Awal tahun 2024 dunia seni muzik dimeriahkan dengan kehadiran bunyian khas dan unik daripada kumpulan Margasatwa. Single ini menandakan langkah pertama dalam album kedua mereka yang bertajuk “Seribudaya” yang dijadualkan akan dirilis pada pertengahan tahun ini, mengandungi sebanyak 11 lagu. Kasa Rubia menjadi ciptaan pertama setelah kehilangan Allahyarham Tony Alberto, penerbit asal album, yang telah memberi impak besar kepada perjalanan kreatif Margasatwa.
Kimal, anggota kumpulan, berkongsi bahawa perjalanan mencipta lagu ini melibatkan cabaran emosional, termasuk kehilangan orang tersayang sepanjang proses kreatif.
Single ini memperkaya identiti muzik Margasatwa dengan memadukan unsur Pop Klasik dan sentuhan Rock, mencipta karya yang dinamik dan unik. Susunan muzik yang diterbitkan oleh Margasatwa dan Loque, bersama dengan tambahan runut Saxophone dan Perkusi, memberikan keunikan dan keasyikan tersendiri kepada lagu ini. Proses rakaman dilakukan di Makmal Kampung Batu dan diterbitkan oleh Penerbitan Tongkat Sakti.
Satu elemen menarik dalam lirik Kasa Rubia adalah keterlibatan unsur tradisional, khususnya Kebaya Nyonya yang diperbuat daripada bahan kasa rubia. Sebagai contoh perpaduan yang jarang ditemui dalam lagu Melayu kontemporari, Margasatwa dengan jelas mencipta satu pengalaman mendalam dengan menyentuh pada warisan budaya.
Apabila ditanya mengenai makna lagu, Kimal memberi kebebasan kepada pendengar untuk menafsirkannya mengikut pemahaman masing-masing. Walau bagaimanapun, beliau turut berkongsi bahawa Kasa Rubia menceritakan tentang cinta dan harmoni, yang pada pendapatnya, merupakan persamaan antara kehidupan dan muzik.
Kasa Rubia, selain boleh didengari di semua platform digital, juga boleh diikuti perkembangan terkini melalui laman sosial dan saluran Youtube rasmi Margasatwa.