BARISAN JURUHEBAH MUZIKfm SERTA ARTIS POPULAR TANAH AIR BAKAL GAMATKAN NEGERI DI BAWAH BAYU 17 OKTOBER SEHINGGA 19 OKTOBER INI.
Stesen muzik popular RTM, MUZIKfm bakal menggamatkan Sabah, Negeri Di Bawah Bayu dengan kehadiran mereka bermula 17 Oktober hingga 19 Oktober ini. MUZIKfm tidak bersendirian ke negeri di bawah bayu, sebaliknya mereka ke sana membawa rombongan artis-artis popular yang tanah air yang akan menggamatkan lagi segala aktiviti yang telah dirancang.
Rombongan artis ini terdiri daripada penyanyi dangdut No. 1 Malaysia, Mas Idayu, Aizat, Nubhan, Fazli Zainal, Sheila Abdul, Farawahida, Izwan Pilus, Eby dan tidak ketinggalan penampilan khas Finalis Bintang Klasik Nasional 2007, Dean yang kini bernaung di bawah syarikat MillenniumArt Sdn. Bhd. Tidak ketinggalan barisan personaliti MUZIKfm seperti DJ Kroll, DJ Ady Silantra, DJ Azura, DJ Lynn Zainol dan DJ Muaz.
DJ Muaz
Rombongan MUZIKfm bersama artis terkenal tanah air ini sebenarnya bukanlah hanya sekadar untuk bercuti sahaja, tetapi tujuan sebenar mereka ke sana adalah untuk acara “Rumah Terbuka MUZIKfm Gemilang Mirza†di Dewan Masyarakat Baharu, Papar, Sabah. Kesemua personaliti MUZIKfm dan artis ini dijemput untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri warga Sabah dengan pelbagai aktiviti dan persembahan yang menghiburkan. Acara yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan mendekatkan lagi pendengar setia MUZIKfm di Sabah dengan stesen radio tersebut.
Pada 17 Oktober 2008 (Jumaat), kesemua pegawai MUZIKfm, DJ-DJ dan rombongan artis yang terlibat akan berkampung di Dinawan Island Resort sebelum meneruskan aktiviti yang telah dirancang. Aktiviti yang dimaksudkan merangkumi sesi ‘Meet and Greet the Fans’, konsert khas serta mini konsert di Center Point Kota Kinabalu, Sabah.
Sesi MUZIKfm ‘Meet and Greet the Fans’ akan berlangsung di Centre Point Kota Kinabalu, pada 18 dan 19 Oktober 2008 dan akan bermula pada jam 10.00 pagi. Sesi ini memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan personaliti atau artis kegemaran mereka serta mengenali mereka dengan lebih dekat lagi. Peminat yang tidak berkesempatan bertemu dengan idola yang mereka minati pada 18 Oktober, boleh bersama mereka pada 19 Oktober.
Pada 18 Oktober (Sabtu) itu juga, MUZIKfm akan mengadakan sebuah konsert khas buat warga Sabah. Konsert khas tersebut bakal berlangsung selama dua jam itu di Dewan Masyarakat Baharu, Papar dan akan bermula pada jam 8.00 malam.
Pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan dan peminat juga dapat menyaksikan persembahan mantap dari artis-artis yang terlibat. Antaranya gelek dangdut yang mengasyikkan dari Mas Idayu, petikan gitar Aizat, vokal yang unik serta memukau  Nubhan dan Dean serta banyak lagi. Tidak dilupakan juga persembahan istimewa dari DJ-DJ MUZIKfm yang turut tidak terlepas peluang menghiburkan mereka yang menghadiri konsert tersebut.
Pada 19 Oktober (Ahad), artis dan krew MUZIKfm akan mengadakan satu persembahan istimewa di Centre Point Kota Kinabalu dan persembahan tersebut akan bermula pada jam 1.00 tengah hari dan berakhir pada 2.30 petang. Persembahan ini merupakan penutup bagi aktiviti MUZIKfm di Sabah sebelum rombongan pulang ke Kuala Lumpur pada jam 8.00 malam.
Kini dengan jumlah pendengar jumlah MUZIKfm mencecah lebih sejuta orang, MUZIKfm terus bersiaran dengan pengisian program yang cukup menarik untuk pendengar setia mereka. Terus setia bersama MUZIKfm, Stesen Muzik Anda.