in

Mark Adam Terselamat Nyanyikan lagu Allahyarham Siti Sarah

Mark Adam Terselamat Nyayikan lagu Allahyarham Siti Sarah, Zack Kool Tersingkir Episod Empat Hijrahkan Laguku TV AlHijrah

Foto Kredit: SalamToday.com

Bergelar penyanyi otai bukan satu kelebihan untuk kekal dalam pertandingan realiti Hijrahkan Laguku terbitan TV AlHijrah.

Buktinya, dua minggu berturut-turut penyanyi popular di era 90an yang menyertai rancangan ini gagal melayakkan diri ke minggu seterusnya.

Jika Rahmad Mega meninggalkan pentas HL pada episod ketiga, episod keempat HL yang berlangsung malam tadi pula menyaksikan Zack Kool yang pernah popular dengan lagu Bebas tersingkir.

Bertemakan Madley, Zack Kool yang menyampaikan lagu Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah gagal menambat hati Fauzi Marzuki, Hazimin Inteam serta Ustaz Syamsul Debat yang hadir sebagai juri apabila hanya mendapat 55 markah keseluruhan.

Mark Adam

Zack berkata, walau terpaksa meninggalkan HL dia berpuas hati dengan persembahannya sepanjang empat minggu bersama keluarga HL.

“Sukar untuk saya nilai diri sendiri. Namun saya yakin, peminat dan penonton HL dapat melihat kesungguhan saya berdakwah menerusi bait lirik dan lagu.

“Saya bersyukur rezeki sampai di sini sahaja. Saya tidak berfikir langsung tentang kegagalan menjadi juara pada kali ini. Saya lebih memikirkan tentang redha Allah dan Rasulullah terhadap apa yang saya dakwahkan menerusi persembahan lagu.

“Apa dapat saya simpulkan, saya sudah buat yang terbaik. Sepanjang empat minggu bersama HL, saya berjaya sampaikan mesej tentang taubat, istiqamah dalam perjuangan, kematian, dan cintakan Nabi Muhammad. Semua ini saya lakukan menerusi lagu Bebas, Bisikan Kalbu, Tak Kekal Lama serta Aisyah Isteri Rasulullah dan Ya Rasulullah.

Sewaktu ditebak tentang perancangan setelah tamat perjuangannya di HL, Zack menyatakan dia akan berada di studio untuk menjalani rakaman lagu dan membuat kerja-kerja menulis lirik ketuhanan.

“Saya merancang untuk menyanyikan lagu baru ini di salah satu episod HL. Namun apakan daya, perjuangan saya terhenti di sini. Jika diberi peluang, saya ingin nyanyikan lagu baru ini di platform bersesuaian yang diberikan oleh TV AlHijrah.

“Apa-apa pun, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada TV AlHijrah atas peluang yang diberikan kepada kami yang sudah berhijrah untuk terus bergelar anak seni di ruangan berbeza yang lebih diredhai Yang Maha Esa,” ucap Zack.

Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna Zulkarnaen Mokhtar menyambut baik Hasrat Zack Kool untuk terus berdakwah di platform TV AlHijrah.

“Adat pertandingan realiti. Perlu ada penyingkiran. Perlu ada juara. Namun, kami tidak akan mensia-siakan perjalanan hijrah artis-artis HL. 

“TV AlHijrah bukan sahaja pentas untuk para asatizah menyampaikan ilmu agama, tetapi kami juga buka stesen kami untuk para artis dan penggiat seni untuk sama-sama berdakwah mengikut keupayaan, bakat dan ruang lingkup masing-masing.

“Insya-Allah jika tiada aral melintang, para peminat kelapan-lapan artis HL akan kerap melihat kemunculan artis kesayangan mereka ini di TV AlHijrah samada sebagai hos, panel mahupun penghibur. Kita sama-sama doa yang terbaik,” jelas Zulkarnaen.

Tribut

Sementara itu, persembahan meruntun jiwa dari Mark Adam dan PG Adam membuatkan suasana di studio TV AlHijrah sepi seketika. Penonton dilihat hiba, malahan ada yang mengalirkan air mata apabila PG Adam menyampaikan lagu Untukmu Kasih dalam mengenang arwah ibunya yang pergi meninggalkan dunia ini empat tahun lalu akibat kompilkasi jantung.

Suasana bertambah pilu tatkala Mark Adam menyanyikan lagu nyanyian Allahyarham Siti Sarah yang merupakan sahabat baiknya dan isterinya Norazah Redzuan.  Penjiwaan Mark Adam ditambah dengan adab persembahan dan lirik lagu menyelamatkannya dari tersingkir walau berada dikedudukan kedua terbawah semalam.

Hijrahkan Laguku episod keempat berakhir dengan pengumuman Shahir Zawawi yang menyanyikan lagu Berharap Padamu bergelar peserta terbaik dengan 79 markah. Dato’ Nash yang melantunkan lagu Debunga Rindu di kedudukan kedua dengan 68 markah dan Iwan Shahman yang menyanyikan lagu Sayang Rasul, Cinta Allah di tempat ketiga dengan 66 markah.

Penyingkiran Zack Kool menjadikan 6 peserta lagi yang tinggal untuk terus berjuang di episod kelima bertemakan ‘Laguku, Lagumu Jua’ pada minggu hadapan. 

Untuk rekod, Hijrahkan Laguku bersiaran pada setiap Sabtu, jam 9 malam. Rancangan ini mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Hotel Premiera Kuala Lumpur pula adalah penaja penginapan rasmi HL.

Siaran ulangan HL boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

JOVIAN MANDAGIE

JOVIAN & Shopee Bersatu Demi Super Brand Day 13 & 14 Disember

Drama Cincin Pusaka, Bella – Bila Cinta Bersatu Isi Slot Kuasa 3 Malam