Buat kumpulan yang dianggotai Alan D, Mingaling, IYB Midnight, AxelJonas, dan Yutaka itu, penting buat mereka mencetus sinar harapan buat masyarakat di luar sana agar kekal tabah menjalani kehidupan. Terutama golongan yang terpaksa bersendirian tanpa ada sesiapa di sisi untuk saling menyokong.
Bagaimanapun, Mass Music percaya, sokongan sedemikian tidak semestinya harus disalurkan secara bersemuka semata-mata. Terutama buat insan yang sentiasa tersemat rapi dalam hati, ‘Di Sini’ ibarat luahan tepat untuk menzahirkan betapa dekatnya mereka tanpa perlu bertentang mata.
“Lagu ini ditujukan kepada insan penting yang kita simpan rapi dalam hati dan penting dalam hidup kita. Boleh jadi ibu bapa, adik-beradik, kekasih, suami isteri, dan lain-lain. Meskipun berdepan dengan dugaan hidup pada situasi sekarang, namun mereka sentiasa ada di hati, menyokong kita. Meskipun mereka bukan berada depan mata, kita masih mengambil berat terhadap mereka sebaiknya.
“Paling kami suka mengenai lagu ini adalah rentak serta korusnya. Rentaknya dibuat oleh Mingaling yang tidak dinafikan sentiasa cemerlang tampil dengan rentak terbaik. Menariknya, dia berjaya memberi suatu perasaan penuh harapan kepada lagu yang sedih dan syahdu ini. Korusnya mengatakan “aku ada di sini, jangan bimbang”,” kata mereka.
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menjadi titik mula tercetusnya idea ini. Kongsi Mass Music, mereka tidak terlepas berdepan cabaran sewaktu proses pembikinan ‘Di Sini’ namun menariknya, situasi dialami benar-benar membantu. Daripada pengalaman sendiri juga, mereka berjaya salurkan emosi itu dengan lebih berkesan dalam lagu ini.
“Lagu ini dibuat sewaktu PKP pertama dan disebabkan terkurung, susah buat kami untuk berjumpa sekali di studio. Proses memerah otak dan segala aspek lain dibuat sepenuhnya dari rumah. Paling mencabar semestinya keseragaman waktu di mana setiap kami terikat dengan komitmen masing-masing termasuk hal keluarga namun ia sangat membantu daripada aspek emosi.
“Kami mendedikasikan lagu ini buat semua orang yang terpaksa berjauhan daripada keluarga, dikuarantin, dan menjalani rawatan Covid-19 sendirian. Kesimpulannya, semua yang berdepan masa sukar. Ia umpama sebuah peringatan buat semua bahawa segalanya akan kembali pulih semula seiring dengan masa,” katanya.
Mass Music mula ditubuhkan dan bergerak sejak 2016. Memperjuangkan muzik hip-hop era baharu, misi penting kumpulan ini tidak lain untuk membawa angin muzik segar dan terkini dalam industri muzik tempatan. Rangkaian karya mereka juga sentiasa pelbagai dan tersendiri baik lagu bertema ringan hingga gelap.
Selain itu, mereka sentiasa memastikan agar tidak putus asa berjuang untuk memukau pendengar. Dua lagu mereka pernah mendapat tangga pertama dalam program Hitz Met 10 pada 2012, lagu IMSO menjadi sohor kini di YouTube pada 2019 serta karya mereka menerima lebih 400,000 penstriman di Spotify.
Diskografi mereka termasuk Practice Flex Mixtape pada 2016, MassMusic Vol.1 (2018), NOIR, Sevilla, dan IMSO (2019), ULANG, LAUT (2020), dan LUKA HATI (2021). Pernah membuat persembahan di acara besar termasuk Good Vibes 2018, Jameson Block Party 2019, YOLO Malaysia 2020, dan banyak lagi.
‘Di Sini’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.