MENANGI ‘WANG BESAR’ DENGAN MENYERTAI…
RODA IMPIAN!
Pada 29 Januari lalu telah berlangsung Pelancaran Roda Impian TV3 di Filem Negara Malaysia di Petaling Jaya pada jam 11.30 pagi. Media yang hadir turut diundang untuk memutar roda dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM2,000. Budiey kira program ini akan dinantikan oleh jutaan peminat program ini yang dulunya disiarkan di Astro dan kini boleh ditonton di TV3 dengan hos yang lebih segar dan mantap.
Program Roda Impian yang diadaptasi dari game show popular, Wheel Of Fortune sekali lagi melayari kaca televisyen setelah sekian lama menyepi! Program yang mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records sebagai gameshow paling lama bertahan di Malaysia ini akan mula menceriakan penonton setia TV3 mulai 16 Februari, setiap Isnin hingga Rabu, jam 5.30 petang. Gandingan pengacara baru, Maskiran Jakiran (Kieran) dan Nor Fouziah Mohd Gous (Fouziah Gous) pastinya memberikan suntikan segar program yang diminati oleh semua kelompok ini.
Gandingan mantap
Fouziah Gous manis dan sentiasa fresh
Petah dan bakat penyampai Hot FM ini memang tersendiri
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Nordin “TV3 menyajikan drama dan filem bermutu, kartun menarik untuk adik cilik, program ilmiah, bual bicara dan program hiburan yang menjadi nadi kepada steseyen televisyen ini. Oleh itu, dengan adanya rancangan gameshow seperti Ewah-Ewah di waktu pagi dan Roda Impian di sebelah petang akan memperlengkapkan lagi konsep saluran TV3 yang mensasarkan kepada mass market. Di samping itu, usaha TV3 menerbitkan program berbentuk gameshow ialah untuk mengulangi zaman kegemilangan Pop Kuiz dan Sempurnakan Harimu yang berjaya menambat hati sebilangan besar penonton.
Konsep Roda Impian mudah untuk difahami memandangkan ianya pernah disiarkan sewaktu dulu dan merupakan gameshow yang popular ditayangkan di seluruh dunia mengikut versi negara masing-masing. Melalui program ini juga penonton bukan sahaja dapat berhibur melihat telatah perserta malah dapat menguji kecerdasan minda. Para penonton pastinya tidak sabar melihat gabungan pengacaranya, Kieran dan Fouziah Gous yang digandingkan bersama buat pertama kalinya mengendalikan Roda Impian 65 episod ini. Apatah lagi dengan bakat dan penyampaian mereka yang bersahaja tentu dapat menghidupkan Roda Impian musim baru.”
Roda Impian telahpun menjalani rakaman bermula pada 10 Januari yang lalu. Setiap minggu, tema yang berlainan akan ditampilkan seperti selebriti, penyampai radio, personaliti TV3, Hari Ibu, Hari Ibu dan Anak, Penyanyi, Hari Bapa, Hari Bapa dan Anak, Selebriti Kanak-Kanak dan Ulang Tahun TV3 yang ke–25. Peminat setia artis tempatan dan melihat aksi selebriti kesayangan mereka menjadi peserta Roda Impian seperti Lydia Ibtisam, Kartina Aziz, Shamsul Ghau Ghau, Naz, Azhar Sulaiman, Zizan Nin, Maria Tunku Sabri, Farah Wahida, Awal Ashaari, Zed Zaidi dan ramai lagi.
Setiap episod, 3 peserta akan bertanding untuk menyelesaikan teka kata dan memenangi pelbagai hadiah menarik dan wang tunai yang tertera di roda. Pusingan pertama, jika seorang peserta dapat menyelesaikan teka kata akan memenangi jumlah wang yang berjaya dikumpul, manakala wang yang terkumpul oleh kedua peserta yang lain akan terhapus. Begitulah seterusnya sehingga pusingan yang ketiga. Setelah pusingan ketiga berakhir peserta yang berjaya mengumpul wang tertinggi akan diumumkan sebagai pemenang dan melayakkan diri ke pusingan bonus untuk memenagi hadiah menarik yang ditawarkan untuk minggu tersebut.
Episod akhir Roda Impian akan menemukan tiga peserta yang paling berjaya mendapatkan jumlah wang tertinggi sepanjang Roda Impian bersiaran.Peserta yang berjaya menjuarai pusingan akhir ini bakal membawa pulang hadiah utama bernilai hampir RM100,000, kereta Suzuki Swift Sport 1.6 Auto. Roda Impian musim baru ini diterbitkan oleh produksi Juita Viden.
Uji ketangkasan minda anda dan berhibur dengan menonton Roda Impian setiap hari Isnin- Rabu, jam 5.30 petang, di TV3!
Antara media yang mengambil bahagian.