Masjid juga turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah melakukan solat seperti musafir, pemandu dan rider e-hailing. Manakala, cadangan sistem penggiliran solat berjemaah dan solat Jumaat juga akan dilakukan bagi memberi peluang kepada anak-anak kariah lain untuk hadir.
Selain itu, muslimah juga dibenarkan untuk ke masjid dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram.
Sultan Selangor Berkenan Masjid Dan Surau Dibuka Secara Berperingkat
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan supaya masjid dan surau di Selangor dibuka secara berperingkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu diambil selepas baginda mempertimbangkan segala maklumat dan nasihat yang disembahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri berkaitan dengan kedudukan serta data terkini kes wabak Covid-19.
“Demi menghidupkan pusat penyatuan umat Islam di negeri ini, baginda berkenan supaya masjid dan surau di Selangor dibuka secara berperingkat.
“Sultan Selangor juga sudah mendapat pandangan dan nasihat daripada Mufti Selangor bersama Timbalan Mufti, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan dengan tarikh dan kewajaran pelaksanaan solat Jumaat serta solat fardu berjemaah di masjid dan surau di Selangor sepanjang tempoh PKPP ini,” katanya.
Beliau berkata, Sultan Sharafuddin bersetuju dan berkenan bahawa pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah hendaklah dilaksanakan berkuatkuasa pada hari Jumaat ini iaitu pada 12 Jun.
Jelasnya, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat ditambah daripada 12 orang kepada 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid di 39 masjid-masjid yang sudah ditetapkan sebelum ini. Kad akan diedarkan kepada 40 orang untuk hadir pada Solat Jumaat itu.
“Bagi yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zuhur dan dilakukan di tempat masing-masing.
“Solat berjemaah dibenarkan bagi solat fardu Subuh, Maghrib dan Isyak saja di 39 masjid-masjid sama, dengan jumlah kehadiran 40 orang tidak termasuk Pegawai dan Ahli Jawatankuasa masjid.
“Semua surau termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan tiga orang Pegawai Surau seperti yang ditetapkan terdahulu,” katanya.
Mohamad Munir berkata, penggunaan masjid pada solat Jumaat dan solat fardu berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang sudah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, pihak JAIS turut menyediakan dan akan menguatkuasakan Garis Panduan lengkap berkiatan tatacara pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah untuk dipatuhi oleh semua jemaah yang hadir ke masjid.
“Pegawai dan ahli jawatankuasa Masjid diberi tanggungjawab penuh di dalam mengendalikan dan menguatkuasakan Garis Panduan yang ditetapkan. Jabatan Kesihatan Negeri, Polis dan JAIS akan melakukan pemantauan secara berterusan terhadap semua 39 masjid yang dibenarkan ini.
“Sehubungan itu, pegawai dan jawatankuasa masjid, ahli jemaah yang hadir serta seluruh umat Islam di negeri ini diminta untuk mematuhi segala arahan dan mengamalkan sikap displin yang tinggi pada setiap masa,”katanya.
Menurutnya, Sultan Selangor akan mengikuti perkembangan dan meneliti keberkesanan Garis Panduan yang ditetapkan serta pematuhannya dari semasa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan pembukaan lebih banyak masjid dan surau di Selangor.