Berani keluar daripada kepompong biasa atau mudahnya tidak mahu terikat apatah lagi berada dalam zon selesa, begitulah gambaran yang boleh dipadankan kepada kumpulan vokal muda, Marhaen meski baru bertapak dan membina nama.
Marhaen menerusi buah tangan terkini yang berjudul Menawan nekad menonjolkan kelainannya sekali gus cuba berusaha menjadi trend-setter baharu terhadap pembinaan karya yang bersifat kontemporari. Hal ini sekali gus diharapkan dapat memikat pendengar baharu ke arah mesej positif yang dibawa.
MENAWAN Serlahkan Keberanian Marhaen
Menurut Hisyam Elharith, ketua Marhaen yang juga bertindak sebagai penulis lirik dan single kali ini, mereka terpanggil untuk hasilkan lagu dan karya yang mudah selain berkonsepkan easy listening.
“Kami perlukan mesej atau moral yang lebih santai serta melodi yang lebih mudah untuk diulang-ulang di bibir. Inspirasi lagu kali ini ada juga diambil daripada lagu internasional tapi kami cuba ketengahkannya dengan cara sendiri.”
“Marhaen belum pernah ada single yang santai dan happy. Selalunya fokus kepada lagu yang minor chord tapi untuk Menawan, kami tonjolkan kelainan dengan genre pop. Harapnya pendengar mampu terima,”
– Hisyam Elharith
Keunikan Single MENAWAN
Menawan yang diharapkan dapat menambat hati pendengar bahkan peminat baharu melalui keunikan konsep melodi yang diketengahkan ini mengangkat mesej berkaitan penghargaan terhadap seseorang yang menerima diri kita seadanya. Sudah pasti dedikasi ini tidak hanya untuk kekasih malahan mesejnya lebih luas kerana boleh juga ditujukan kepada sahabat, keluarga dan sesiapa sahaja yang dirasakan menawan dalam hidup.
Menawan terbitan Soofi Studio telah diperdengarkan sejak 16 Julai 2021 di kesemua plaftorm digital Spotify, Joox, Apple Music, YouTube Muisc, KKBox & Deezer. Muzik video rasminya juga boleh ditonton di saluran Youtube Soofi Studio.
Rancang Terbit Album Mini
Tidak menjadikan pandemik apatah lagi perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan di seluruh negara sebagai halangan untuk terus berkarya, Marhaen tetap sibuk mengambil inisiatif mempromosi single Menawan secara dalam talian (online). Dalam perkembangan lain, Marhaen juga kini dalam proses menyiapkan beberapa karya lain yang dijangka akan dimuatkan dalam album mini mereka kelak.
Kenali Siapa Marhaen?
Dibarisi oleh lima orang anak muda iaitu Hisyam Elharith (26 tahun), Saiful Anwar (26 tahun), Afeeq Ameen (25 tahun), Mohamad Hannan (27 tahun) dan Nor Mohd Shapuan (26 tahun), kumpulan anak muda ini ditubuhkan sekitar tahun 2017. Merupakan bekas penuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), banyak pencapaian dan kejayaan di peringkat universiti mahupun Asean yang direkodkan ketika mereka aktif bergerak dengan nama Intracksee.
Untuk rekod, Marhaen merupakan johan pertandingan UNIC Got Starz Asean yang diadakan pada penghujung 2017. Selain itu, mereka juga terlibat sebagai backup vocal kepada juara Anugerah Nasyid IKIM 17 (AN17) iaitu Saudara Fadzli Fareast pada tahun yang sama.
Mahu dikenali sebagai sebuah “vocal group” yang membawa mesej positif dengan pendekatan yang lebih santai bahkan bersifat universal agar diterima ramai, Marhaen komited dalam menghasilkan karya-karya yang lebih berkualiti. Hal ini agar naskhah yang dipertaruhkan dapat menjadi siulan anak muda tanpa mengira sebarang genre selagi mengangkat mesej dan moral yang baik untuk diikuti.
Marhaen & Sosial Media
Instagram: @marhaen_official I
YouTube: Marhaen Official Soofi Studio
Instagram: @soofistudiomy I YouTube: Soofi Studio I Facebook: Soofi Studio