in ,

Masih di ICU, Mamat Khalid Mula Buka Mata

Selepas 12 hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Petaling Jaya, Mamat Khalid membuka mata buat kali pertama, Isnin lalu.

Anak keempatnya, Mohd Khalid Amen, 23, berkata doktor memaklumkan kesihatan pengarah dan penerbit itu semakin menunjukkan kemajuan walaupun dos ubat dikurangkan.

Katanya, biarpun hanya sekejap membuka mata dan kemudian tidur semula, maklum balas fizikal berkenaan adalah petanda yang baik.

Namun, kata Amen, bapanya belum boleh dipindahkan ke wad biasa bagi tujuan pemantauan.

“Sebenarnya sekarang ayah sudah boleh bernafas sendiri, cuma doktor mahu jantungnya terus stabil selain enggan tergesa-gesa membuka alat bantuan pernafasan berkenaan.

“Alhamdulillah, walaupun tempoh kali ini paling lama ayah kami berada dalam ICU, paling penting kesihatannya dapat kembali seperti sedia kala.

“Buat masa ini, sudah tentu kami sekeluarga mahu dia berehat dulu dan berdoa semoga dia sampai betul-betul sembuh,”

– Mamat Khalid

Terdahulu, Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 56, dilaporkan dalam keadaan kritikal pada 25 Januari lalu akibat masalah paru-paru dan jantung.

Bagi memastikan jantungnya kembali stabil, pakar perubatan merehatkan pengarah terbabit selama 48 jam dengan memberikan dos ubat yang membolehkannya tidur.

Sebelum ini, bapa kepada lima cahaya mata itu pernah dimasukkan ke ICU sekitar 2017 akibat sesak nafas selepas majlis tayangan perdana filem arahannya, Lebuhraya Ke Neraka.

Tiga tahun sebelumnya, sutradara dihormati ramai itu menjalani pembedahan kecil membuka saluran darah yang tersumbat berikutan masalah jantung.

Sementara itu, kata Amen lagi, filem terbaru bapanya, Rock 4, yang baru selesai menjalani penggambaran kini sudah memasuki proses suntingan.

“Kerja pos produksi, termasuk suntingan, sudah dijalankan dengan saya sendiri menggalas amanah terbabit. Insya-Allah jika tiada aral, filem baharu ayah akan menemui penonton Ogos depan,”

– Amen

Sama-sama kita doakan semoga Mamat Khalid kembali sihat dan dapat bekerja semula.

Sumber: Berita Harian

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

ARA JOHARI

Netizen Pertikai BUNGA Menang di AJL, Ini Luahan Ara Johari

Emma Maembong Sah Tidak Lagi Bertudung