Elizabeth Tan serta pelawak Farid Azmeir, Azri Iskandar, Riezman Khuzaimi, Amyza Adnan, Reza Hasbi, Azrin dan Aloy.
Lebih istimewa, penonton dapat menyaksikan barisan selebriti popular tanah air yang akan muncul sebagai ejan seperti Datuk Yusof Haslam, Dato’ Sri Aliff Syukri, Datuk Ramli, Syafiq Kyle, Ning Baizura, Han Byul, Didie Alias, Mamak Puteh, Achey Bocey, Taukeh dan penampilan istimewa oleh pengarah terkenal tanah air seperti Ghaz Abu Bakar, Aziz M. Osman Michael Ang dan Mamat Khalid.
Corak lakonan serta gandingan serasi yang meyakinkan oleh Naqiu dan Elizabeth Tan menerusi watak Mat dan Bondi mampu membuka mata peminat filem tempatan mengenai bakat lakonan mereka. Naqiu membuktikan kemampuannya dengan menonjolkan unsur komedi dengan baik dan Elizabeth Tan menyerlah dengan babak aksi. Sepanjang 1 jam 32 minit, terdapat juga babak- babak yang menggunakan teknik CGI yang nampak realistik.
Mat Bond Malaya mengisahkan tentang Mat yang ingin menjadi seorang ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, dia berjaya bekerja di M6, tetapi sebagai ‘office boy’. Pada masa yang sama, dia mula menyukai salah seorang ejen jelita bernama Bondi. Mat telah dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi. Namun Mat tidak berjaya dan disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi kepada G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.
Satu hari dunia telah digemparkan dengan serangan virus zombie yang disebarkan oleh Dr Ebel. Ramai yang terkena virus tersebut termasuklah ejen-ejen di M6 dan Bondi. Mat tiada pilihan melainkan dan perlu mencari penawar bagi menyelamatkan semua orang sebelum virus tersebut merebak ke seluruh dunia.
Penerbit Eksekutif Filem Mat Bond Malaya, Dato’ Khairil Muzamil Bin Abd Rahman menyatakan pihaknya rasa amat teruja filem ini bakal dipersembahkan kepada penonton Malaysia. “Filem Mat Bond Malaya adalah hasil idea asal oleh Nabil Ahmad. Dengan pengalaman beliau lebih satu dekad di dalam industri, kami percaya beliau sudah bersedia mempersembahkan idea dan kreativitinya ke pentas yang lebih besar. Sementara itu, bagi pemilihan pelakon utama Naqiu dan Elizabeth Tan, kami merasakan kedua-dua mereka sesuai dengan karakter dan mampu menggerakkannya dengan baik. Tambahan pula, gandingan ini tidak pernah lagi ditonjolkan di mana-mana sebelum ini. Kami harap, filem ini mampu memberi kepuasan kepada penonton serta bakat-bakat hebat yang menjayakan filem Mat Bond Malaya dapat merancakkan lagi industri filem tempatan.”
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kali ini menyaksikan platform Astro First sekali lagi mengetengahkan bakat kreatif yang mempertaruhkan filem pertama arahannya iaitu Nabil Ahmad. Seperti yang umum tahu, kredibiliti beliau dalam pengacaraan dan pelawak memang tidak perlu disangkal lagi dan kehadiran filem Mat Bond Malaya menyaksikan satu lagi anjakan paradigma buat karier Nabil Ahmad. Ini juga membuktikan bahawa Astro Shaw sentiasa menyokong dan mengangkat pengarah-pengarah baru dalam mempersembahkan karya mereka. Kami harap filem yang akan ditayangkan bermula pada Hari Raya Haji ini, mampu mengisi masa penonton dengan hiburan, jenaka dan jalan cerita yang segar, lebih-lebih lagi istimewa buat mereka yang merindui komedi bersahaja daripada Nabil Ahmad. ”
Saksikan filem Mat Bond Malaya yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 20 Julai 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang- ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.