Watak sebagai adik yang merampas suami kepada kakaknya sendiri membuatkan penonton berasa geram sehingga membawa ke kehidupan realiti.
Menerusi Harian Metro, Hannah , 24 memaklumkan ada di antara penonton drama tersebut memintanya membuka tudung kerana berasa marah dengan sikap Amani yang sanggup berbuat apa sahaja disebabkan rasa cemburu dengan kebahagiaan kakaknya, Amanda lakonan Nelydia Senrose.
Anggap Sebagai Respon Positif
Menurutnya, perkara itu diterima menerusi hantaran mesej di Instagram daripada netizen yang juga penonton setia drama bersiri itu.
“Ada yang menghantar mesej meminta saya tanggalkan tudung kerana watak Amani lakonan saya itu terlalu jahat,”
– Hannah Delisha
Walau bagaimanapun, mesej-mesej yang diterima dianggap sebagai salah satu penghargaan positif kepada lakonannya kerana berjaya membawa watak Amani yang begitu antagonis sehingga dibenci netizen.
“Apabila saya terima komen daripada netizen, saya akan nilai semula dan bila ramai yang sakit hati dengan watak Amani, itu menunjukkan saya berjaya membawakannya dengan baik.”
“Walaupun membawa watak itu satu tugas berat, namun saya cabar diri untuk membawa suatu kelainan buat penonton dan peminat,”
– Hannah Delisha
Drama Cinta Sekali Lagi yang turut dibintangi oleh Saharul Ridzwan, Raja Afiq, Nelydia Senrose dan ramai lagi sudah tamat dan episod terakhir ditayangkan pada Isnin lalu iaitu 14 Disember 2020.
Hannah Delisha yang juga merupakan pelakon kelahiran Singapura telah mengambil keputusan untuk berhijab pada September lalu.
Menerusi perkongsiannya sebelum ini di media sosial, dia sama sekali tidak menyesal dengan perubahan dirinya ketika berada di kemuncak kerjaya kerana yakin rezeki Allah S.W.T tetap ada untuknya walaupun sudah mengenakan tudung.
*Sumber: Harian Metro