Pada 16 Oktober lalu, kami Team BudieyBuddies dipanggil untuk merasai kenikmatannya bermandi spa di sebuah spa khas untuk lelaki iaitu SADO MEN SPA. Budiey sempat mencuba pakej spa pengantin dan Cyrill Hassan pula mencuba berbekam. Memang best dapat berbekam kat sini sebab harganya sangat murah iaitu RM5 per cup. Berbanding dengan tempat lain yang menetapkan harga sebanyak RM8-RM10 untuk satu cup.
Dibuka pada 1 November 2014, citarasa dekorasinya tetap mencerminkan wajah Melayu. Terletak di Pandan Indah, spa khas untuk lelaki ini cukup mendamaikan dengan alunan muzik yang lembut membuai rasa. Pemidang buluh dijadikan hiasan pada sisi meja umpama membahagikan ruang pria di kawasan ini.
Lelaki zaman kini dah ramai yang sedar betapa pentingnya menjaga diri terutama kesihatan badan dan kecantikan kulit. Sedari dari itu, Sado Men Spa mengambil inisiatif mengembalikan seni warisan Melayu daripada nenek moyang agar terus bertahan dengan menyediakan spa konsep tradisi khusus untuk lelaki.
Melangkah masuk ke spa ini, Budiey dapat rasakan aura yang cukup kuat terutama susunan atur perabutnya yang begitu kemas. Sebaliknya setiap rawatan penjagaan tubuh dilakukan dengan cara tradisi. Sado Men Spa kini menjadi trending dan viral di laman sosial berikutan dari kunjungan ramai selebriti di sini.
BudieyBuddies sempat bertemu dengan dua orang usahawan yang mengusahakan spa ini:
Jom ikuti temubual eksklusif kami bersama wakil Sado Men Spa:
1) Sejarah penubuhan Sado Men Spa
Sado Men Spa tertubuh hasil dari usahasama dua orang rakan iaitu Mohd Shahrizal Bin Razali dan Hisham Bin Abdul Talib. Kedua-duanya juga lebih mesra dikenali sebagai Zack dan Yus. Tarikh penubuhan Sado Men Spa ialah pada 1/11/2014. Dalam masa beberapa hari sahaja lagi Sado Men Spa akan menyambut ulangtahun pertama penubuhannya.
2) Lokasi Spa
Sado Men Spa berada di tingkat bawah sebuah premis kedai yang beralamat No 82G, Jalan 4/6B, Pandan Indah, 55100 Kuala Lumpur. Beroperasi di satu unit kedai dengan keluasan sekitar 1500 kaki persegi.
3) Bagaimana tercetusnya ilham untuk menubuhkan Sado Men Spa
Melihat tahap kesedaran terhadap kesihatan dan kepentingan menjaga penampilan diri yang semakin berkembang pesat di kalangan lelaki moden masa kini, Sado Men Spa mengambil inisiatif menyediakan sebuah spa konsep tradisi khusus untuk lelaki.
Menyedari tentang kesukaran yang dihadapi oleh golongan lelaki yang ingin mendapatkan rawatan spa sebelum ini, menjadi hasrat kami untuk membantu mengurangkan masalah ini dengan menjadi spa sehenti untuk semua lelaki tak kira bujang, bakal pengantin atau yang sudah berkeluarga.
Kewujudan spa ini memberi peluang kepada lelaki yang sibuk dengan aktiviti harian mempunyai masa untuk merawat tubuh agar penampilan diri terus terpelihara dan dijaga baik.
4) Mengapa memilih “Sado” sebagai nama spa?
Mewujudkan spa khusus untuk lelaki pada masa kini masih merupakan sesuatu yang memecah tradisi di dalam masyarakat kita. Jadi kami harus memilih satu nama yang memang betul-betul dekat dengan lelaki. Kebetulan perkataan “Sado” menjadi viral pada masa sekarang dan ia merujuk tepat kepada lelaki yang menjaga kesihatan diri dan seterusnya ingin meningkatkan penampilan diri.
5) Rawatan yang ditawarkan
Mempunyai lima kamar rawatan. Sebuah dikhususkan untuk membuat rawatan wajah dan selebihnya untuk rawatan badan.
Rawatan wajah di sini bermula dari permbersihan wajah secara asas tanpa penggunaan mesin hinggalah kepada rawatan yang menggunakan mesin khas yang sangat berkesan untuk menanggalkan dan menyedut sel-sel kulit mati di wajah yang menyebabkan kulit kelihatan kusam.
Terdapat juga mesin yang digunakan khas untuk pelanggan yang mempunyai masalah jerawat dan tompok-tompok hitam kesan dari parut jerawat. Tidak ketinggalan juga mesin untuk melambatkan proses penuaan untuk menghilangkan garis-garis kedut di mata dan pipi.
Untuk rawatan badan Sado Men Spa menyediakan urutan aromaterapi yang baik untuk menghilangkan masalah sakit-sakit atau lenguh-lenguh badan. Bagi yang menghadapi masalah sakit-sakit badan, stress, kelesuan dan lain-lain, rawatan bekam juga boleh dilakukan di sini.
Bagi yang mempunyai masalah kulit badan yang kasar, kering dan tidak bermaya, rawatan lulur badan sangat elok untuk dicuba. Dan bagi yang ingin meningkatkan lagi proses pejagaan kulit, disarankan untuk membuat rawatan “body mask” selepas membuat lulur badan.
Semasa badan dibalut dengan plastik khas selepas seluruh badan disapu dengan masker, proses detoks akan berlaku. Bahan-bahan aktif semulajadi dari masker akan menyerap lebih dalam ke lapisan kulit. Ini akan membantu untuk proses pembakaran lemak di dalam badan untuk proses pelansingan.
Bagi bakal raja sehari, Sado Men Spa turut menyediakan pakej yang menarik untuk persediaan bakal-bakal pengantin lelaki menyediakan atau merapikan diri sebelum berlangsungnya hari yang bersejarah dalam hidup mereka. Selain rawatan badan, kulit dan wajah, mandian spa seperti mandi susu dan bunga turut disediakan untuk melengkapkan proses untuk menaikkan lagi aura seri bakal raja sehari.
Mereka yang terlalu sibuk dengan tugas seharian sehingga langsung tidak dapat memperuntukan masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti senaman untuk mengeluarkan peluh sangat digalakkan untuk mencuba sauna herba yang terdapat di Sado Men Spa. Badan yang keletihan dan kerap lesu dapat dipulihkan dan seterusnya badan menjadi lebih segar.
Kebiasaannya para pelanggan yang mengunjungi spa akan mengambil pakej-pakej yang ditawarkan yang menggabungkan rawatan badan, wajah dan kulit. Bagaimanapun pelanggan mempunyai kebebasan sama ada hanya melakukan satu jenis rawatan sahaja.
6) Bagaimana dengan skil atau kemahiran pekerja-pekerja?
Pekerja akan menjalani latihan intensif tentang teori dan praktikal terlebih dahulu sebelum mula memberikan rawatan kepada pelanggan. Pemantauan yang ketat dari masa ke semasa dilakukan untuk menilai kualiti rawatan. Maklum balas dari pelanggan akan diambil kira untuk penambahbaikan.
Sado Men Spa sangat menitikberatkan kualiti perkhidmatan pekerja. Selain dari kualiti perkhidmatan mereka juga dilatih untuk sentiasa mementingkan kebersihan, kekemasan dan mengekalkan kesegaran bauan di spa.
7) Bagaimana pula dengan caj rawatan yang dikenakan?
Melihat kepada pakej-pakej yang disediakan, Sado Men Spa memang berhasrat untuk meletakkan harga yang dikira agak rendah supaya lebih ramai orang mampu melangkah ke spa untuk mendapatkan rawatan tanpa merasa sangat terbeban. Tiga jenis rawatan yang mengambil masa satu jam setengah boleh didapati dengan harga RM130. Sebagai contoh lain, rawatan berbekam di Sado Men Spa hanya dikenakan dengan caj RM5 untuk satu point. Dengan kos RM100 pelanggan telah dapat berbekam sebanyak 20 point yang juga dipanggil sebagai “bekam overhaul” yang merangkumi dari badan hingga ke kaki.
Menjadi polisi Sado Men Spa untuk menarik lebih ramai orang dari pelbagai lapisan sedari yang berstatus pelajar hinggalah yang telah berkerjaya datang memanjakan diri menjalani rawatan-rawatan tertentu di spa agar mereka menjadi lebih cergas, sihat dan bertenaga.
8) Adakah hanya lelaki yang Sado berkunjung ke Sado Men Spa?
Ini merupakan soalan yang sering diajukan oleh pelanggan-pelanggan. Sama ada mereka bergurau atau serius agak sukar dipastikan. Sebenarnya perkhidmatan yang disediakan terbuka kepada semua lelaki tidak kira bangsa, warna kulit, bersaiz badan besar atau kurus. Selagi anda adalah lelaki dan berpenampilan lelaki anda akan dilayan dengan profesional.
9) Apakah perkembangan Sado Men Spa setelah hampir setahun beroperasi?
Sado Men Spa semakin dikenali di kalangan pelbagai lapisan. Pelanggan-pelanggan bukan sahaja datang dari yang tinggal di Lembah Klang sahaja, malah dari negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Serawak.
Sado Men Spa juga mendapat kunjungan dari para pelancong dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Australia, Filipina dan United Kingdom.
Antara kejayaan manis yang lain ialah apabila media cetak dan elektronik dalam negara telah sudi membuat liputan tentang Sado Men Spa. Pernah mendapat liputan di Utusan Malaysia, Bernama News, Majalah Maskulin dan Majalah Rapi.
Sado Men Spa juga pernah muncul dalam program Capital TV dan disiarkan melalui Hypptv. Dan telahpun melakukan rakaman untuk dua program TV yang akan disiarkan tak lama lagi menerusi RTM dan Astro.