Warner Music Malaysia dengan bangganya mengumumkan pencalonan kumpulan muzik tempatan, MASDO dalam kategori Artis Asia Terbaik (Best Asia Act) di Anugerah MTV Europe Music Awards (EMA) 2024. Acara berprestij ini dijangka berlangsung di Manchester, England pada 10 November untuk Eropah dan disiarkan di Asia pada 11 November.
MTV EMA adalah salah satu anugerah muzik terbesar di dunia yang bukan sahaja mengiktiraf bintang-bintang terbaik dalam industri muzik global, malah turut mempersembahkan persembahan yang ikonik. Dengan penonton yang merangkumi 170 negara melalui saluran MTV, pencalonan MASDO memberi peluang besar kepada mereka untuk menyerlahkan bakat dan muzik mereka di pentas antarabangsa. Peminat muzik dari seluruh dunia akan dapat menyaksikan bakat Malaysia melalui pencapaian kumpulan ini.
Undilah MASDO dan Cetuskan Sejarah Bersama!
Peminat di seluruh Malaysia kini boleh mengundi MASDO bagi memastikan mereka berjaya membawa pulang trofi Best Asia Act yang berprestij ini! Dalam kategori tersebut, MASDO akan bersaing dengan artis-artis berbakat dari Indonesia, Filipina, Jepun, dan Korea Selatan. Pencalonan ini adalah satu penghormatan besar buat Malaysia dan menjadi peluang emas untuk MASDO mengharumkan nama negara di arena muzik global.
Proses undian untuk kategori ini telah dibuka pada 8 Oktober jam 6 petang waktu Malaysia dan akan ditutup pada 7 November jam 6.59 pagi. Dengan sokongan yang padu daripada rakyat Malaysia, kemenangan MASDO di MTV EMA bakal menjadi detik yang sangat bersejarah, bukan hanya untuk mereka, tetapi juga untuk seluruh industri muzik Malaysia.
Bagaimana Cara Untuk Mengundi?
Untuk memastikan kemenangan MASDO, peminat boleh mengundi mereka setiap hari di laman web rasmi MTV EMA di https://www.mtvema.com/vote/best-asia-act. Maklumat lanjut dan garis panduan pengundian juga boleh didapati di laman tersebut. Jangan lepaskan peluang ini untuk menunjukkan semangat kebanggaan Malaysia dan memberi sokongan penuh kepada MASDO di pentas global.
Peluang MASDO untuk memenangi trofi di MTV EMA bukanlah sesuatu yang biasa. Ia adalah peluang untuk memartabatkan muzik tempatan ke peringkat antarabangsa dan membuka mata dunia kepada bakat dari Malaysia. Oleh itu, mari kita semua bersatu hati dan menyokong MASDO dalam usaha mereka mencipta sejarah.
Kongsikan berita ini dengan rakan-rakan dan keluarga anda. Bersama-sama kita tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia juga mampu melahirkan bintang bertaraf antarabangsa. Teruskan mengundi dan berikan sokongan penuh kepada MASDO untuk memastikan mereka berjaya di Anugerah MTV EMA 2024!