Sedekad menabung sejak mula menyanyi pada usia sembilan tahun, penyanyi Masya Masyitah, 20, membeli kondominium berharga RM300,000 hasil titik peluhnya dalam dunia seni. Memiliki kediaman itu sejak setahun lalu, Masya yang menjuarai musim kedua program realiti, Ceria Popstar, menjadikan tabiat mengenepikan sebahagian daripada wang kemenangan sebagai tabungan untuk memiliki aset.
“Sejak usia sembilan tahun saya sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian. Setiap kali memenangi wang kemenangan, saya ketepikan untuk simpanan.
“Namun, bukanlah saya tidak berbelanja langsung. Berkat mengumpul sikit demi sikit, saya berjaya memiliki rumah.
“Jadi, saya tidak perlu lagi bersusah payah berulang alik ke Kulim setiap kali perlu memenuhi undangan nyanyian di ibu negara,”
– Masya Masyitah
Bercerita mengenai aset yang dibelinya itu, Masya berkata, dia membayar kediaman itu secara tunai atas nasihat keluarga.
“Lagipun saya kurang gemar berhutang bagi mengelak terpaksa membayar faedah. Sebagai penyanyi, saya tidak ada slip gaji. Jadi, lebih senang membeli rumah secara tunai,”
– Masya Masyitah
Marsya yang menghadiri sidang media kempen ‘Malaysiaku, Kita Selamat Bersama’ sempena Hari Kebangsaan Negara Ke-63, kelmarin, berkongsi video kediaman miliknya menerusi saluran YouTube, baru-baru ini.
Menyangkal dakwaan mahu menunjuk-nunjuk, Masya menjelaskan, niatnya berkongsi video itu sekadar memberi inspirasi.
“Saya hanya berkongsi sekali sahaja rakaman video memaparkan kediaman saya. Tidak terlintas langsung hendak menunjuk-nunjuk.
“Niat saya hanya untuk memberi inspirasi kepada golongan muda bahawa kita juga mampu memiliki rumah sendiri. Bukan mereka yang sudah berusia saja mampu berbuat demikian.
“Wang membeli kediaman itu juga daripada titik peluh saya menyanyi, bukan daripada jualan kek dan kuih-muih yang diusahakan sekarang,”
– Masya Masyitah
Biarpun namanya tenggelam timbul, namun, Masya bersyukur berjaya mengumpul aset sendiri.
Selain mempunyai mahligai sendiri, Masya turut memiliki sebuah kereta. Namun, kenderaan itu dibayar secara ansuran atas saranan ibu.
“Pada mulanya, saya bercadang membeli kereta secara tunai. Namun, ibu sarankan saya membayar secara ansuran. Ini kerana mungkin pada masa depan, saya berhasrat menukar kereta lain. Jadi, tidaklah membebankan saya.
“Biar apa pun, saya bersyukur, berkat menyanyi dari kecil, saya berjaya memiliki aset sendiri. Walaupun tidak mewah, namun, cukuplah untuk keselesaan saya,”
– Masya Masyitah