Sebut sahaja nama Masdo, pasti muzik era 60-an yang bakal terbit di benak fikiran, kugiran yang memperjuangkan muzik bernuansa ‘retro vibe’ ini dianggotai oleh 3 jejaka berbakat, Ali Sariah (vokalis), Putu Ceri (bass) dan Asmawi (gitaris) kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Perih Jerih’ setelah lebih setahun tidak muncul dengan mana-mana single, hasil ciptaan sepenuhnya oleh mereka bertiga, dan diterbitkan oleh syarikat rakaman terkemuka tanah air, Warner Music Malaysia.
Kali terakhir Masdo tampil dengan single terbaharu adalah sekitar bulan Julai tahun lalu, “Lagu ‘Pujaanku’ yang turut menampilkan penyanyi Aisyah Aziz tempoh lalu mendapat respon yang sangat luar biasa dan luar jangkaan dari kebanyakan penggemar muzik di luar sana, kemudian kami sibuk pula dengan pelbagai persembahan pentas bukan sahaja di Malaysia, malah menerima jemputan mengadakan persembahan di luar negara seperti Jepun dan juga United Kingdom”, ujar Ali Sariah.
Single ‘Perih Jerih’ & Video Muzik di Kota London
Masdo sepakat memerah idea dalam proses pembikinan single Perih Jerih dan mereka mengambil pendekatan secara ‘workshop’ buat pertama kalinya sebagai sebuah kumpulan.
“Lagu ini membawa maksud ‘susah payah’ yang secara umumnya berkisarkan tentang perasaan mereka yang kehilangan, pelbagai persoalan yang kadang kalanya tidak dapat dirungkai dengan alasan yang munasabah, dan pada masa yang sama cuba bangkit dan menjadikan perasaan itu satu kekuatan untuk meneruskan kehidupan”, kata Putu Ceri.
Single Perih Jerih yang dihasilkan dalam nuansa pop alternatif ini mengambil masa selama dua minggu untuk disiapkan sepenuhnya dan menjalani rakaman di studio Bijan Fx Productions, “Kami menjadikan band The Strokes sebagai rujukan dan pengaruh dalam penghasilan lagu pada kali ini,” tambah Putu Ceri lagi.
Menariknya, penggambaran video muzik (MV) Perih Jerih dilakukan di sekitar kota London dengan berlatarbelakangkan lokasi-lokasi menarik di sana.
“Kami memberi sepenuh kebebasan kepada pengarah berbakat, Aqil Muaz untuk mengarang konsep serta jalan cerita MV Perih Jerih, dan secara ringkasnya MV ini menceritakan tentang sebuah pasangan yang terpaksa mengorbankan perasaan dan juga hubungan mereka demi kebaikan bersama.
“Dan mengapa kota London menjadi pilihan, secara kebetulan ketika itu kami dijemput untuk membuat persembahan di sana, lantas kami mengambil peluang ini serta memanfaatkan ruang dan waktu yang ada dengan membuat penggambaran di sana,” jelas Asmawi.
Masdo Bukan Sekadar Kugiran 60-an
Sejak awal kemunculan mereka pada tahun 2015, Masdo memperjuangkan muzik retro kerana meminati karya-karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan juga muzik Pop Yeh Yeh, “Sealiran dengan peredaran zaman, muzik yang kami hasilkan turut mengalami perubahan dengan tambahan perisa dan olahan agar dapat disesuaikan dengan selera pendengar masa kini.
“Kami berharap agar lagu ini dapat diterima ramai dan menjadi peneman dalam perjalanan hidup mereka tidak kira waktu bersedih, bahagia, susah mahupun senang,” akhiri Putu Ceri.
Lagu ‘Perih Jerih’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Masdo.
Participant Details
Penulis Lirik : Masdo
Komposer : Masdo
Arrangement : Masdo & Shahhakam
Drum : Shah Rezza (EJA)
Bass: Putu Ceri
Rhythm Guitar : Ali Sariah
Lead Guitar : Asymawi
Keyboard : Shahhakam
Main Vocal : Ali Sariah
Backup Vocal : Ali Sariah, Putu Ceri, Asymawi, Shahakam, Cheman, Fauzi
String :
Percussion :
Produced By : Masdo
Engineered By : Bijan FX & Ali Sariah
Mixing By : Bijan FX
Master By : Bijan FX
Studio Recording : Atas By Bijan
LIRIK – PERIH JERIH
Kemana hilangnya
Tinggal tanda tanya
Mungkin sementara
Atau selamanya
Persoalan dan jawapan
Selalu men-jadi bebanan
Kali terakhir bertentang
Kau hanya diam
Tak pernah menduga
Begini akhirnya
Jalan cerita kita
Sampai disini saja
Kau melangkah pergi
Mungkir semua janji
Tiada tanda pasti
Engkau akan kembali
Pertemuan perpisahan
sering terjadi da-lam hidup ini
Perih jerih tetap harus kau menjalani
meski ribut badai melanda nanti
Kemana hilangnya
Penuh tanda tanya
Katanya sementara
Mungkin juga selamanya
Huuuu huuuu huuuu
Tak pernah menduga
Begini akhirnya
Jalan cerita kita
Sampai disini saja
Dan kau pun melangkah pergi
Memungkiri semua janji
Tiada tanda kata pasti
Engkau akan kembali
Huuuu huuuu huuu